SAYA umumnya setuju dengan pandangan Haji Salim Haji Ahmad (Gaji lumayan boleh elak rasuah, BH, 21 Januari) bahawa setiap orang akan melakukan yang terbaik jika berpada gajinya.
Namun, tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin negara tidak seperti pekerjaan lain kerana implikasinya yang meluas ke atas seluruh masyarakat Singapura.
Pada pendapat saya, gaji tinggi tidak semestinya mencegah rasuah.
Pertama, yang sepatutnya menjadi penghalang gejala makan suap ialah nilai moral seseorang. Jika sifat amanah ini tidak ada dalam jiwa pemimpin kita, sudah pasti ada kesilapan dalam proses pemilihan calon oleh parti-parti politik.
Kedua, di Singapura kita mempunyai undang-undang tegas dengan pelaksanaan hukuman berat. Inilah yang seharusnya dijadikan penghalang bagi bukan sahaja ahli politik bahkan sesiapa sahaja yang ingin memberi atau menerima rasuah.
Sebagai bukti, sejarah terdekat mengajar kita tentang ahli-ahli korporat yang diberi gaji lumayan tetapi ditangkap kerana mengamalkan rasuah.
Juga, kita pernah terbaca tentang para pekerja hebat, seperti pekerja pembersihan, pemandu teksi dan penghantar surat yang mendapat gaji rendah dan sederhana tetapi mempunyai keperibadian mulia dan amanah dalam menjalankan tugas.
Gaji, baik tinggi mahupun tidak, tidak harus menjadi faktor penarik utama bagi seseorang menjadi pegawai pemerintah/politik.
Sebaliknya, kebolehan dan keinginan atau kesanggupan berbakti kepada negara faktor paling penting.
Tidak semua yang berkebolehan sanggup berkhidmat, dan tentunya tidak semua yang sanggup berkorban itu berkebolehan.