MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
TABAH HADAPI CABARAN: Cik Nasyitah Yassin, 20 tahun, cemerlang dalam hidup meskipun ditinggalkan oleh kedua-dua bapa dan neneknya buat selamanya. -- Foto M.O. SALLEH
Mudah cetak
E-mel

31 Okt 2009

SINGAPURA

ANUGERAH MENDAKI
Kata-kata terakhir ayah jadi bekal hidup

Belia juga contohi sifat tabah ibu sehingga ke menara gading

Oleh
Nurul Dayana Simangoon

SETIAP hari, Cik Nasyitah Yassin menatap gambar arwah ayahnya sambil berasa sedih sendirian.

Cik Nasyitah, yang ketika itu berusia 15 tahun, kesunyian sejak kehilangan tempat bermanja.

Malah, beberapa bulan kemudian, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu turut kehilangan nenek yang telah mengasuhnya sejak kecil.

Cik Nasyitah mula bersendirian dan sering menangis - demikian saat-saat pedih yang dilaluinya.

Namun, kata-kata rangsangan terakhir bapanya, Allahyarham Yassin Jawandi, dan sifat tabah ibunya yang membesarkan mereka tiga beradik sendirian, mendorongnya untuk cemerlang dalam pelajaran sehingga berjaya ke menara gading

Cik Nasyitah, 20 tahun, kini memburu ijazah sarjana muda dalam pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Wheelock, Politeknik Ngee Ann (NP).

Beliau merupakan antara 255 penerima anugerah di majlis penyampaian Anugerah Mendaki dan Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong 2009, Sabtu lalu.

Cik Nasyitah mendapat Anugerah Pencapaian Khas Mendaki, yang diberikan kepada pelajar cemerlang meskipun berdepan dengan kesukaran hidup.

Beliau berjaya meraih diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada NP dengan kelulusan baik iaitu gred purata mata (GPA) 3.346.

Menurut Cik Nasyitah, bapanya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis pada usia 52 tahun.

'Saya begitu rapat dan manja dengan ayah sejak kecil lagi. Oleh itu, amat sukar dan pahit rasanya hidup tanpa ayah. Ingin sahaja difikirkan ia hanya satu mimpi buruk, dan ayah masih hidup lagi.

'Saya tidak akan lupakan kata-kata terakhir ayah - supaya belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam kehidupan. Walaupun ayah sudah tiada, saya tetap mahu beliau bangga dengan pencapaian saya,' kata Cik Nasyitah.

Inspirasi dalam hidupnya untuk terus tabah menghadapi pahit maung kehidupan adalah ibunya, Cik Rokiah Abu Bakar, 56 tahun, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat import dan eksport.

Ibunya mengasuh tiga orang anaknya itu sehingga mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Abangnya, 29 tahun, kini bertugas sebagai pensyarah jurusan kejuruteraan di Politeknik Republic (RP). Beliau juga menggenggam ijazah sarjana muda daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan kejuruteraan.

Kakaknya pula yang berumur 24 tahun ialah seorang pegawai pembantu pengurusan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

'Saya tidak pernah melihat ibu menangis. Saya tahu ibu masih rindukan ayah, tetapi beliau tetap tabahkan diri untuk membesarkan kami. Akhirnya, saya sedar saya harus tabah seperti ibu. Saya tidak mahu ibu kecewa,' katanya.

Cik Nasyitah, yang sukakan kanak-kanak, berhasrat untuk membuka pusat pengayaan bagi anak-anak yatim dan kanak-kanak istimewa satu hari nanti.

'Jika dahulu saya anak bongsu paling manja, kini saya harus berdikari. Namun, setiap kali saya lihat gambar-gambar saya bersama ayah, saya tidak dapat menahan diri daripada rasa sedih,' kata Cik Nasyitah lagi dengan nada yang terputus-putus.



 
   
 

SINGAPURA

 
 
Lebih ramai asatizah sudah atau sedang dapatkan PhD
 
 
Banquet turunkan papan tanda akui 'hidang makanan halal'
 
 
ITE dan politeknik naikkan kadar yuran
 
 
Rawatan pemulihan dijangka main peranan lebih besar
 
 
CNB berkas 89 pesalah
 
 
Dua pusat jaja di Bedok dipertingkat
 
 
Beriani percuma di Masjid Malabar sempena maulud
 
 
Pekerja tua tetapi amat berharga
 
 
Dalami sains demi pembangunan diri, bantu Muslim
 
 
Seminar asatizah diadakan hari ini
 
 
Tidak lagi serik dipenjara dan dirotan
 
 
'Langgar tembok' bagi kebaikan bekas penagih
 
 
Penagih zaman sekarang sukar dikesan kerana kemas dan rapi, tidak lagi selekeh
 
 
Pendaftaran ke Madrasah Alsagoff menerusi Internet
 
 
Idea dan produk hiasan dalaman di ekspo pameran
 
 
Pasangan bermasalah diundang sertai kajian IPS
 
 
Diari