Mudah cetak
E-mel
28 Jan 2012
LUAR NEGARA
AS rancang kurangkan bajet pertahanan
Pentagon usul undur 100,000 askar dari Afghanistan dan Eropah
Ikrar kekalkan pengaruh di Asia dan Timur Tengah
WASHINGTON: Pentagon telah mengusulkan mengundurkan sekitar 100,000 askarnya dari Afghanistan dan Eropah, namun berikrar terus mengekalkan pengaruhnya di Asia dan Timur Tengah.
Memandangkan Amerika masih dibebani hutang negara, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, merancang mengurangkan bilangan askarnya sebanyak 13 peratus.
Mendedahkan demikian, Setiausaha Pertahanan, Encik Leon Panetta, berkata menjelang 2017, Amerika merancang mengundurkan sebahagian besar daripada 90,000 askarnya dari Afghanistan.
Bilangan askar yang berkhidmat secara aktif pula akan dikurangkan daripada 570,000 askar pada 2010 kepada 490,000 askar menjelang 2017.
Bilangan anggota marin akan turut dikurangkan daripada 202,000 orang kepada 182,000 orang sepanjang tempoh yang sama.
Pentagon turut merancang mengundurkan dua daripada empat brigednya, yang berjumlah lebih 7,000 askar, dari Eropah.
Ini selain menangguhkan pembelian jet pejuang F-35 sehingga selepas 2017.
'Kita telah sampai ke titik perubahan selepas sedekad berperang dan melihat bajet pertahanan meningkat dengan banyak,' kata Encik Panneta ketika memberi gambaran berkaitan permohonan bajet Pentagon bagi 2013.
Beliau bagaimanapun berikrar Amerika akan mengekalkan pengaruhnya di Timur Tengah dan Asia, di mana peningkatan keupayaan ketenteraan China telah menimbulkan keprihatinan Amerika dan sekutunya.
Encik Panetta menggesa agar dana diperuntukkan bagi menempatkan kapal perang pesisir di Singapura dan kapal peronda di Bahrain.
Beliau mengusulkan perbelanjaan pertahanan bernilai AS$613 bilion ($771 bilion) bagi tahun bermula Oktober ini.
Jumlah itu 9 peratus lebih rendah berbanding permohonan belanjawan pertahanan bagi 2012.
Dengan pengurangan itu, bajet tentera Amerika bagaimanapun masih jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain.
China, yang mempunyai bajet tentera kedua tertinggi di dunia, berkata ia memperuntukkan 601.1 bilion yuan ($119 bilion) pada 2011.
Sebelum ini, Parti Republikan telah menolak usul untuk mengurangkan bajet tentera dan sebaliknya lebih bersedia mengurangkan bantuan sosial bagi rakyat setempat.
Senator John McCain, yang merupakan anggota Republikan, memberi amaran bahawa Amerika menghadapi ancaman ketenteraan yang lebih besar sekarang.
'Saya bimbang skop dan saiz pengurangan ini akan mengulangi kesilapan masa lalu dan menyebabkan anggota tentera kita terlalu kecil untuk memberi respons secara berkesan bagi menghadapi kejadian yang bakal berlaku beberapa tahun mendatang,' katanya. -- AFP.