DALAM beberapa hari lagi, Ramadan akan melabuhkan tirainya dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
Setibanya Hari Raya, inilah masanya ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarahi mengeratkan silaturahim dan saling bermaafan di samping menikmati hidangan lazat yang disediakan seperti lemang, ketupat, rendang, sambal goreng, kuih- muih dan pelbagai lagi juadah yang enak- enak belaka.
Penjagaan pemakanan amat penting demi menjaga kesihatan. Dalam hal ini, Islam ada memberi panduan.
Pertama, pastikan kehalalan makanan sebelum mengambilnya. Kedua, perlu memastikan makanan itu datang daripada sumber yang baik lagi berkhasiat.
Ketiga, usah berlebihan dalam makan dan minum kerana ini akan mengundang penyakit dan kemudaratan. Kekenyangan yang berlebihan akan melemahkan tubuh dan mengakibatkan kemalasan untuk melaksanakan amal dan tugas.
Sikap berlebihan makanan dan minuman juga akan membawa kepada berlebihan dalam berbelanja. Sikap boros bukan satu sikap yang dipuji dalam Islam. Oleh itu, kita perlulah bersederhana dalam semua perkara yang kita lakukan hatta dalam pengambilan makanan harian sekalipun.
Ibnu Sina juga dalam Al Qanun Fi al- Tibb menyarankan agar kita mengelak daripada makan dengan sekenyang- kenyangnya sehingga tiada ruang lagi untuk baki makanan lain dalam perut.
Malah, perasaan ingin makan itu hendaklah ditahan kerana keinginan untuk makan merupakan sebahagian daripada tuntutan lapar yang akan hilang sendiri selepas satu jam.
Islam juga menggariskan adab-adab makan yang boleh kita praktikkan dalam kehidupan harian kita. Adab sebelum dan selepas makan, adab semasa makan dan adab makan bersama tetamu – semuanya telah digariskan, yang melambangkan kesyumulan Islam dalam melahirkan umat yang beradab.
Mudah-mudahan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan mendapat keberkatan Allah swt.