DUDUK ATAS PELAMIN: Dhanie Irfan bagaikan seorang pangeran bergambar dengan teman-teman 'istananya'. - Foto ihsan RAMLE ISMAIL
|
Mudah cetak
E-mel
2 Feb 2012
ISTIMEWA
Diarak Atas Tandu 'Sisingaan'
Adat dan budaya berkhatan orang Sunda di Indonesia jadi tema pilihan
DARI jauh acaranya kelihatan seperti sebuah majlis perkahwinan untuk meraikan raja dan permaisuri sehari.
Dengan iringan tarian kuda kepang di kolong blok, hiasan pelamin dan deejay, tidak salah kalau anda menduga demikian.
Namun, dilihat dari dekat, 'raja' yang duduk di atas tandu itu bukan raja sehari atau pengantin lelaki, tetapi 'raja cilik' yang akan dikhatankan.
Memang hari ini jarang kita lihat orang membuat majlis besar-besaran untuk berkhatan.
Encik Ramle Ismail merupakan salah seorang yang tidak keberatan melakukannya. Beliau mahu mewujudkan suatu konsep yang berbeza.
Bapa berusia 44 tahun ini yang memiliki diploma dari Institut Seni Indonesia, mahu memperkenalkan adat dan budaya berkhatan orang Sunda kepada masyarakat Melayu di sini.
Justeru, beliau telah mengadakan majlis berkonsep seni Sunda itu sempena upacara berkhatan anak keduanya, Dhanie Irfan, tujuh tahun, dengan begitu gah sekali baru-baru ini.
Encik Ramle telah menyewa kolong blok dan padang untuk menampung sekitar 400 tetamu dari 3 petang hingga 7 malam.
Dhanie telah didudukkan di atas tandu disebut sisingaan iaitu sejenis patung yang bentuknya menyerupai singa, sebelum ia dipikul oleh empat lelaki berbadan tegap.
'Sisingaan ini ada pelbagai bentuk seperti burung, kuda dan harimau.
'Haiwan ini semuanya mempunyai simbol keberanian dan diharap semangat itu dapat 'diserap' oleh anak yang perlu melalui proses berkhatan itu nanti,' jelas Encik Ramle, seorang pegawai penyelidikan yang membeli sisingaan itu dari Bandung dengan harga $500.
Seperti dalam majlis perkahwinan, acara perarakan Dhanie juga diiringi paluan kompang dan lagu gamelan serta tarian Ramayana Ballet sehingga tandu yang dinaikinya sampai di kolong blok di mana sebuah pelamin gah tersergam indah, menanti kedatangan 'si raja'.
Ada lagi adegan yang menanti sesudah itu.
Setibanya di pelamin, si cilik disajikan dengan tarian dari 'dayang-dayang' cilik.
'Seperti adat orang Jawa Barat, budak yang akan melalui proses berkhatan itu disajikan dengan tarian Serinti atau tarian Selamat Datang,' ujar Encik Ramle yang mempunyai tiga orang lagi anak lelaki berusia antara empat tahun dengan 13 tahun.
Nasi tumpeng atau pulut disajikan sejurus selepas itu.
Sepanjang majlis itu juga, Dhanie perlu menukar tiga pakaian berbeza.
'Sebelah pagi, kami ada acara marhaban, jadi anak saya pakai baju Melayu.
'Semasa acara naik sisingaan, dia mengenakan baju ala Jawa. Pada sebelah malam pula dia pakai kot hitam,' terang Encik Ramle yang juga merupakan pengasas bersama kumpulan Riders Aid.
Menurut Encik Ramle, beliau membelanjakan sekitar $2,000 untuk majlis itu, khasnya untuk makanan.
'Saya bersyukur kerana barangbarang seperti pelamin dan pakaian anak saya semuanya ada yang menaja,' katanya lagi.
Ditanya mengapa beliau mengadakan majlis gah itu untuk anaknya, Encik Ramle berkata:
'Setiap anak itu berbeza. Harap-harap apabila dia dewasa kelak, dia dapat mengenang kembali upacara sebelum berkhatan ini dengan senyuman.'
Ini juga bukan kali pertama Encik Ramle mengadakan acara gah untuk majlis khatan anaknya.
Majlis khatan anak pertamanya, Romie Naufal, dirai dengan iringan deretan motosikal dan skuter seperti Vespa dan Harley Davidson.
'Untuk anak lelaki saya yang ketiga, Roid Armani, saya bercadang mengadakan konsep beca pula,' tambah Encik Ramle yang kini sedang membuka bisnes untuk menjadi perancang majlis khatan.