SAYA merujuk kepada artikel yang mengizinkan orang Islam yang buta membawa anjing untuk membantu mereka berjalan (BH, 23 Ogos).
Saya kecewa kerana tiba- tiba Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membenarkan perkara itu.
Malah, ini termasuk membenarkan orang buta itu membawa anjingnya masuk ke restoran yang ditanggung halal.
Mungkin kita lupa beberapa tahun lalu terdapat seorang pemuda bukan Muslim yang menghina Muslim kerana tidak dapat menyentuh anjing di lelaman blognya. Berikutan kenyataannya, dia diambil tindakan.
Sebelum ini, kita ada ramai lagi Muslim buta, termasuk beberapa penyanyi seperti S. Jibeng dan Rashid Noor. Mereka tidak pernah menggunakan anjing, namun masih boleh mencari rezeki dengan menyanyi.
Malah, ada rancangan Suria yang menyiarkan kehidupan sepasang suami isteri buta dan mereka boleh hidup tanpa bantuan anjing.
Saya meluahkan perkara ini dengan harapan kita usah terlalu memperlekehkan hukum Islam. Sedangkan selama ini orang bukan Muslim sendiri amat menghormati kita dalam perkara ini.
Saya juga tidak mahu perkara seperti ini menimbulkan kekeliruan pada orang bukan Muslim dan pada orang Muslim sendiri.
Ini terutamanya mereka yang cetek pengetahuannya tentang Islam atau golongan muda kita yang berfikiran liberal.