Mudah cetak
E-mel
6 Dis 2009
ISTIMEWA
Pantai kita, rumah mereka
KHEMAH-KHEMAH beraneka warna yang membarisi pantai East Coast nampak biasa-biasa sahaja.
Pantai itu memang menjadi tumpuan para penggemar laut, ada di antara mereka yang sanggup berkhemah semalaman untuk menikmati suasana santai.
Namun, di kalangan pekelah itu, wujud 'masyarakat' kecil yang penginapan mereka lebih tetap.
Mereka menjadikan khemah dan pantai rumah mereka.
Baru-baru ini, dalam tinjauan tiga jam Berita Minggu (BM) di pantai East Coast, kami berjumpa dengan sekurang-kurangnya 10 keluarga Melayu yang menetap di pantai itu.
Mereka semua berkumpul di kawasan yang sama, memandangkan pekelah hanya dibenarkan memasang khemah di kawasan-kawasan tertentu di pantai East Coast.
Lantas, 'kawasan perumahan' mereka itu ibarat kawasan setinggan.
Kami turut bertemu satu lagi keluarga semasa membuat tinjauan di pantai Changi.
Di kalangan penghuni pantai itu, terdapat pasangan yang mempunyai anak kecil berusia empat tahun; ada juga golongan wanitanya yang sarat mengandung.
Seorang pesara, Encik Ahmad Sayid, yang hampir setiap hari berjalan pantas di pantai East Coast bersama isterinya, berkata beliau sering melihat muka-muka yang sama di kawasan itu.
'Saya sudah syak mereka ni tinggal di pantai. Sudah lama perkara ni berlaku. Ada keluarga yang mempunyai anak kecil.
'Tengok keadaan hidup mereka kasihanlah, tapi pada masa yang sama, sebagai orang Melayu, saya malu juga sebab kebanyakan mereka ni orang kita.
'Salah siapa agaknya sampai mereka hidup berantakan macam ni,' kata beliau.
Hakikatnya, para pekerja sosial yang dihubungi BM menerangkan bahawa kehidupan yang dilalui penghuni pantai itu sebahagian besarnya adalah akibat kesilapan mereka sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, yang baru melancarkan usaha mendekati golongan sedemikian berkata, dari tinjauan pegawainya ramai penghuni pantai itu pernah menumpang di rumah keluarga atau saudara mara.
'Malangnya, mereka semua ada sahaja masalah dengan pemilik rumah. Bagi saya, ini kes tidak pandai bawa diri.
'Sekurang-kurangnya kalau dapat menumpang di rumah orang buat sementara, mereka boleh gunakan masa itu untuk selesaikan masalah perumahan mereka,' katanya.
Apabila BM berbual-bual dengan para penduduk pantai itu mengenai pilihan menumpang di rumah keluarga atau saudara mara, mereka berkata lebih suka tinggal di pantai sendirian daripada hidup tidak bebas di rumah orang.
Menariknya, kehidupan masyarakat pantai itu sama seperti kehidupan penghuni flat-flat HDB - mereka mempunyai peraturan tersendiri dan menghadapi isu-isu berjiran yang sama.
Contohnya, semasa lawatan BM itu, dua buah keluarga baru sahaja bertengkar.
Puncanya, jemuran baju sebuah keluarga yang baru berpindah ke situ melanggar 'peraturan' kejiranan pantai tersebut.
'Mereka jemur baju secara terang-terang, jadi saya tegur sebab renjer di sini bila nampak jemuran banyak macam ni mereka mesti datang periksa.
'Mereka ni orang baru, tapi tak dengar loceng. Tegur tak terima, nanti renjer datang kita semua problem,' kata Encik Ameir Nudin Besah sambil menggelengkan kepalanya.
Lelaki berusia 54 tahun ini telah tinggal di pantai itu selama lebih enam bulan bersama isterinya, Cik Junainah Embok, 52 tahun, dan anak mereka yang berusia 20-an tahun.
Khemah mereka didirikan di sebelah khemah satu lagi pasangan suami isteri, Encik Mohd San Abdul Gani dan Cik Juwairiah Ramli.
Setelah tinggal di pantai itu selama lebih dua tahun, Encik Mohd San dan isterinya adalah antara penghuni 'veteran' di situ.
Dua jiran itu mempunyai hubungan yang baik dan menghabiskan masa sehari suntuk berborak-borak bersama.
'Kita di sini sesama jiran tak bergaul sangat. Masing-masing ada masalah sendiri. Tapi, dengan keluarga Ameir ni kami O.K.
'Dia tolong tengok-tengokkan khemah saya bila saya dan isteri pergi beli makanan atau ke tandas,' katanya.
Seperti flat-flat HDB, khemah Encik Mohd San itu juga berkunci.
'Di sini kena hati-hati. Ramai pencuri. Saya kunci khemah dengan mangga ni pun tak gerenti, sebab pernah berlaku orang potong khemah dengan pisau untuk pecah masuk,' katanya.
Selepas berbual lanjut dengan para penghuni pantai itu, punca keadaan mereka yang merempat menjadi jelas.
Sebahagian besar mereka terperangkap dalam keadaan hidup sedemikian kerana telah kehilangan flat HDB atas pelbagai sebab, termasuk dirampas bank dan menjual flat untuk membayar hutang.
Akibat berkemahiran rendah dan tidak bekerja tetap, mereka tidak mampu membeli flat baru.
Ada juga keluarga yang tidak pernah memiliki flat kerana suami dan isteri tidak bekerja tetap dan menumpang di rumah keluarga atau menyewa flat.
Mereka hilang tempat berteduh setelah timbul masalah dalam keluarga atau tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang meningkat.
Seorang lagi penghuni pantai, Cik Aini Ahmad, 35 tahun, berkata beliau dan suaminya, seorang pekerja pengangkat barang, terpaksa tinggal di situ setelah keluar dari rumah kakaknya beberapa minggu lalu.
Anak tunggal mereka berusia tiga tahun, dijaga ibu Cik Aini.
'Rumah yang kami tumpang dulu ada lapan orang. Bila dah ramai orang, adalah perselisihan faham.
'Suami saya bergaji hari dan tak mampu beli atau sewa flat (di pasaran terbuka), jadi terpaksalah kami tinggal di sini,' katanya, yang berkelulusan menengah empat dan tidak bekerja.
Ramai penghuni pantai itu juga ibarat bermain permainan 'kucing dan tikus' dengan renjer Lembaga Taman Negara (NParks).
Peraturan NParks memerlukan pekelah yang ingin berkhemah memohon permit. Permit bagi setiap pemohon dihadkan kepada lapan hari sebulan.
Lantas, sejak menetap di pantai East Coast dua tahun lalu, Encik Mohd San dan Cik Juwairiah jarang tidur dengan lena kerana berjaga-jaga jika renjer datang membuat pemeriksaan.
'Renjer selalu datang jam 4 atau 5 pagi. Jadi kami tak tidur. Kalau nampak mereka datang, kami lari sembunyikan diri di tandas,' kata Cik Juwairiah.