Mudah cetak
E-mel
25 Jan 2012
FORUM
Kesan negatif kaitkan gaji lumayan dengan khidmat
WALAUPUN keputusan tentang gaji jemaah menteri telah dibuat di Parlimen, masih ramai warga memperkatakan mengenai perkara itu.
Ada pihak mungkin dapat menerima alasan yang diberi pemerintah, namun sesetengah pihak pula lebih peka akan mesej yang tidak secara langsung dikaitkan dengan alasan itu.
Penggunaan gaji lumayan bagi menarik orang berkebolehan mungkin dapat diterima jika dipandang dari sudut teori asas penawaran dan permintaan memandangkan Singapura sebuah negara kecil yang sumber bakatnya terhad.
Namun begitu, mengaitkan gaji lumayan dengan khidmat akan menimbulkan persoalan tentang sumbangan seseorang itu dengan keikhlasannya untuk berkhidmat, walhal berkhidmat untuk negara sepatutnya satu perkerjaan yang tidak boleh diukur atau dijual beli dengan wang.
Ada khuatir mesej yang disampaikan hasil mengaitkan gaji lumayan dengan khidmat akan merubah pandangan generasi muda tentang konsep berkhidmat kepada negara, sedangkan mereka diajar di sekolah bahawa seseorang itu harus berasa bangga apabila mendapat peluang berkhidmat.
Ada pula berpendapat bahawa gaji lumayan bukan saja bertujuan memikat, bahkan boleh mencegah rasuah, seperti yang digambarkan Haji Sallim Haji Ahmad dalam suratnya, Gaji lumayan boleh elak rasuah (BH, 21 Januari).
Anggapan ini secara tidak langsung bak menerima pandangan bahawa gejala rasuah hanya boleh ditangani dengan wang dan ganjaran lumayan.
Jika kini benar, pihak tertentu sepatutnya memberi ganjaran lumayan kepada para pemain bola sepak kita agar mereka tidak akan menerima rasuah. Begitu juga bagi pekerja dalam bidang pekerjaan lain.
Hakikatnya, kemiskinan dan pendapatan rendah bukanlah faktor utama berlakunya rasuah.
Cendekiawan Malaysia, Hajah Dewi Maslehah Md Yusop, dalam kertas kerjanya, Rasuah Dari Perspektif Agama dan Implikasinya Terhadap Pembangunan Negara, berkata punca berlakunya rasuah boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu dorongan dalam dan tarikan luaran.
Sifat tamak, keinginan hidup mewah melebihi kemampuan, kecintaan pada maksiat dan hidup berfoya-foya dan iman lemah serta tidak takutkan Allah swt faktor dalaman berlakunya rasuah.
Desakan hidup dan adanya peluang terbuka pula merupakan dorongan luaran utama berlakunya rasuah.
Jika dilihat akan pandangan Hajah Dewi, ternyata gaji lumayan tidak dapat memastikan pelibatannya dalam rasuah.
Pandangan ini disokong hakikat bahawa ada orang berpendapatan tinggi melibatkan diri dalam rasuah.
Riduan Mazlan