Mudah cetak
E-mel
1 Feb 2012
LUAR NEGARA
Obama akui
pesawat dron lancar serangan
di Pakistan
Sasaran libatkan kumpulan Taleban dan Al-Qaeda
WASHINGTON: Presiden Barack Obama semalam mengesahkan bahawa pesawat dron Amerika Syarikat pernah menyerang sasaran kumpulan Taleban dan Al-Qaeda di Pakistan - operasi-operasi yang sehingga kini tidak pernah disahkan secara rasmi.
Apabila ditanya mengenai penggunaan pesawat dron oleh pentadbirannya dalam satu sesi chat bersama pengguna laman web di Google+ dan YouTube, Encik Obama berkata 'kebanyakan serangan ini telah dilakukan di Fata' - atau Kawasan-Kawasan Ditadbir Persekutuan Pakistan.
'Bagi sebahagian besarnya, ia adalah serangan-serangan amat tepat terhadap Al-Qaeda dan sekutu mereka dan kami amat berhati-hati dari segi bagaimana ia dilakukan,' kata Encik Obama.
'Ini adalah usaha tertumpu ke arah sasaran mereka yang ada dalam senarai para pengganas aktif, yang cuba masuk dan mencederakan rakyat Amerika, menyerang kemudahan-kemudahan Amerika, pangkalan-pangkalan Amerika, dan sebagainya,' jelas beliau.
Sambil menjelaskan bahawa kebanyakan serangan itu dijalankan 'ke atas anggota operasi Al-Qaeda di tempat-tempat di mana keupayaan pihak tentera negara berkenaan mungkin tidak dapat memburu mereka', Encik Obama mengesahkan bahawa zon puak Pakistan yang tidak mematuhi undang-undang itu adalah satu sasaran.
'Jadi, sememangnya, kebanyakan serangan ini telah dilakukan di Fata, dan memburu suspek-suspek Al-Qaeda yang bersembunyi di kawasan rupa bumi yang sukar di sepanjang sempadan antara Afghanistan dengan Pakistan,' kata beliau.
'Bagi kami, menyerang mereka dengan cara lain mungkin membabitkan tindakan ketenteraan lebih rumit berbanding dengan apa yang kami telah lakukan,' tambahnya.
Para pegawai berkata, kawasan puak Pakistan itu menyediakan tempat persembunyian kepada beberapa kumpuilan.
Antaranya, kumpulan Taleban yang telah 10 tahun berperang di Afghanistan, kumpulan Al-Qaeda yang merancang serangan-serangan ke atas pihak Barat dan kumpulan Taleban Pakistan yang secara rutin melakukan serangan bom di Pakistan dan kumpulan pengganas asing lain.
Sementara itu, Pakistan semalam memaklumi adanya 'kelebihan taktikal' pada serangan dron Amerika terhadap Taleban dan Al-Qaeda tetapi kelihatan memandang ringan pengesahan Washington yang di luar jangkaan ke atas tanah airnya itu.
Kenyataan kementerian luar Pakistan itu dibuat sedang Encik Obama mengesahkan buat kali pertamanya bahawa serangan pesawat dron Amerika itu bertujuan menghancurkan sasaran kumpulan militan tersebut di Fata.
'Meskipun adanya kelebihan taktikal pada serangan dron itu, kami dengan tegas berpandangan bahawa ia menyalahi undang-undang, tidak produktif dan, justeru tidak boleh diterima,' kata jurucakap kementerian itu, Encik Abdul Basit, kepada agensi berita AFP dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS). -- AFP.