Mudah cetak
E-mel
18 Jun 2010
SINGAPURA
Warga Singapura diberi dua peluang undian untuk pendaftaran darjah satu
WARGA Singapura akan diberi dua peluang undian - lebih satu peluang undian daripada penduduk tetap (PR) - apabila mereka mengundi bagi Pendaftaran Darjah Satu anak mereka yang bermula pada 6 Julai ini dan berakhir pada 30 Ogos.
Perubahan itu dibuat menyusuli langkah pemerintah meningkatkan hak yang dinikmati rakyat Singapura dan membezakannya secara jelas dengan PR.
Semasa Pendaftaran Darjah Satu itu, tempat di sekolah yang diperuntukkan akan diagihkan mengikut senarai kriteria.
Sebagai contoh, bagi Tahap 1, tempat diperuntukkan bagi pemohon yang mempunyai saudara kandung di sekolah yang sama.
Undian hanya akan dibuat apabila jumlah pemohon melebihi tempat yang disediakan.
Sebelum ini warga Singapura dan PR mempunyai satu peluang sahaja untuk mengundi.
Dengan undian tambahan yang dimiliki warga Singapura, mereka mempunyai lebih peluang memasukkan anak ke sekolah pilihan mereka.
Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya semalam berkata mulai Januari tahun depan, yuran sekolah untuk PR dan warga asing akan dinaikkan manakala warga Singapura pula tidak berubah.
Pada masa yang sama, sebuah sekolah baru, Sekolah Rendah Cantonment, akan dibuka di Cantonment Close di Bukit Merah.
Semua sekolah akan membuka pendaftaran dari 8 hingga 11 pagi dan dari 2.30 hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Jumaat semasa tempoh pendaftaran.
Di bawah Akta Pendidikan Wajib, warga Singapura yang dilahirkan selepas 1 Januari 1996 dan menetap di sini wajib menghadiri sekolah rendah nasional.
MOE juga mengingatkan bahawa ibu bapa yang memberikan maklumat palsu semasa pendaftaran akan dirujuk kepada polis.
Anak mereka yang mendaftar berdasarkan maklumat palsu itu pula akan dipindahkan ke sekolah lain yang masih mempunyai tempat kosong.
Buku maklumat tentang proses pendaftaran darjah satu itu telah diedarkan di tadika dan pusat jagaan kanakkanak.
Maklumat tentang senarai sekolah dan sekolah yang mempunyai tempat kosong boleh diperolehi melalui laman Pendaftaran Darjah Satu di http://www.moe.gov.sg/education/admissions/primary-one-registration/.