Mudah cetak
E-mel
9 Mei 2011
SINGAPURA
MM Lee: Komen saya tidak jejas sokongan Melayu
Mereka lebih prihatin isu nasional seperti kaum-kaum lain
Oleh
Adli Yashir Kuchit
MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, yakin komennya mengenai isu integrasi masyarakat Melayu tidak menjejas sokongan masyarakat tersebut terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sebaliknya, beliau berpendapat masyarakat Melayu prihatin dengan isu-isu nasional, seperti masyarakat lain.
'Isu-isu nasional yang besar telah dipertaruhkan. Komen saya terkandung dalam buku Hard Truths yang saya tulis dan anda tahu saya bercakap benar yang mungkin pahit diterima. Saya mahukan masyarakat Melayu lebih berintegrasi dan bersatupadu,' kata Encik Lee dalam satu sidang media di Commonwealth Drive, malam tadi.
Beliau telah ditanya jika komennya mengenai soal integrasi masyarakat Melayu telah menjejas undi masyarakat tersebut kepada PAP.
Dalam pilihan raya kali ini, PAP meraih 60.1 peratus undi, lebih rendah daripada 66.6 peratus undi yang diterima dalam pilihan raya 2006.
Diminta mengulas peratusan undi yang merosot, Encik Lee berkata beliau sedar akan keputusan tersebut.
'Saya pasti Perdana Menteri dan anggota pasukannya sedang mengkaji keputusan itu dan membuat perubahan dasar yang sewajarnya,' kata Encik Lee.
Beralih kepada kejayaan pihak pembangkang memenangi kerusi Parlimen, Menteri Pembimbing Lee turut mempersoalkan kehadiran mereka di Parlimen.
'Adakah kehadiran mereka dalam Parlimen untuk kebaikan Singapura atau semata-mata mahu membangkang dasar PAP?' tanya Encik Lee.
Buat julung-julung kali dalam pilihan raya, Parti Pekerja (WP) memenangi enam kerusi Parlimen setelah memenangi GRC Aljunied dan SMC Hougang.
Parti itu juga layak menduduki dua kerusi anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Menteri Pembimbing jelas nampak kecewa atas kehilangan dua Menteri - Encik George Yeo dan Cik Lim Hwee Hua - yang tewas di tangan pasukan WP di GRC Aljunied.
'Kita kehilangan menteri yang penting bukan hanya satu tetapi juga seorang menteri (kedua) perdagangan dan perusahaan (Cik Lim Hwee Hua).
'Namun itulah lumrah, kita perlu meneruskan kehidupan,' jelas Encik Lee.
Awal dari itu, Encik Lee telah mengelilingi kawasan GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas dengan menaiki bas bumbung terbuka.
Ramai penduduk terkejut melihat Encik Lee yang berdiri di atas bas tersebut sambil melambai tangan kepada mereka dalam perjalanan dari Tanjong Pagar Plaza ke Tanglin Halt melewati Chinatown dan Tiong Bahru.
Turut bersama MM Lee semalam ialah anggota pasukan GRC Tanjong Pagar iaitu Mejar-Jeneral Chan Chun Sing, Dr Chia Shi Lu, Cik Indranee Rajah dan Dr Lily Neo serta Anggota Parlimen dipilih SMC Radin Mas, Encik Sam Tan.
Menerusi alat pembesar suara yang dipasang di atas bas tersebut, mereka mengucapkan terima kasih kepada para penduduk di situ.
Pasukan Encik Lee menang tanpa bertanding sementara Encik Tan memenangi SMC Radin Mas dengan 67.1 peratus undi.