Mudah cetak
E-mel
27 Jan 2010
EKSTRA!
ARTIS SEBERANG
Ziana Zain ghairah ingin temu peminat
Oleh
Freda Hassan
GHAIRAH, lebih-lebih lagi apabila membayangkan pertemuan dengan mak cik-mak cik yang datang dengan anak-anak mereka untuk persembahannya di Singapore Expo nanti.
Itulah respons pertama penyanyi dan pelakon Ziana Zain ketika ditanya mengenai persembahannya pada 14 Februari sempena Pesta Kahwin-Kahwin Makan-Makan 2010.
Ziana tidak menafikan kehadirannya dalam persembahan yang dijadualkan bermula 8.30 malam itu sebagai satu cara beliau mendekatkan diri dengan peminatnya di Singapura, yang tidak putus- putus menyokong kerjaya seninya selama ini.
Kali terakhir Ziana menemui peminat-peminatnya di Singapura ialah pada Januari tahun lalu.
Kemunculan Ziana dijangka dinanti- nantikan selepas setahun beliau menyepi daripada aktiviti seni.
Ia juga satu petanda beliau kini bersedia melancarkan semula kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon.
Penyanyi lagu Dingin yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini itu berehat selama setahun untuk melahirkan bayi kembarnya, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh.
Sebelum ini, Ziana telah pun dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Aiman, 10 tahun; dan Muhammad Ammar, tujuh tahun.
Ziana, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, sempat berseloroh dengan penulis seraya berkata beliau terasa dirinya kini seolah-olah bagai 'baby beruang panda' meskipun telah kembali langsing dengan berat badan 51.5 kilogram.
Ketika mengandungkan anak kembarnya, berat badan penyanyi berusia 41 tahun ini mencecah 78 kilogram.
Kalau boleh, Ziana berkata beliau mahukan berat badannya kembali kepada asal iaitu 49 kilogram.
Kata Ziana, dalam pertemuan di Hotel Palace of the Golden Horses:
'Apabila kita dah masuk ke usia 40-an tahun, kita tak boleh nak kekalkan berat badan kita macam dulu lagi. Saya susah hati juga tengok perut saya ni kerana dalam usia sebegini kadar metabolisme kita semakin lambat. Mungkin juga kerana melahirkan anak kembar.'
Beliau sempat juga ditanya mengenai keengganannya hingga kini berkongsi foto-foto anak kembarnya.
Jelasnya: 'Bukan sengaja hendak sorok bayi kepada peminat dan media. Sebenarnya selain tidak mempunyai pembantu, masa itu bayi saya dilahirkan tidak cukup bulan iaitu lapan bulan.
'Ariel dan Kaseh ditempatkan dalam inkubator sebaik mereka dilahirkan. Ariel yang hanya seberat 2.1 kilogram berada dalam inkubator selama seminggu, sementara Kaseh pula dua minggu.
'Kaseh terpaksa ditahan lebih lama kerana naik turun berat badannya tidak menentu. Masa mengandungkan mereka juga saya mengalami masalah kesihatan apabila disahkan menghidap darah tinggi.'
Doktor menasihatinya supaya berehat selain memastikan bayi-bayinya tidak terdedah kepada udara luar kerana bimbang memberi kesan kepada kesihatan mereka.
Mengenai persembahannya di Pesta Kahwin-Kahwin Makan-Makan 2010 itu nanti, isteri Armin Zaharin itu memberi bayangan:
'Takkanlah saya nak buat breakdance pula kerana peminat semua tahu saya ni 'Minah spontan', lebih suka melihat keadaan ketika itu untuk sebarang persembahan saya.'
Apakah penyanyi berbintang Taurus itu akan memperkenalkan single terbarunya berjudul Pawana, yang belum lagi diedarkan, khas untuk pengunjung pada malam tersebut?
'Insya-Allah, tapi saya tak berani janji,' jawabnya ringkas.
Selain menyanyi, duta Slim World itu dijangka memulakan tugasan barunya sebagai pengacara rancangan pencarian bakat menyanyi berjudul Mentor pada Mac nanti.
Peminat-peminat Ziana turut dapat menyaksikan lakonan terbaru beliau menerusi filem berjudul Magika dengan watak sebagai Nenek Kebayan Ratu Jamu pada tahun ini juga.
Acara Pesta Kahwin-Kahwin Makan- Makan 2010 anjuran Orange Events & Media Pte Ltd itu itu akan berlangsung dari 13 Februari hingga 16 Februari di Dewan 6B, Singapore Expo.
Menurut penganjur, Encik Syah Ibrahim, para peminat Ziana boleh menyertai Pertandingan Ziana Zain Singapura sepanjang tempoh acara itu dengan menelefon 6547-4458 untuk pendaftaran.