MERUJUK kepada pandangan Encik Yasser Arafat Abdullah berhubung Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) (BH, 24 Julai), beliau mempersoal rungutan yang dilahirkan tentang kewibawaan beberapa asatizah yang tersenarai di bawah ARS.
Ini selain soal tidak ada penjelasan kepada asatizah yang gagal mendapat pengiktirafan (tauliah) daripada ARS dan soal asatizah yang diberi tauliah atau pengiktirafan ARS tetapi tidak mempunyai sijil atau tauliah daripada institusi Islam yang diiktiraf.
Pada masa yang sama, akhbar Berita Minggu pada 25 Julai lalu menyiarkan laporan bertajuk Skim iktiraf asatizah perlu diberi ‘taring’, di mana pengerusi bersama Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, mengatakan “ARS ini hanya berkesan sepenuhnya jika ia (ARS) mendapat sokongan masyarakat”.
Memang untuk bertindak secara berkesan, sesebuah badan memerlukan 'taring' untuk 'menggigit', ‘menyiat’ dan ‘membunuh’. Tetapi perlu juga difahamkan bahawa apa perlunya taring jika pentadbiran badan itu tidak bertindak sewajarnya (rujuk apa yang diperkatakan Encik Yasser Arafat).
Dengan cara pentadbiran yang lemah, masyarakat boleh hilang kepercayaan dan ini akan menyukarkan ARS mendapat sokongan masyarakat yang sepadu?
Memandangkan pihak pemerintah mengambil jalan berhati-hati untuk menguatkuasakan ARS dan ARS pula memerlukan pengiktirafan masyarakat, hal ini menempatkan ARB dan ARS pada jalan yang belum pasti. Oleh itu, saya ingin menyarankan agar ARB bertindak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Ustaz Embek Ali (Allahyarham).
Beliau selalunya melakukan penyiasatan kemudian mendedahkan semua kesesatan yang berlaku untuk pengetahuan umum dan kaunseling diberi kepada pihak yang sesat.
Ustaz Mohamad Hasbi telah menyatakan bahawa pihaknya telah mengetahui bukan sahaja siapa asatizah berkenaan bahkan tempat dan kesalahan yang mereka lakukan (fahaman ganjil).
Saya berpendapat tindakan sepatutnya sudah dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk membetulkan ‘kesalahan’ itu sebelum fahaman berkenaan menular dan lebih ramai lagi anggota masyarakat Islam terpengaruh.
Tidak praktikal bagi ARB hanya setakat menunggu hingga tumbuh ‘taring’ baru boleh bertindak.