MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

28 Jan 2012

EKSTRA!

Rasakan Aura 1960-an

Sungai Lembing di Pahang tawarkan suasana percutian yang santai dan kedesaan

Oleh
Azfar Hashim

JIKA anda memiliki kereta, memang rugi jika tidak memberanikan diri memandu jauh.

Tidak kira jika ia hanya sebuah Perodua Kelisa (kereta pertama saya), Suzuki Swift (kereta kedua saya) atau Proton Satria Neo (kereta saya kini); asalkan ada kereta, patut anda cuba.

Ini kerana kita amat bernasib baik mendapat negara jiran yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan kita ke tanah air mereka.

Ia membolehkan ramai 'kaki kereta' dan 'mat motor' mengunjungi Malaysia melalui lebuh raya dan jalan-jalan raya yang melalui kawasan unik yang menyajikan pemandangan indah kampung halaman, sawah padi dan ladang.

Antara destinasi yang biasa dikunjungi ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, sama ada untuk makan angin atau mengunjungi anggota keluarga dan saudara-mara.

Jika sebelum ini anda beri alasan 'takut sesat', kini anda tiada alasan lagi. Kerajaan Malaysia telah memasang papan tanda yang jelas di serata negara, dan harga Sistem Kedudukan Sejagat atau GPS yang berpatutan.

Kalau anda gunakan telefon bijak (smart phone), GPS juga boleh dimuat turun.

Baru-baru ini saya dan isteri bersama teman-teman telah ke sebuah pekan di Pahang yang mungkin kurang dikunjungi - Sungai Lembing.

DESTINASI BERSEJARAH

Sungai Lembing pernah menjadi bandar yang kaya dan pengeluar utama biji timah di Pahang.

Malah, pekan ini antara pengeluar terbesar di dunia suatu ketika sehingga ia menempatkan lebih 30,000 orang merangkumi penduduk tempatan, masyarakat Inggeris dan para peniaga dari serata dunia.

Sungai Lembing turut diibaratkan 'El-Dorado Timur' Tanah Melayu kerana terletaknya sebuah perkampungan masyarakat Inggeris.

Sejarah perlombongan biji timah dipercayai bermula dari zaman prasejarah. Ia pernah diusahakan secara intensif oleh syarikat Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dari 1906 sehingg ia ditutup pada 1986.

Ia ditutup kerana permintaan timah di seluruh dunia menjunam secara mendadak dan memberi kesan negatif kepada syarikat PCCL.

Kini Sungai Lembing berubah menjadi sebuah pekan yang santai dan kedesaan. Ia hanya mempunyai lebih 1,000 orang penduduk (semuanya tempatan), majoriti pesara dan keluarga-keluarga kecil.

AKTIVITI

Jika anda hanya mahu santai dan menjauhkan diri daripada kesibukan dan keriuhan bandar, Sungai Lembing adalah destinasi yang amat baik.

Ia masih mengekalkan rasa dan aura 1960-an.

Kepada yang mempunyai anak-anak kecil yang tidak pernah dekat dengan haiwan seperti lembu, kambing, ayam dan kucing, destinasi ini amat sesuai.

Pekan Sungai Lembing dipenuhi rumah-rumah kampung dan rumah kedai dengan struktur dibuat sepenuhnya daripada papan.

Terdapat juga beberapa dewan dan sekolah.

Hampir seminggu saya menginap di Lembing Riverview Resort di pertengahan daerah perkampungan.

Ia tidak semewah Club Med atau Shangri-La tetapi bersih dan menawarkan kemudahan seperti hawa dingin, pemanas air, kipas angin, wi-fi dan televisyen kabel - sungguh selesa.

Memandangkan ia pekan kecil, tidak banyak kemudahan didapati; hanya ada warung (keropok lekor dan pisang goreng boleh dibeli dengan harga 10 sen sahaja), gerai makanan (Mi Jawa adalah keistimewaan) dan stesen bas dan teksi.

Klinik kerajaan dan balai polis juga disediakan.

Terdapat juga stesen pam minyak (hanya gred RON95), tetapi waktu operasinya terhad.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah memanjat Bukit Panorama untuk menikmati pemandangan matahari terbit (pendakian mengambil satu setengah jam tetapi sangat berbaloi) dan meneroka Gua Charas (melihat keindahan gua semula jadi dan patung 'Sleeping Buddha' - antara terbesar di Pahang).

Pada Ahad pula, terdapat pasar minggu yang menjual hasil laut dan sungai, makanan dan pelbagai baju dan perkakas rumah.

Selain itu, saya turut bersiar-siar sekeliling Sungai Lembing - di serata daerah masih terdapat bekas lombong dan terowong, jambatan tergantung, anak-anak sungai (airnya sangat jernih!) dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Turut menarik adalah Muzium Sungai Lembing yang dibina oleh Jabatan Muzium Malaysia bagi menyebarkan maklumat serta mampamerkan bukti-bukti sejarah Pahang secara amnya.

Nota: Penulis Editor Bersekutu laman kenderaan, burnpavement.com


RINGKAS

Perjalanan dari Johor Bahru ke Sungai Lembing mengambil masa lebih kurang tujuh jam, melalui Lebuh raya Utara-Selatan, Jalan Segamat-Kuantan dan akhir sekali, Lebuh raya Pantai Timur (tol seluruh perjalanan kurang daripada RM$20!).

Pekan Sungai Lembing terletak lebih kurang 40 kilometer dari bandar Kuantan (jika anda mahu bersiar-siar di bandar), dan kira-kira 70 kilometer dari Cherating (jika anda mahu ke pantai).




 
   
 

EKSTRA!

 
 
Belum terlewat
 
 
Apabila dalaman sihat, kasih sayang mudah ditebar
 
 
Wanita Yang Ditakuti
 
 
Lindung mata daripada cahaya mentari
 
 
Usah jaga tepi kain oranglah
 
 
Lelaki kepo? 'Berus' saja
 
 
Legakan kulit gatal
 
 
Slam Kembali Merindu
 
 
Cranberries kembali ke sini
 
 
Persembahan kumpulan 'gila-gila' di Esplanade
 
 
Konsert Imran Ajmain ditunda