MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

24 Sep 2009

SINGAPURA

Suami isteri cedera parah dalam nahas lepas ziarah Raya

Oleh
Nurul Ain Razali

SEPASANG suami isteri cedera parah setelah motosikal mereka berlanggar dengan sebuah teksi dalam perjalanan pulang mereka daripada menziarahi ibu bapa sempena Hari Raya.

Encik Mohd Yusri Sapri, seorang pegawai polis tambahan berusia 28 tahun, cedera parah di kepala dan doktor terpaksa membedah kepalanya bagi meredakan tekanan pada otaknya yang mula membengkak.

Isteri beliau pula, Cik Nurirani Ashri, 23 tahun dan tidak bekerja, pula cedera di leher, muka dan kaki selain kini dalam keadaan trauma akibat kemalangan yang berlaku sekitar 12.25 tengah malam kelmarin.

Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH).

Menurut polis, kemalangan itu berlaku di Punggol Road semasa teksi tersebut, yang dipandu seorang lelaki berumur 64 tahun, menuju ke Rivervale Drive, sementara Encik Mohd Yusri menunggang dari arah bertentangan menuju ke Ekspreswe Tampines (TPE).

Ketika ditemui di CGH semalam, ayah Cik Nurirani, Encik Ashri Mohamed, 44 tahun, tidak dapat menahan rasa sebak.

'Setiap kali Ira (Nurirani) sedar, beliau asyik bertanyakan keadaan suaminya. Saya rasa sukar untuk menjawab setiap kali beliau bertanya,' ujar Encik Ashri, seorang bapa tunggal, sambil menahan air mata.

Menurut beliau, menantunya yang selalu ceria dan riang menjadi pendiam dan hanya menjawab sepatah-sepatah sahaja sejak Hari Raya lalu.

Beliau juga perhatikan bahawa Encik Mohd Yusri sering mengurungkan diri dalam bilik sejak akhir-akhir ini.

Menurut abang Encik Mohd Yusri, Encik Hairunisham, 29 tahun, beliau mengalami cedera teruk di bahagian dada ke atas dan kini ditempatkan di unit jagaan rapi.

'Doktor kata keadaannya kritikal dan kami harus menunggu lagi 48 jam untuk melihat keadaannya kelak dan untuk para doktor menentukan rawatan susulan. Doktor juga mengesan trauma otak dan mengesyaki belakang kepalanya retak,' ujar Encik Hairunisham.

Ayah Encik Mohd Yusri, Encik Sapri Soodi, 54 tahun, pula berkata: 'Sebagai orang tua, saya hanya mampu berdoa. Benda dah nak terjadi. Saya hanya menunggu penjelasan daripada pihak polis buat masa ini.'

Sesiapa yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi polis di talian 1800-547-1818.




 
   
 

SINGAPURA

 
 
Pengetua sekolah disiasat langgani pelacur
 
 
B. Melayu: Pakej asah kemahiran interaksi lisan murid sekolah rendah diperkenal
 
 
SOLAT
 
 
Yuran tuisyen NUS, NTU dan SMU naik tahun ini
 
 
Skim Pengikitrafan Asatizah disemak
 
 
Pentafsir disaran guna kaedah tajdid 'segarkan' pengetahuan Al-Quran
 
 
'Kami mohon izin'