MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

28 Jan 2012

EKSTRA!

CERPEN: BAHAGIAN 1/2
Ukur Baju Di Badan Sendiri

Oleh
Mohamed Hizammuddin Mohamed Yusof
33 tahun, guru

'AKULAH segulung benang yang amat teristimewa di dalam dunia. Harga aku mahal dan hanya yang berada sahaja boleh memiliki aku,' laung Su dengan bangga ke arah gulungan benang yang lain di rak-rak simpanan gulungan benang.

Su adalah segulung benang asal sutera daripada sejenis ulat. Ada beberapa gulungan benang sutera yang lain tetapi mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu bersikap angkuh.

'Sudahlah!' bentak Pas, segulung benang asal pokok kapas. Sambungnya lagi, 'Engkau bolehlah berteriak ke seluruh pelosok benua kerana sesungguhnya kain yang akan ditenun menggunakan kaum kerabat kau amat berharga dalam mata manusia.'

'Apa, kau iri hati?' ajuk Su kepada Pas.

'Aku tidak sedikit pun menyulami perasaan iri hati terhadap kau. Tidak payah. Sesungguhnya, kau berasal daripada najis. Najis daripada ulat-ulat yang menyelimuti tubuh mereka dengan kepompong,' Pas menerangkan sambil ingin menusuk hati Su.

Pas memang tidak suka kaum kerabatnya diperkecil oleh Su hanya kerana mereka asal daripada pokok kapas. Kain diperbuat daripada kapas memang murah tetapi kerap dipakai manusia yang bermastautin di daerah cuaca panas. Peluh cepat kering kerana kain daripada kapas tipis dan wap haba badan senang keluar menerusi kain yang diperbuat daripada kapas.

'Kita semua sama, Su. Tujuan kita dicipta adalah untuk menyelimuti tubuh manusia supaya tertutup aurat mereka,' Pas mengingatkan Su.

'Ha, ha, ha! Sama? Kau fikir kita sama? Janganlah kau cuba menyamakan kedudukan kaum kau dengan kaum aku. Jauh berbeza. Hanya manusia yang sederhana sahaja yang mampu memiliki busana yang diperbuat daripada kaum kau. Kaum aku hanya pasti dimiliki manusia yang berada,' herdik Su.

Zzz! Tum tam tum! Zzt! Itulah bunyi-bunyian yang datang daripada kilang membuat baju yang menyimpan gulungan benang yang bermacam-macam kualiti; baik sutera, kapas mahupun getah. Manusia-manusia yang dibayar gaji bekerja di situ hanya menjahit pakaian-pakaian bermacam gaya setelah benang-benang itu ditenun menjadi kain.

'Sudahlah tu, kamu berdua. Payah bertengkar. Buruk-buruk pun, kita setidak-tidaknya berjasa kepada manusia,' kata Tah ingin meredakan suasana yang gopoh itu.

'Kau diam, Tah! Jangan masuk campur. Kaum kerabat kau lagi tidak berguna. Kau bukan asal semula jadi. Kau sintetik!' cemuh Su dengan bengis.

'Kalau dibandingkan dengan aku, bagai langit dengan bumi. Jangan kau cuba berkhayal hendak menyamakan diri kau dengan aku,' sambung Su lagi dengan mendongak ke langit.

Zzz! Tum tam tum! Zzt! Bunyi mesin-mesin jahit masih lagi kedengaran dengan kuat sehingga melemaskan suara gulungan benang-benang tadi. Manusia-manusia yang menjahit itu bagai mesin tidak bernyawa. Mereka ibarat robot yang hanya melakukan tugas khusus tanpa banyak bicara.

Manusia-manusia itu hanya dibayar $400 bersih sebulan. Ada yang terpaksa bersengkang mata bekerja 24 jam kerana ingin mendapat rezeki yang berlebihan. Apakan tidak?

Gaji yang tidak seberapa itu tidak dapat menampung perbelanjaan bulanan mereka. Lebih teruk lagi jika mereka mempunyai mulut-mulut lain yang ingin disuap selain daripada diri mereka sendiri. Majikan mereka hanya tahu mengaup keuntungan.

'Cepat! Cepat! Kau ingat kilang ini bapa kau yang punya?' bentak seorang manusia yang gemuk gedempol. Bajunya tidak terurus. Sepatunya hitam berkilat-kilat kerana asyik digosok oleh seorang budak kecil di lorong kilang itu.

Budak itu tidak mempunyai tempat berlindung mahupun keluarga. Dia dijumpai berbalut dengan kain putih dan masih diselaputi dengan darah nifas yang berketul-ketulan. Beberapa manusia yang bekerja di situ menjumpainya, lalu dia diberikan makan dan minum.

Mereka bergilir-gilir membesarkan dia sejak empat tahun lalu. Dia dibesarkan di lorong yang pekung dengan sampah dan bau hanyir.


 
   
 

EKSTRA!

 
 
Belum terlewat
 
 
Apabila dalaman sihat, kasih sayang mudah ditebar
 
 
Wanita Yang Ditakuti
 
 
Lindung mata daripada cahaya mentari
 
 
Usah jaga tepi kain oranglah
 
 
Lelaki kepo? 'Berus' saja
 
 
Legakan kulit gatal
 
 
Slam Kembali Merindu
 
 
Cranberries kembali ke sini
 
 
Persembahan kumpulan 'gila-gila' di Esplanade
 
 
Konsert Imran Ajmain ditunda