Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2012
EKSTRA!
WANITA
Lasak dan aktif
di sebalik kelembutan
WAJAH-WAJAH mereka pernah menghiasi majalah wanita setempat terbitan Berita Harian, SUTRA.
Cik Surya Rahmanty Sudirman, 25 tahun, dan Cik Jules Ezran, 26 tahun, adalah contoh wanita muda yang gemar mencuba bermacam aktiviti bagi menguji potensi mereka.
Di sebalik kelembutan yang mereka tampilkan di pentas peragaan dan ratu cantik, tersembunyi ketegasan, baik dalam bidang tugas mahupun secara peribadi.
Ekstra mendekati Cik Surya, seorang jururawat tapak binaan, dan Cik Jules, seorang setiausaha guaman.
Cik Surya adalah naib juara peraduan Ratu Miss Asian Queen Pageant 2012, manakala Cik Jules adalah pemenang ketiga peraduan ini.
Soalan (S): Apa bezanya tugas sebagai seorang jururawat di hospital dan juga di tapak binaan?
Cik Surya (SU): Saya pernah bertugas di Hospital Mount Elizabeth selama empat tahun. Yang lucunya, kerana tugas saya menyuntik orang dan mengambil darah, saya digelar Vampire Nurse (Jururawat Puntianak)! Di tapak binaan pula, saya adalah segalanya. Ia tugas '3-dalam-1' - paramedik, jururawat dan doktor. Saya juga mengendalikan kelas keselamatan di tapak binaan serta jagaan kesihatan untuk pekerja binaan. Justeru, kalau anda lihat saya lemah lembut di pentas peragaan dan ratu cantik, di tapak binaan saya lain! Lebih lasak!
S: Mengapa terdorong menyertai peraduan ratu cantik dan bermacam aktiviti lain?
SU: Saya ingin mencuba segalanya dan memang jenis yang tak akan duduk diam. Saya sukakan pecutan adrenalin. Bagaimanapun, saya lebih berdisiplin dan tegas dalam menetapkan impian saya. Ada batasan dan tidak akan memperagakan fesyen bikini!
S: Apakah erti kata cinta bagi anda?
SU: Cinta itu mempunyai konsep sejagat. Ia tidak mengira harta benda dan tua muda. Keserasian harus ada dalam cinta. Ia bukan sahaja antara lelaki dengan wanita, malah antara dua sahabat mahupun di kalangan keluarga, iaitu antara kita dengan ibu atau bapa kita.
S: Apakah pesan anda kepada gadis-gadis yang ingin menyertai peraduan ratu cantik?
SU: Mereka harus bersedia secara mental. Ada yang takut dan mempunyai darah gemuruh. Mereka harus membina keyakinan diri dan rajin buat kawan di kalangan peserta peraduan ini.
S: Selain peraduan ini, apakah antara peraduan lain yang pernah disertai? Bagaimana ia membantu anda dalam kerjaya sambilan sebagai peragawati ini?
Cik Jules (J): Ratu cantik mesra alam, Miss Eco Chic, dengan kami perlu mereka hias pakaian kami sendiri daripada barangan terpakai. Saya juga menyertai peraduan Anggun Muslimah dan dinobatkan sebagai Ratu Personaliti. Kemudian, saya terdedah pada bidang peragaan pengantin dan juga komersial. Saya dipilih untuk iklan kad kredit Visa serta pawagam GV Grand.
S: Apakah yang mendorong anda menyertai peraduan ini?
J: Secara umum, peraduan sebegini menggarap keyakinan diri saya. Ia banyak membantu saya dalam tugas harian yang memerlukan saya berurusan dengan pelanggan berkedudukan. Saya harus berbual dengan tertib dan banyak bersabar. Tak boleh kelihatan takut-takut.
S: Kongsi pengalaman melucukan di pentas peragaan.
J: Walaupun sudah biasa bertanding, saya masih dilanda darah gemuruh. Rasa takut masih ada. Bukan apa. Saya bimbang tergelincir atau ketika tersenyum, ada cebisan makanan terselit di gigi! Pernah beberapa kali saya terpeleset di pentas dan terjatuh tetapi harus jaga pose!
S: Apakah yang dekat di hati anda?
J: Saya mungkin nampak sombong kalau saya tidak senyum. Tetapi saya ramah orangnya dan sukakan kerja kebajikan, khususnya kepada warga tua. Saya bertuah kerana firma guaman (tempat saya bertugas) memberi ruang kepada kami menawarkan khidmat sukarela. Kami pernah menawarkan khidmat kepada Projek Reben Kuning untuk bekas banduan dan Club Rainbow bagi kanak-kanak dengan penyakit kronik. Semangat sukarela ini juga saya terapkan dalam diri adik saya. Maklumlah, budak sekarang. Kalau tidak dipupuk sifat prihatin ini, mereka mudah ambil sifat sambil lewa.