Mudah cetak
E-mel
28 Jul 2010
FORUM
Usah sepi selepas Bulan Bahasa
PERINGATAN berterusan di akhbar ini tentang kepentingan menggiatkan penggunaan bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa 2010 amatlah dialu-alukan. Satu isu adalah mengenai anggapan bahawa masyarakat Melayu lebih cenderung berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu, yang disifatkan sebagai ancaman kepada pengekalan bahasa ibunda.
Contohnya laporan Encik Nadzri Eunos, Bahasa kian pupus di alam siber (BH, 20 Julai), yang menyifatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pengguna Internet Melayu sebagai “satu masalah besar yang sedang dihadapi bahasa Melayu”.
Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Tenaga Manusia merangkap Kesihatan, Encik Hawazi Daipi, pula dilaporkan menyedari bahawa “the pendulum had swung too far towards English” dalam laporan Getting Malays back to using their mother tongue (ST, 9 Julai).
Adakah benar masyarakat Melayu Singapura lebih cekap, secara keseluruhannya, menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa ibunda? Tidak ada jawapan mudah yang boleh diketengahkan.
Kajian penggunaan bahasa Melayu di Internet yang dilakukan pensyarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Mohamed Pitchay Ghani, dari satu sudut, menyokong saranan bahawa masyarakat Melayu memang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris.
Namun, apakah ini juga boleh dilihat sebagai ikhtiar pengguna Internet Melayu untuk menyampaikan mesej mereka kepada semua lapisan masyarakat, tidak kira Melayu, Cina atau India. Bukankah ia juga satu kemungkinan pengguna Internet Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai satu perantaraan untuk berinteraksi dengan golongan etnik lain?
Pada pendapat saya, walaupun kajian beliau berfaedah namun tidak boleh 100 peratus mengesahkan dan merumuskan bahawa masyarakat Melayu lebih cekap berbahasa Inggeris.
Sebaliknya, perangkaan laman web Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai keputusan pelajar Melayu pada peringkat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan GCE Peringkat ‘O’ mendedahkan pelajar Melayu jauh lebih cekap menggunakan bahasa Melayu jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris.
Misalnya, sekurang-kurangnya 99 peratus pelajar Melayu lulus Bahasa Melayu sejak 2001 dalam GCE Peringkat ‘O’ dan hanya 79.5 peratus lulus Bahasa Inggeris pada 2008. Pada peringkat PSLE, 98.6 peratus pelajar Melayu lulus Bahasa Melayu dan hanya 94.4 peratus lulus Bahasa Inggeris pada tahun 2008.
Jika dibandingkan dengan kaum lain, pelajar Melayu mempunyai rekod kelulusan terbaik dalam bahasa ibunda mereka. Pencapaian ini menandakan pelajar kita masih cekap dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris, melainkan isunya pelajar kita mungkin cemerlang dalam Bahasa Melayu tetapi kurang yakin menggunakan bahasa ibunda itu dalam pertuturan harian.
Isu penggunaan bahasa Melayu ini wajar kita bahaskan walaupun selepas Bulan Bahasa sedang masyarakat Melayu kita terus berjuang demi mengekalkan bahasa ibunda kita.
Mohd Haireez Jufferie