MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

8 Feb 2012

EKSTRA!

SIHAT
Legakan sakit

Badan amal gesa ditingkat khidmat paliatif peringkat global, termasuk di Singapura

Oleh
Dewani Abbas

DIDEDAHKAN dengan berita anda telah diserang penyakit barah tahap lanjut yang tiada harapan sembuh, pasti amat menghibakan.

Namun, sama meresahkan adalah rasa sakit yang menyusuli penyakit berat dan parah itu. Bagaimanapun, ramai pesakit kronik seperti barah menanggung sahaja derita sakit yang mereka rasai, ada kala sampai berbulan-bulan lamanya sebelum maut mengundang.

Pelbagai sebab membuat mereka bersikap demikian. Ada yang pasrah, ada pula tidak tahu apa yang harus dilakukan, dan ada kerana tiada doktor atau perawat yang prihatin tentang kesakitan mereka.

Tetapi pesakit penyakit kronik yang tiada harapan sembuh sebenarnya tidak perlu melalui penderitaan sebegitu pada saat-saat akhir kehidupan mereka.

Di penghujung jalan mereka, mereka seharusnya mengalami ketenangan, bukan kesakitan. Inilah yang sedang diusahakan secara besar-besaran oleh badan amal, Yayasan Lien, sempena Hari Barah Sedunia yang dirai Sabtu lalu.

Ia mendesak agar tindakan di peringkat global diambil untuk mempertingkat khidmat paliatif (memberi kelegaan daripada rasa sakit) dan penggunaan ubat-ubat pelega sakit kepada para pesakit kronik.

Menurut badan pemerhati hak asasi manusia, Human Rights Watch, setiap tahun puluhan juta pesakit di seluruh dunia menanggung kesakitan yang amat sangat yang sebenarnya tidak perlu mereka rasai hanya kerana tiada penjagaan paliatif diberikan kepada mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan mereka ini termasuk 5.5 juta pesakit barah dan sejuta pesakit HIV/Aids tahap akhir. Yayasan itu menarik perhatian bahawa walaupun sains perubatan telah mencapai kemajuan, usaha membantu pesakit menangani rasa sakit, terutama disebabkan barah, masih lagi belum mencukupi.

Penjagaan paliatif masih tidak diberi keutamaan dan kurang mendapat dana daripada badan-badan yang menggubal dasar mengenai penjagaan kesihatan.

Takut morfin

Satu contoh, morfin, ubat pelega sakit yang kuat - meskipun terletak dalam senarai WHO sebagai ubat dadah yang penting - masih belum lagi didapati di lebih 150 negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Lien, Encik Lee Poh Wah.

Profesor Madya Dr Cynthia Goh dari Jabatan Penjagaan Paliatif, Pusat Barah Nasional Singapura, menerangkan bahawa morfin adalah dadah yang dikawal penggunaannya di bawah perjanjian yang dimeterai negara-negara dengan WHO.

Singapura merupakan salah sebuah negara yang menyertai perjanjian itu yang menetapkan ubat pelega itu digunakan hanya untuk tujuan perubatan. Tetapi, masih ramai orang mengaitkan morfin sebagai dadah yang membawa kepada ketagihan.

'Pesakit pula menganggap jika dirinya diberi morfin, ia bermakna kematiannya sudah dekat. Ada yang menyangka morfin memendekkan nyawa. Ini tidak benar.

'Satu lagi sebab pesakit tidak mahu menggunakan morfin ialah mereka takut tidak akan ada lagi ubat pelega lain yang lebih kuat selepas morfin digunakan kerana mereka mahu morfin itu digunakan sebagai ubat simpanan jika sakit mereka bertambah teruk,' jelas Dr Goh.

Selain itu, terdapat kebimbangan morfin boleh menyebabkan mereka ketagihan serta kesan-kesan sampingan lain seperti sukar tidur dan tidak dapat berfikir dengan jelas.

'Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa kes pesakit yang menjadi ketagih kepada morfin adalah sangat kecil dan itu pun jika mereka ada sejarah menagih. Lagipun, doktor boleh mengawalnya.

'Satu kesan sampingan ketara penggunaan morfin ialah sembelit dan oleh kerana itu mereka perlu memakan laksatif untuk melawaskan pembuangan air besar.

'Bagi saya, jika kita merawat seseorang yang menghidap penyakit kronik, kita harus merawat sekali rasa sakitnya.

'Di Singapura, lebih 17,000 orang meninggal dunia setiap tahun dan kebanyakannya tidak menggunakan penjagaan paliatif. Maka itu, langkah Singapura melakar strategi mengenai penjagaan paliatif di peringkat nasional adalah baik,' tambah Dr Goh.

Walaupun undang-undang Singapura membolehkan semua doktor berdaftar memberikan ubat-ubat terkawal kepada pesakit mereka tanpa had dari segi jumlah dan tempohnya, penggunaan ubat jenis opioid (yang memberi kesan kelegaan pada sakit) masih sangat rendah di sini.

Menurut perangkaan dari Kumpulan Kajian Dasar dan Sakit, penggunaan per kapita opioid di Singapura pada 2009 hanyalah 4.5 miligram (mg) morfin seorang, kurang daripada purata 10 peratus yang digunakan di peringkat dunia.

Di Amerika Syarikat kadar penggunaannya ialah 725 mg seorang; Australia, 373 mg; United Kingdom, 312 mg; Hongkong, 79 mg; Korea, 38 mg; Malaysia, 37 mg; dan Jepun, 19 mg.

Filem dokumentari

Sementara itu, demi menyebarkan lagi mesej tentang keperluan penjagaan paliatif, yayasan itu telah menerbitkan filem dokumentari bertajuk 'Kehidupan Sebelum Kematian'(Life Before Death).

Penggambaran filem itu telah dibuat di 11 negara. Ia menunjukkan perjuangan para karyawan penjagaan kesihatan dan pesakit dalam menghadapi masalah kesakitan yang dianggap satu krisis global.

Untuk menyaksikannya anda boleh ke laman web (www.lifebeforedeath.com).




 
   
 

EKSTRA!

 
 
Belajar pada usia tua
 
 
Kursus ijazah Islam sesuai buat golongan separuh usia
 
 
Wahai peniaga, usah jatuhkan imej kuih Melayu
 
 
Pelancaran Kelab HEAL
 
 
Ubat baru cegah HIV
 
 
Terkencing
 
 
Uji kesan ubat ke atas sel induk barah
 
 
Forum barah buah dada dalam bahasa Melayu
 
 
Hollywood Ditawan
 
 
Flying Dutchman diserang sakit jantung
 
 
May temu anda 19 Mei