Mudah cetak
E-mel
8 Sep 2010
FORUM
Syor kemas kini dan pertingkat skim biasiswa terbaru LBKM
TAHNIAH kepada Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) kerana mengusahakan skim biasiswa terbaru demi meringankan kos perbelanjaan mahasiswa dan siswazah Melayu/Islam kita yang mendapat tempat di universiti terkemuka dunia (BH, 3 September).
Demi mengemas kini dan mempertingkatkan lagi skim ini, menjadi harapan saya agar beberapa usulan berikut dapat difikirkan.
Pertama, memang universiti yang dijadikan ukurtara biasiswa ini, seperti Oxford dan Cambridge, tergolong dalam senarai universiti terunggul dunia. Hanyalah, dalam dunia akademik, apabila nama beberapa universiti antarabangsa disebut sebagai ‘universiti terkemuka dunia’, yang biasanya dimaksudkan ialah terkemuka di tahap atau peringkat ijazah pertama (Bachelor degree).
Hakikat ini perlu kita pertimbangkan berdasarkan pengalaman saya ditempatkan di universiti seperti Oxford, Harvard, Berkeley, LSE, dan Cairo dan juga maklumat yang saya timba mengenai perkara ini sebagai tenaga pengajar di Universiti Nasional Singapura (NUS) selama hampir 30 tahun.
Ini saya timbulkan kerana khuatir sebahagian pelajar cemerlang kita yang telah tamat ijazah pertama dan akan melanjutkan pengajian pos-siswazah (ke peringkat Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah) di universiti lain yang terkenal mutu pengajian mereka, tidak akan dipertimbangkan untuk biasiswa terbaru LBKM ini.
Dalam beberapa bidang pembelajaran peringkat tinggi, terdapat beberapa universiti yang keunggulannya adalah lebih baik dan lebih diiktiraf daripada Universiti Oxford atau Cambridge.
Kedua, tampaknya LBKM hanya memberikan biasiswa ini kepada pengajian bercorak sekular/duniawi. Persoalan saya, tidakkah baik jika peluang biasiswa yang sama dihulurkan kepada pelajar cemerlang kita yang mahu meneruskan pengajian di peringkat possiswazah dalam bidang ukhrawi/agama di universiti berprestij dunia yang lebih berorientasikan ukhrawi?
Seyogia, semangat penubuhan LBKM banyak didorong dengan peristiwa ‘Kenangan Maulud’ yang berasaskan ingatan kepada kelahiran Rasulullah saw.
Saya percaya ramai juga penderma LBKM menderma kerana semangat tersebut – dan semangat itu tentunya merangkumi hasrat agar penerima biasiswa LBKM akan sama-sama menjunjung nilai, prinsip, akhlak dan perjuangan baginda yang terkandung dalam Al-Quran, sunah dan sirah.
Setakat ini, secara am, potensi menegakkan nilai dan perjuangan sedemikian lebih berkemungkinan didukung golongan asatizah kita. Maka itu, mungkinkah peluang sama kita buka kepada mereka juga?
Ketiga, dapat kita fahami mengapa jumlah biasiswa yang diberi agak begitu sederhana sekali – $5,000 untuk peringkat ijazah dan $10,000 untuk posijazah.
Tentulah, jumlah ini jauh kurang mencukupi untuk membiayai kos pembelajaran amat tinggi, terutama di universiti berprestij di Barat, seperti di Eropah atau Amerika Syarikat.
Maka itu, saya percaya ramai antara kita yang berharap agar penerima biasiswa ini menganggapnya lebih sebagai sudut penghargaan akan kejayaan cemerlang mereka mendapat tempat di universiti terkemuka antarabangsa dan sebagai bantuan tambahan kepada perbelanjaan mereka yang memang kita akui sebagai tinggi.
Mudah-mudahan, dengan sokongan dan penyaluran kewangan lebih besar dan kerap kepada LBKM, jumlah ini dapat ditambah pada masa depan.
Kepada LBKM, syabas di atas inisiatif terbaru ini dan kepada penerima biasiswa ini, junjunglah semangat yang mendorong penubuhan LBKM – agar mereka, setelah tamat pengajian nanti, akan pulang ke tanah air sebagai individu berilmu, beriman dan beramal soleh serta membantu usaha meningkatkan imej dan kemajuan masyarakat kita ke tahap yang benar-benar boleh dianggap cemerlang.
Profesor Madya Dr Hussin Mutalib