cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Singapura

Ramai belia ingin tahu cara sertai aneka aktiviti

ADA yang ingin menyertai kegiatan kemasyarakatan tetapi tidak tahu bagaimana melakukannya.

Ada pula yang mahu mempelajari cara menganjurkan kempen meningkatkan kesedaran bagi sesuatu isu.

Itulah rata-rata keinginan para peserta yang hadir di Sidang Aktivis Belia anjuran Kelab Mendaki semalam.

Bagi seorang peserta, Cik Nur Adilah Azil, 19 tahun, beliau ingin menyertai kegiatan kemasyarakatan yang bermakna.

Namun, bekas pelajar Maktab Rendah Victoria itu tidak mengetahui cara atau jenis pertubuhan yang harus disertainya.

'Saya ada masa beberapa bulan sebelum masuk ke universiti dan daripada saya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa, saya ingin menyertai kegiatan yang bermakna,' katanya.

Sidang sehari itu membuka peluang kepada para peserta seperti Cik Nur Adilah mendapatkan maklumat mengenai projek-projek yang dikendalikan pertubuhan-pertubuhan setempat.

Antara penggiat aktiviti kemasyarakatan yang diundang untuk memberikan ceramah di sidang itu ialah Encik Martin Tan.

Beliau adalah salah seorang pengasas Yayasan Halogen, sebuah pertubuhan yang melatih para belia menerusi pelbagai program kepimpinan.

Seorang lagi peserta sidang itu ialah Encik Richard Dear, 19 tahun.

Pelajar dari Australian National University itu pula mahu mendapatkan pengalaman tentang cara-cara menganjurkan sesuatu gerakan sejagat.

'Saya berharap dapat mempelajari dari para penceramah di sidang ini dan saya mempunyai matlamat menubuhkan sebuah gerakan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang isu-isu sejagat,' kata Encik Dear.

Ditemui semalam, Presiden Kelab Mendaki, Encik Aaron Maniam, berharap sidang itu dapat dijadikan acara tahunan.

'Kami berharap sidang ini boleh dijadikan kegiatan tahunan bagi para aktivis belia untuk berbincang, berdialog, berkongsi pengalaman dan sumber,' kata Encik Aaron.



Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne