SEKIRANYA anda meminati persembahan lagu-lagu Melayu asli, apa kata anda hadiri satu acara dinamakan Malam Dondang Sayang pada 13 Disember ini.
Antara mereka yang akan tampil pada acara itu ialah penyanyi 1960-an yang terkenal dengan lagunya, Yale Yale, M. Ishak.
M. Ishak, 63 tahun, merakamkan lagu itu pada tahun-tahun 1960-an bersama kugiran The Young Lovers pimpinan Dollah Jeksen. Salah seorang pemetik gitar kugiran tersebut ketika itu ialah Ahmad Shawal, suami pereka tari terkenal, Som Said.
Penyanyi asal lagu Yale Yale ialah Hasnah Thahar daripada Orkes Melayu Bukit Siguntang, Jakarta.
Namun, setelah 'jelak' menyanyikan lagu-lagu pop yeh yeh, M. Ishak mengalihkan tumpuannya kepada lagu rentak Melayu Deli dan antara lagu kegemarannya ialah Anak Tiong.
Maka, tidak menghairankan kalau dalam acara Malam Dondang Sayang nanti beliau akan membawakan lagu tersebut.
Penyanyi yang juga pandai memikat penonton dengan gigi emas yang terselit di belakang bibirnya itu akan mendendangkan lagu Anak Tiong bersama penyanyi lagu asli, Aisya Malik.
Acara di Dewan Singgahsana Kampung Melayu Geylang Serai itu bermula pada 7.30 malam.
Tiket berharga $25 untuk seorang boleh didapati dengan menghubungi pihak penganjur, Kris dan Sekawang Bintang, melalui nombor telefon 9052-8805.