SAYANGI KUCING: Pelajar Mohammad Nurfirman Mohamed tidak sampai hati membiarkan kucing-kucing terbuang yang ditemuinya. - Foto KHALID BABA
|
Mudah cetak
E-mel
11 Sep 2011
EKSTRA!
NGIAU.... SI MANJA MENAGIH BELAS
120 ekor kucing dijumpai terbuang sepanjang Ramadan lalu
BUNYI ngiauan kucing mendayu-dayu, mungkin dahagakan susu atau kerana kedinginan, memecah kesunyian di pekarangan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Alangkah terperanjatnya Mohammad Nurfirman Mohamed, 16 tahun, apabila dia ternampak empat ekor anak kucing yang baru berusia beberapa minggu, ditinggalkan begitu sahaja di dalam sebuah kotak besar tanpa sebarang makanan ataupun air.
Yang lebih menyedihkan lagi, pembuangan kucing itu berlaku dalam bulan Ramadan yang lalu.
Namun, ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan bagi Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) yang memantau kes-kes pembuangan kucing di serata pulau.
Malah, menurut presiden persatuan itu, Cik Fareena Omar, sepanjang Ramadan lalu, lebih 120 ekor kucing telah dibuang.
Antara kawasan yang mencatatkan jumlah tertinggi ialah Tampines dan Jurong East, iaitu 30 ekor kucing yang dibuang dalam masa hanya satu bulan.
Cik Fareena berkata, masalah pembuangan kucing ini sentiasa timbul setiap Ramadan, dan Ramadan kali ini tiada bezanya.
Menurut beliau, daripadai siasatan CWS, yang dibantu oleh ratusan relawan pencinta kucing di seluruh Singapura, sebahagian besar mereka yang membuang kucing itu ialah orang-orang Melayu/Islam.
'Selalunya, apabila masyarakat Melayu/Islam sibuk mengemas rumah semasa bulan puasa, mereka akan buang sekali kucing-kucing peliharaan mereka.
'Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Orang ramai perlu tahu bahawa apabila mereka melepaskan kucing-kucing itu, pihak berkuasa akan mengerahkan syarikat pengawal haiwan perosak untuk menghapuskan kucing-kucing tersebut,' jelas Cik Fareena.
Sementara itu, bagi Nurfirman, apabila dia mendapat tahu tentang anak-anak kucing terbiar itu, dia terus menghubungi Cik Fareena dan bertanyakan apa yang perlu dilakukannya.
'Mujur saya kenal Kak Fareena, jadi saya terus menghubunginya untuk dapatkan bantuan. Walaupun saya ada memelihara dua ekor kucing, saya tidak tahu apakah jenis makanan dan minuman untuk anak-anak kucing.
'Saya kasihan melihat anak-anak kucing itu. Comel sekali. Tergamak pemiliknya buang mereka,' ujar pelajar itu.
Di bawah Akta Binatang dan Burung, para pemilik binatang yang didapati bersalah membuang binatang tanpa sebarang sebab, boleh didenda tidak melebihi $10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kededuanya sekali.