cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Singapura

Forum bantu pelajar Melayu yang mahu ke varsiti luar negara

By Chairul Fahmy Hussaini

SEKUMPULAN pelajar Melayu/Islam yang mengikuti pengajian di universiti ulung luar negara telah membentuk sebuah rangkaian dan forum dalam talian.

Usaha ini bertujuan membantu individu setempat yang berhasrat melanjutkan pengajian di universiti luar negara.

Jaringan Singapore Muslim Students Overseas atau Pelajar-Pelajar Muslim Singapura Luar Negara (SMSO) ini dimulakan pada April lalu.

Dihubungi Berita Harian kelmarin, salah seorang penyelaras utama SMSO, Cik Hidayah Amin, 39 tahun, berkata pembentukan rangkaian ini berteraskan semangat muhibah.

'Apa yang kami lakukan ialah menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh kepada pelajar-pelajar kita yang mahu melanjutkan pelajaran, baik pada peringkat siswazah mahupun peringkat possiswazah di universiti luar negara.

'SMSO dibentuk setelah kami menyedari adanya semangat yang semakin tinggi dalam kalangan generasi muda kita untuk melanjutkan pengajian pada peringkat possiswazah tetapi kurang arif tentang cara membuat permohonan bagi memasuki universiti yang diminati atau mendapatkan biasiswa,' katanya, yang kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana Falsafah (M.Phil) dalam Kajian Sejarah di Universiti Cambridge, Britain.

Menjelaskan tentang inisiatif SMSO, seorang lagi penyelaras jaringan itu, Cik Nadiah Hashim Ariffin, 21 tahun, berkata:

'Kami memberi sokongan dalam erti kata mendedahkan mereka kepada pilihan-pilihan yang ada, tentang cara-cara membuat permohonan, gred yang diperlukan bagi sesuatu kursus yang dimohon, teknik untuk melepasi sesi temu duga dan sebagainya.

'Soal kewangan juga adalah satu isu besar dan dalam hal ini, ramai antara kami yang tergolong dalam kumpulan yang tidak begitu layak mendapat bantuan kewangan; tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak mempunyai keupayaan mengadakan sejumlah wang yang diperlukan.

'Jadi menerusi SMSO, kami memberi kefahaman kepada mereka yang mahu memasuki universiti luar negara tentang apa yang diperlukan dan apa yang boleh dilakukan,' ujar mahasiswi yang mengikuti pengajian kedoktoran peringkat ijazah di Imperial College London itu.

Menerusi SMSO, para pelajar menengah, politeknik, maktab rendah dan madrasah yang ingin memasuki universiti luar negara boleh memanfaatkan pengalaman ahli-ahli SMSO.

'Para pelajar Melayu/Islam Singapura yang kini menuntut di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Hongkong dan sebagainya telah bersetuju tampil dan membuka cawangan SMSO di tempat masing-masing,' kata Cik Nadiah lagi.

Pemeriksaan akhbar ini mendapati jaringan SMSO di Facebook kini mempunyai 220 anggota.

'Kami telah menulis kepada pelajar-pelajar Muslim Singapura di seluruh dunia dan menulis kepada beberapa karyawan Muslim Singapura yang berjaya dalam pelbagai bidang, namun daripada latar belakang yang sederhana, dan mereka bersedia membantu dan mengongsi pengalaman bagi merangsang anak-anak muda supaya turut berjaya,' tambah Cik Nadiah.

Bagi memastikan SMSO terus aktif, sebuah forum dalam talian juga telah dibangunkan.

'Forum ini bertindak sebagai wadah kami untuk berbincang tentang kegiatan-kegiatan SMSO serta berkongsi idea atau acara lain yang diadakan, dan menjadi tempat bagi sesiapa yang inginkan bantuan menyuarakannya langsung di situ,' kata Cik Hidayah.

Mereka yang ingin menyertai forum dalam talian SMSO, boleh mengirim e-mel ke alamat smso.uk@ gmail.com.



Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne