MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
BAGAIKAN DI ISTANA: Untuk menghidupkan tema 'Putera-Puteri' semasa pesta hari lahir Dhia Fatihah, bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa termasuk kaum ibu turut menyewa gaun bagi memeriahkan lagi majlis itu. - Foto ihsan MUHD HEIQAL ABDUL RAHIM
Mudah cetak
E-mel

2 Feb 2012

ISTIMEWA

Meriah Bagaikan Majlis 'Raja-Raja'

$6,000 dibelanjakan untuk rai hari ulang tahun pertama anak kesayangan

SI wanita siap mengenakan gaun kembang lengkap dengan tiara, ala seorang puteri raja.

Si lelaki pula kelihatan segak dengan pakaian bak seorang putera raja.

Tetapi, jangan terperanjat. Yang mengenakan pakaian ini bukan kanak-kanak, tetapi ibu bapa!

Ia merupakan usulan 'si puteri' bergaun kembang, Cik Ilya Nurdianty Noorudin, sempena menyambut hari ulang tahun pertama puteri tunggalnya, Dhia Fatihah Muhammad Nagib.

'Memang dalam kad undangan, saya telah mengesyorkan agar para tetamu datang dengan pakaian seperti putera dan puteri,' kata Cik Ilya, 31 tahun, yang bekerja di sektor perkhidmatan awam.

Beliau telah mengedarkan sekitar 150 kad undangan yang dihias khas dengan gambar-gambar anak kesayangannya.

Majlis ulang tahun hari jadi yang diadakan dengan meriah itu berlangsung pada 25 Disember lalu di calet Aloha Loyang bertemakan konsep putera dan puteri.

'Buat di calet bagus, luas dan kalau berselerak pun tak payah nak kemas sangat,' ulas Cik Ilya yang kelihatan ceria itu.

Untuk menghidupkan lagi suasana majlis agar bak istana, Cik Ilya telah mendapatkan khidmat pakar dekor untuk menghiasi calet itu dengan belon-belon berwarna-warni.

Bukan itu saja.

Tetamu yang datang membawa anak-anak kecil mereka berasa gembira tidak terhingga kerana seorang ahli silap mata telah diundang untuk menghiburkan mereka.

Selain pertunjukan silap mata, ahli silap mata yang membawa rombongan deejaynya itu turut mengadakan segmen nyanyian, drama dan permainan yang melibatkan para ibu kanak-kanak itu.

Memandangkan kanak-kanak yang datang sudah siap mengenakan baju gaun ala Cinderella dan Snow White, manakala yang lelaki pula siap dengan pedang bagaikan seorang satria, tidak sah kalau pertandingan pertunjukan fesyen tidak diadakan.

Apatah lagi, pemenang bagi setiap segmen berpeluang memenangi hadiah.

Namun, itu bukan kemuncak majlis tersebut.

Semasa acara memotong kek, Cik Ilya dan suaminya, Encik Muhammad Nagib Ali, yang juga bekerja di sektor awam, mengenakan pakaian ala permaisuri dan raja.

Puteri mereka juga sempat menukar gaun keduanya untuk acara itu.

Yang membuat suasana bertambah gamat ialah apabila maskot Barney muncul bersama-sama tuan rumah.

Bukan sahaja budak-budak, bahkan 'mak budak' pun jadi kecoh kerana ingin sangat bergambar dengan Barney.

Kanak-kanak dan orang dewasa yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong.

'Kanak-kanak saya berikan pen panjang unik dan alat meniup buih.

'Orang dewasa pula saya berikan bekas comel yang diisi dengan gula-gula.

'Untuk bayi pun saya berikan satu set sabun mandi bayi,' terang Cik Ilya.

Orang dewasa juga berpeluang memenangi hadiah barang-barang elektrik seperti periuk nasi dan cerek elektrik dalam segmen cabutan bertuah.

Ditanya berapa banyak yang telah dibelanjakan untuk pesta itu, Cik Ilya menjawab:

'Saya rasa untuk saya seorang saja, saya telah membelanjakan sekitar $4,000. Ini termasuk untuk dekor, hiburan, hadiah dan tempah baju puteri saya.

'Suami saya pula telah membelanjakan sekitar $2,000 untuk makanan, kebanyakannya secara katering,'

Namun, beliau akur mungkin ada yang beranggapan pesta hari jadi anaknya itu agak keterlaluan, mentelah lagi anaknya baru berusia setahun dan tidak faham apa yang berlaku di sekelilingnya.

Bagaimanapun, Cik Ilya tidak menyesal. Biarpun anaknya tidak dapat menikmati keseronokan seperti kanak-kanak lain semasa persembahan ahli silap mata, beliau masih berasa majlis untuk anaknya itu cukup bermakna.

'Ini merupakan tapak pertama kami suami isteri menjadi ibu bapa.

'Sebelum ada Dhia, kami selalu berselisih faham. Tetapi, sejak Dhia hadir di dalam hidup kami, jarang sekali kami bermasam muka,' ujar Cik Ilya dengan nada sebak.

Bagi suaminya, Encik Nagib pula, beliau tidak menganggap majlis hari jadi untuk anaknya itu sesuatu yang membazir.

'Setiap apa yang saya lakukan, saya mahu lakukannya sebaik mungkin. Jadi, jika saya mahu anjurkan majlis ini, saya mahu pastikan ia yang terbaik dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja,' jelasnya.

Jadi, kalau hari jadi yang pertama sudah semeriah ini, bagaimana pula dengan hari jadi yang kedua?

'Mungkin saya akan berehat selama satu dua bulan dulu dan kemudian baru saya akan mula merancang bagaimana untuk menyambut ulang tahun kedua puteri saya nanti.

'Mungkin saya akan adakan di pusat jagaannya kelak,' ujar Cik Ilya.



 
   
 

ISTIMEWA

 
 
Tarikan Tahfiz
 
 
Ingin Jadi Hafiz?
 
 
Riyaadhul Huffadz
 
 
Darul Quran Singapura
 
 
Jadi Hafiz lepas ke masjid
 
 
Didik kanak-kanak jadi hafiz
 
 
Pusat Pembelajaran Darul Huffaz
 
 
Rela berkorban demi cinta Al-Quran
 
 
Buka pusat tahfiz walau masih lagi belajar
 
 
Madrasah Tahfiz Al-Quran Sekolah Ugama Radin Mas