cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Singapura

Kelab Minda Muda fokus pada pembangunan pelajar

KELAB Minda Muda (YMC) kelolaan Kelab Mendaki bakal memperkenalkan program-program baru tahun ini yang memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh pelajar.

Program-program tersebut diharap dapat membina kemahiran mereka dalam tiga aspek, iaitu minda, fizikal dan rohani, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara), Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengenalan anggota baru YMC di auditorium Singapore Post Centre, kelmarin.

Acara tersebut dihadiri 165 pelajar menengah satu yang kesemuanya merupakan antara 15 peratus pelajar terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun lalu.

Antara aktiviti baru yang diperkenalkan tahun ini termasuk kerja-kerja kemasyarakatan, aktiviti lasak dan bengkel-bengkel bagi membina kemahiran sosial.

YMC dibentuk dalam 2004 bagi memperkasa para pelajar Melayu/Islam terbaik dengan kemahiran bagi menghadapi cabaran landskap pendidikan masa kini.

Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata para pelajar harus sentiasa bersedia untuk menimba kemahiran baru agar mampu berjaya dalam sekitaran ekonomi global yang kian sengit kini.

Malah, sebagai pemimpin masa depan, mereka berkebolehan untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan menyumbang kepada masyarakat dengan memanfaatkan kemahiran yang ada.

'Di YMC, para pelajar digalakkan memimpin dan menganjurkan aktiviti bagi membantu masyarakat. Menerusi program seperti ini, anda bukan sahaja dapat menyumbang kepada masyarakat malah dapat membina potensi anda,' ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut inisiatif baru YMC itu, pengerusinya, Cik Nur Dian Mohamad Rasid, 25 tahun, berkata selain kerja sosial, pihaknya menyediakan bengkel bagi membincangkan isu-isu global masa kini, bengkel etika sosial, cara berhubung dengan ibu bapa, guru dan rakan, serta aktiviti lasak seperti permainan Amazing Race dan paintball.

'Memupuk nilai-nilai murni, kemahiran sosial serta kemahiran berfikir secara kritikal dalam para pelajar sejak usia muda lagi adalah penting kerana mereka bakal memimpin masyarakat kelak,' ujar beliau.



Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne