cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura. |
|
Ekstra! ANAK MUDA BERWAWASAN Pencapaian: Apakah laluan berduri yang dilalui demi cita-cita menjadi pemaju hartanah?
SEMASA kecil beliau dan ibu bapanya pernah tinggal menumpang bilik di sebuah banglo usang milik datuk dan neneknya di sebelah bapanya yang berbangsa Cina. Detik pada tahun 1992 itu merupakan antara tempoh sukar yang ditempuhi Encik Eman Lim, 30 tahun, kerana ketika itu beliau bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). 'Saya amat terjejas ketika itu, tapi saya masih mampu melanjutkan pelajaran ke Sekolah Anglo-Chinese Independent,' cerita Encik Eman sambil menyantap sepiring nasi ayam di sebuah restoran tempat kami berjumpa. Ketika itu bapanya baru diisytiharkan muflis setelah bisnes perikanannya gagal. Terpaksalah ibunya, Cik Himah Mawardi, keluar bekerja. Namun, sesuai dengan jiwanya yang tidak mengenal erti putus asa, Encik Eman tetap berjaya dalam pelajarannya, malah telah dapat mencapai cita-citanya menjadi pembina bangunan dan pemaju hartanah. Sebagai pembina dan pemaju hartanah, jelasnya, tugasnya termasuk mereka bentuk, membina dan menguruskan kewangan untuk membina sesebuah bangunan. Bagaimanapun, beliau bukan seperti pembina atau pemaju hartanah Cina yang kurang berpelajaran, tetapi berpengalaman dan bergerak sebagai syarikat keluarga - demikian Encik Eman ingin menampilkan dirinya. Sebaliknya, beliau adalah seorang pembina dan pemaju hartanah muda yang berpelajaran dan bertauliah. Dan satu lagi perbezaan, beliau memiliki jiwa kental seorang anak Melayu yang berwawasan ingin membantu anak-anak Melayu maju dalam hidup mereka, walaupun beliau merupakan anak kacukan Cina-Melayu. Bapanya ialah Encik Daniel Lim, 66 tahun, seorang Cina Baba, manakala ibunya, 63 tahun, berketurunan Jawa dan kini bekerja sebagai promoter penjualan di sebuah gedung beli-belah. Mereka, bagaimanapun, telah bercerai dan hidup berasingan. Encik Eman, yang masih bujang, mempunyai seorang lagi adik lelaki, Encik Ewan Lim, 26 tahun, yang bekerja di bidang videografi. Encik Eman kini tinggal di sebuah flat empat bilik di Woodlands bersama ibu dan adiknya itu. Ketika ditemui, Encik Eman sedang menjalankan kerja-kerja membangun semula sebuah unit kedai menjadi sebuah restoran sate di Bedok North Street 3, sebelum kami beralih tempat ke restoran di sebelahnya untuk berbual lebih lanjut. Sekali pandang, beliau seperti salah seorang pekerja binaan di unit kedai itu dengan berkemeja-t dan berseluar jeans lusuh. TUBUH UB CONTECH Berbual rancak dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Encik Eman, yang mengakui tidak tahu berbahasa Cina, memiliki sebuah syarikat binaan, UB Contech, yang ditubuhkan pada 2008 di bawah naungan syarikat binaan am, United Builders Construction, yang telah dibangunkan pada 1965. Beliau melakukan kerja-kerja seperti rekaan perusahaan dan pembangunan teknikal untuk sesebuah bangunan, khususnya jenis perindustrian dan komersial. Projeknya membangun semula unit kedai di Bedok North itu adalah yang lebih kecil yang sedang dijalankannya, berbanding dengan satu lagi projek lebih besar dan berterusan yang sedang beliau usahakan melibatkan pembangunan semula sebuah gedung besar di Jalan Terusan, Jurong. Melalui syarikatnya itu Encik Eman berharap untuk melatih anak-anak Melayu dalam bidang binaan sebagai satu usaha kemasyarakatannya. Meskipun sedar syarikatnya baru setahun jagung, Encik Eman sudah bersedia memainkan peranannya. Beliau telah mengambil empat orang pemuda Melayu untuk bekerja dengannya secara sepenuh masa dan sambilan. Antara mereka ialah Encik Mohd Nur Taha, 23 tahun, yang telah diajar apa-apa yang perlu diketahui mengenai binaan bangunan seperti memasang wayar dan melakukan kerja elektrikal, memasang paip, batu-bata dan memplaster. Sebelumnya, Encik Mohd Nur, lulusan peringkat 'N', bekerja sebagai mover (pengangkut barang untuk orang yang ingin berpindah). 'Bagi saya, kalau selama ini banyak syarikat binaan mengambil pekerja asing seperti orang Bangladesh, bekerja untuk mereka, mengapa kita tidak membuka peluang itu kepada anak-anak Melayu kita? 'Ia bidang yang lebih baik daripada setakat bekerja dalam khidmat penyediaan makanan yang banyak dimasuki pemuda Melayu kita. 'Apa yang diperlukan ialah mereka kuat dan bertenaga. Ia adalah satu bidang profesional yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Dan ia juga menjanjikan pendapatan yang lumayan,' tegas Encik Eman. Falsafahnya, tambah beliau ialah untuk melatih pemuda-pemuda Melayu menjadi professional builders atau pekerja binaan profesional, bukan setakat pekerja biasa. Semangatnya itu terbit lantaran Encik Eman sendiri merupakan anggota eksko Kelab Mendaki yang terlibat dalam pembangunan belia-belia Melayu-Islam. Beliau aktif dalam Program Pembangunan Bakat dan Kelab Minda Muda di kelab itu. Namun, laluannya ke bidang binaan, bukan dibuat secara sengaja dari awal kerana mulanya Encik Eman mempelajari kejuruteraan mekanikal di Politeknik Ngee Ann (beliau mendapat tempat di Universiti Nasional Singapura tetapi menolaknya), sebelum menyambung pelajaran di bidang komunikasi massa di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia pada 2006. Beliau juga tidak melihat kesusahan hidup di tahap awal, sebagai penghambatnya mengejar cita-cita. 'Saya sering lihat orang memberi alasan susah nak belajar sebab tinggal di rumah 'L', keluarga tak ada duit, jadi mereka tak boleh belajar dan gagal dalam peperiksaan. 'Kalau minda mereka dah berfikiran begitu - kasihan pada diri sendiri dan menyalahkan orang lain - maka tak hairanlah kalau mereka terus dalam keadaan itu. 'Saya sudah menempuhnya, tetapi saya berbeza. Jangan salahkan orang lain, sebaliknya bertanggungjawablah pada diri sendiri dan pada masalah yang dihadapi,' tegasnya. Encik Eman juga masih ingat saat beliau selalu diancam penyakit saraf yang diperburuk oleh stres yang dihadapinya ketika itu. Ubat yang dimakannya untuk merawat penyakitnya memberi kesan yang membuatnya ada kala hilang ingatan, keletihan dan mengalami pertambahan berat badan. Tetapi, masalah itu semua telah dapat diatasi atas jagaan ibunya yang sangat rapat dengannya. INGIN BINA RUMAH UNTUK IBU BAPA Malah, cita-cita Encik Eman ialah untuk kelak mengeluarkan ibu bapanya daripada kesusahan hidup dan membinakan untuk mereka masing- masing sebuah rumah. Itulah cita-cita pemuda ini yang menyatakan telah menikmati pendapatan 'sejuta dolarnya yang pertama' dalam bentuk catatan di kertas, tetapi telah melaburkan semuanya kembali ke dalam syarikatnya. Apa pula pandangannya tentang prospek industri binaan di negara kecil seperti Singapura? 'Bagi saya, meskipun Singapura merupakan sebuah negara yang kecil, industri binaan masih akan tetap rancak. Ini kerana bangunan-bangunan yang sedia ada akan menjadi usang dan perlu dibaiki atau digantikan. Kita mempunyai teknologi untuk melakukannya dan saya sendiri perlu melihat dari sudut yang positif,' jawabnya dengan yakin. |
|
Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne |