RAMAI berasa sedih dengan berakhirnya Ramadan walaupun kita bakal menyambut ketibaan Aidilfitri.
Dalam menyambut hari lebaran itu, kita perlu ingat bahawa Hari Raya bukan sekadar acara tahunan yang disambut bak peraduan yang menampilkan pakaian berwarna-warni lagi mahal, bukan peraduan langsir tercantik dan bukan pula pesta beraneka makanan.
Aidilfitri merupakan penyucian hati yang merangkumi tiga unsur – benar, baik dan indah. Mencari yang indah melahirkan seni, mencari yang baik menimbulkan etika dan mencari yang benar menghasilkan ilmu.
Pada masa yang sama, saya berharap kita dapat rebut sekali dalam setahun untuk melaksanakan solat Aidilfitri berjemaah sama ada di masjid, kolong blok atau lelapang.
Ketepikan kesibukan menyiapkan sambal goreng, rendang atau pasang langsir di pagi Hari Raya hingga tidak berkesempatan melakukan solat Hari Raya.
Sempena hari mulia itu, bukalah lembaran baru dengan saling bermaafan, ampunkan dosa dan tambahkan amalan yang baik.