Mudah cetak
E-mel
8 Feb 2010
EKSTRA!
Tidak sangka dapat
miliki rumah idaman
SEMASA berpacaran dahulu, Encik Fadzillah Amri Hashim dan pasangannya, Cik Farin Salleh, terbayang alangkah indahnya jika mereka dapat tinggal di The Pinnacle@Duxton - karya ulung perumahan awam HDB.
Bagaimanapun, ketika itu mereka belum lagi memikirkan soal rumah tangga, lantas perbualan itu berakhir begitu sahaja.
Kemudian, bagai pucuk dicita ulam mendatang, selepas membuat keputusan berumah tangga, permohonan bagi flat projek tersebut dibuka sekali lagi.
'Masa dating dulu, bila cakap pasal nak pindah ke The Pinnacle@Duxton, kita cuma macam usik-usik saja.
'Jadi lepas berumah tangga, macam kejutan manis setelah dapat tahu kami berpeluang memiliki rumah idaman,' kata Encik Amri, 28 tahun, seorang radiografer diagnostik.
Bagi pasangan itu, yang baru ke jinjang pelamin bulan lalu, keunikan projek The Pinnacle@Duxton itu merupakan tarikan utama.
Mereka juga tertarik dengan lokasinya di tengah-tengah kawasan bandar yang sekali gus mudah untuk mereka ke rumah ibu bapa masing-masing yang tinggal di kawasan Utara dan Timur Singapura.
Secara peribadi pula, Encik Amri juga memang menggemari rumah di tingkat yang tinggi kerana sejak kecil lagi beliau telah tinggal di flat yang tinggi.
Lantas, sebagai projek perumahan awam tertinggi di Singapura, The Pinnacle@Duxton merupakan flat idaman beliau.
Pasangan itu, yang belum mempunyai anak, telah membeli flat jenis S1 di aras teratas iaitu tingkat 49, dengan harga $541,000.
'Dari ruang tamu flat saya, saya dapat pemandangan Sentosa dan Vivo City. Sungguh menakjubkan,' kata Encik Amri, tersenyum lebar.
Cik Farin berkata pada mulanya beliau bimbang tinggal di rumah yang terlalu tinggi, lebih-lebih lagi bila perlu menjemur pakaian, namun setelah menjejakkan kaki ke flatnya itu, beliau terus jatuh cinta dengan pemandangannya yang memukau.
'Kini, saya suka dengan idea tinggal di flat tinggi. Walaupun, keluarga dan teman-teman apabila mendengar saya tinggal di tingkat 49, mereka terkejut!' katanya.
Encik Amri menambah, beliau dan isteri telah merancang untuk mencipta ruang bersantai di satu sudut ruang tamu mereka.
'Saya dapat bayangkan duduk membaca buku bersama isteri sambil menikmati pemandangan yang indah,' ujar beliau.
Keadaannya bagi Encik Dannie Abdul Hamid pula berbeza.
Isterinya, Cik Nurilyana Othman, 30 tahun, suka kalau mereka mendapat flat di tingkat yang tinggi, malangnya Encik Dannie, 35 tahun, mempunyai fobia mengenai ketinggian.
'Isteri saya kata kalau boleh beliau nak flat di tingkat 30 atau 40 ke-atas. Saya iyakan saja tapi secara senyap-senyap saya doa dapat flat yang tidak terlalu tinggi.
'Alhamdulillah, Tuhan kabulkan doa saya sebab flat yang kami dua-dua suka hanya di tingkat 18. Itu pun dah cukup tinggi,' katanya, sambil tertawa.
Bagaimanapun, Encik Dannie, seorang pengurus latihan dan reviu di sebuah syarikat F&B menambah beliau gembira dengan flatnya walau pada mulanya beliau mengharapkan flat di tingkat yang lebih rendah.
Menurutnya, pemandangan dan suasana tinggal di flat di tingkat setinggi itu kini perlahan-lahan merubah tanggapan beliau.
Tambahan pula, Encik Dannie dan isterinya juga amat tertarik dengan taman angkasa - yang merupakan antara ciri unik The Pinnacle@Duxton.
'Saya dapat bayangkan berlari-lari anak di taman di tingkat 26 setiap malam,' katanya penuh ghairah.
Pasangan itu telah memohon di bawah fasa ketiga pada Oktober tahun lalu, bagi lebihan flat yang tidak terpilih dalam dua fasa sebelum itu.
Flat mereka, yang jenis S2 itu, berharga $595,000.
Encik Dannie menambah, beliau dan isteri, yang sedang menanti kelahiran anak pertama mereka Mei ini, telah mencari flat sejak lebih setahun di kawasan Timur seperti Pasir Ris dan Tampines.
Namun, mereka akhirnya memilih The Pinnacle@Duxton kerana potensi jangka panjang perumahan itu.
'Di Pasir Ris, flat lima bilik eksekutif yang kami suka berharga setinggi $550,000. Jadi kami rasa Pinnacle adalah pilihan yang lebih bijak untuk jangka masa panjang,' ujarnya.