BUTTERWORTH: Sebuah tangki simpanan petroleum nyaris meletup ketika 25 rumah kedai papan hangus dalam satu kebakaran.
Kejadian tersebut berlaku berdekatan kompleks Penang Sentral, di sini, kira-kira 11.30 malam kelmarin, demikian menurut laporan beberapa media tempatan, semalam.
Bagaimanapun, tindakan pantas kakitangan syarikat petroleum terbabit, yang menyejukkan tangki itu dengan menyemburkan bahan penyejuk, berjaya mengurangkan risiko kejadian daripada menjadi lebih buruk.
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Encik Azmi Tamat, berkata tangki berkenaan hanya kirakira 50 meter dari tempat kejadian.
'Lima (kereta bomba) dari balai Prai, Butterworth dan Perda dikejarkan ke tempat kejadian.
'Kereta pertama tiba di tempat kejadian kira-kira 11.41 malam.
'Anggota bomba berjaya mengawal keadaan 25 minit kemudian,' katanya dalam laporan Harian Metro, semalam.
Menurut Encik Azmi, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan manakala tiada seorang mangsa pun cedera, lapor agensi berita rasmi Bernama Online.
Difahamkan, rumah kedai berkenaan berpenghuni tetapi sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada penghuni rumah itu berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran besar itu, menurut kedua-dua pihak media itu.
Encik Azmi memberitahu Bernama bahawa kesemuanya sejumlah 74 ahli bomba dari Prai, Perda dan Butterworth serta 157 sukarelawan bomba dikerahkan memadam api kebakaran dan menjalankan tugas menyelamat itu.