MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
MEMPERKENALKAN LAMPU 'BARU': Para anggota NDI memperkenalkan lampu tenaga suria kepada para penduduk kampung di Pulau Air Raja. -- Foto NUSANTARA DEVELOPMENT INITIATIVE
Mudah cetak
E-mel

22 Sep 2010

SINGAPURA

Lampu tenaga suria buat penduduk Pulau Air Raja

Inisiatif diperkenalkan sekumpulan pelajar Asia

Oleh
Shamsul Jangarodin

SUDAH sekian lama penduduk sebuah pulau di Indonesia, dekat Batam, berpandukan cahaya daripada lampu minyak tanah bagi menerangi waktu malam mereka.

Tanpa pilihan lain, para penduduk di pulau kecil, Pulau Air Raja, itu juga terpaksa berdepan dengan risiko kebakaran, dengan sekurang-kurangnya dua kes kebakaran rumah pernah dilaporkan berkaitan lampu minyak tanah.

Namun sejak Julai lalu, sekitar 40 rumah di pulau itu mula menggunakan lampu tenaga suria yang bukan sahaja selamat, bersih dan lebih efektif, malah menjimatkan.

Diperkenalkan Inisiatif Pembangunan Nusantara (NDI), iaitu sekumpulan pelajar Singapura, Indonesia, Malaysia, Filipina dan China yang menuntut di sini, ia tercetus apabila mereka membincangkan tentang program pembangunan untuk kawasan pedalaman Indonesia.

NDI merupakan sebuah unit Perhimpunan Pelajar Indonesia Singapura (PPIS), yang bernaung di bawah Kedutaan Indonesia di Singapura.

Kumpulan itu telah ke Pulau Air Raja, sekitar 25 minit perjalanan bot dari Batam, pada 20 hingga 29 Julai lalu, bersama 40 lampu tenaga suria.

Projek tersebut menelan belanja $10,000 dan ditaja Yayasan Lee serta Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

'Lampu tenaga suria ini bukan sahaja memberi cahaya yang lebih baik, bahkan mampu pertingkat kehidupan mereka dalam jangka masa panjang,' kata pengerusi NDI, Cik Angela Sujadi, 24 tahun, mahasiswa Indonesia di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Ini kerana berbanding kos minyak tanah sekitar 15,000 rupiah ($2.20) seminggu, lampu yang dijual pada harga kos 150,000 rupiah itu mampu menjimatkan setiap keluarga 570,000 rupiah setahun.

'Mereka boleh gunakan wang yang dijimat bagi menampung pendapatan sebagai penternak dan nelayan,' kata anggota NDI, Encik Abang Mohamad Safri Abang Unit, 24 tahun, mahasiswa tempatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Lampu jenama d.light jenis Kiran, yang banyak digunakan di Afrika dan India dan mampu bertahan sehingga tiga tahun, itu mengeluarkan cahaya antara empat dengan lapan jam, setelah dicas dengan tenaga suria selama lapan jam.

Namun memperkenalkan sesuatu yang baru bagi pulau terpencil dengan sekitar 700 penduduk itu mempunyai cabarannya.

Menurut ketua logistik NDI, Encik Muhd Aidil Noor, 24 tahun, siswazah tempatan yang baru tamat pengajian di NUS, orang pulau mulanya prihatin tentang kos.

'Namun kami beri mereka cuba lampu itu selama sehari dan membolehkan bayaran ansuran tanpa faedah,' kata Encik Muhd Aidil.

NDI bakal kembali ke Pulau Air Raja hujung tahun ini dengan lebih banyak lampu bagi memenuhi tempahan baru penduduk di situ.

Selain itu, NDI juga memasang panel-panel suria di sebuah masjid di situ sebagai tanda muhibah dengan penduduk pulau.

Di samping kerja-kerja pembangunan, NDI turut mengajar para pelajar di sana bahasa Inggeris dan Sains.

Ogos lalu, NDI mendapat pujian daripada pemerintah Indonesia apabila mereka dijemput Ketua Unit Kerja Presiden Pengawasan dan Pengendalian Pembangunan, Dr Kuntoro Mangkusubroto, ke Jakarta untuk mempersembahkan usaha mereka.




 
   
 

SINGAPURA

 
 
Yaw tidak akan merayu
 
 
Hakim: Perayu tidak menyesali perbuatannya
 
 
Temasek Review Emeritus mohon maaf pada PM Lee
 
 
Harga COE kereta capai paras rekod
 
 
Dijel lima minggu gara-gara guna kad kredit curi
 
 
Didenda $2,000 kerana tumbuk warden tempat letak kenderaan
 
 
Aturan CBD bagi teksi diubah mulai bulan depan
 
 
Sumbang keringat demi bantu warga tua
 
 
Sebelum konsert, Slam lawat pesakit ginjal
 
 
Basikal bukan kenderaan bermotor, larangan dimansuh