SALING MELENGKAPI: Duta UAE di Singapura, Encik Mohamed A. Al Qubaisi, berkata pemerintah Singapura dan kerajaan Abu Dhabi telah bersetuju meneroka usaha sama dalam pelbagai bidang yang dapat membantu meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kededua negara. -- Foto TUKIMAN WARJI
|
Mudah cetak
E-mel
5 Dis 2011
EKONIAGA
Syor manfaatkan jenama S'pura bagi terokai UAE
Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyambut Hari Kebangsaannya yang ke-40 pada Jumaat lalu. Sempena sambutan itu, wartawan Ekoniaga, ROSEBI MOHD SAH (rosebi@sph.com.sg), mengadakan wawancara eksklusif dengan Duta UAE di Singapura, Encik Mohamed A. Al Qubaisi, mengenai pelbagai isu terutama dalam hubungan dua hala kedua-dua negara yang semakin meningkat.
Reputasi
baik akan memudahkan peniaga S'pura kembangkan niaga di Teluk
SINGAPURA mempunyai imej dan reputasi yang sangat baik bagi negara-negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan imej tersebut memudahkan lagi para peniaga dan pelabur Singapura menjalankan perniagaan dan pelaburan di tujuh negara Amiriah di bawah UAE.
Menegaskan demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan Ekoniaga baru-baru ini, Duta UAE di Singapura, Encik Mohamed A. Al Qubaisi, berkata:
'Singapura mempunyai reputasi yang sangat baik di mata penduduk, para peniaga dan pemimpin UAE.
'Namun, kebanyakan para peniaga Singapura masih berasa takut untuk melabur di luar negara. Saya menggalakkan mereka supaya keluar dan teroka.
'Ini kerana anda mempunyai jenama bagi menjalankan perniagaan yang membanggakan, menjalankan kerja dengan lebih profesional.
'Dengan reputasi dan janama yang baik itu, UAE merupakan tempat yang sangat baik untuk anda memulakan perniagaan dan mengembangkannya ke negara-negara Teluk lain.
'Kami sendiri banyak mempelajari daripada pengalaman Singapura membangunkan ekonominya. Pemerintah Singapura sentiasa membuka tangan dan menghulurkan bantuan kepada kami dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai bidang,' tambahnya.
Memberi contoh, beliau berkata dua pasukan seragam UAE - pasukan polis dan pasukan penjara negara itu - kini berada di Singapura bagi menjalani kursus latihan dan pengetahuan daripada pengalaman Singapura.
'Malah, ramai para pegawai kami sebelum ini datang ke Singapura bagi mempelajari pelbagai sektor dan bidang. Singapura merupakan tanda aras yang perlu diberi perhatian,' tambahnya.
Encik Mohamed juga menggesa peniaga Singapura memulakan perniagaan di negara-negara UAE menerusi bantuan dewan-dewan perniagaan dan perusahaan setiap negara Amiriah.
'Mereka akan menghubungkan langsung para peniaga anda dengan para peniaga di sana. Kami bersedia membantu mereka yang ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan di UAE. Kami akan membuat pengenalan dan mereka boleh memulakan perniagaan dari sana,' ujarnya.
Menurut beliau, apa yang diperlukan oleh para peniaga Singapura ialah mereka harus mengenal pasti terlebih dahulu apakah pasaran yang ingin mereka ceburi dan mengkajinya secara mendalam sebelum meneroka ke Amiriah-Amiriah di UAE.
'Fahami pasaran anda dan kemudahan-kemudahan yang kami sediakan. Sesetengah para peniaga Singapura membuka perniagaan di Dubai dan kemudian meluaskannya atau berpindah ke Abu Dhabi.
'Anda boleh ke sana terus jika sudah memahami pasaran di sana atau jika tidak, datanglah ke duta kami di sini atau dapatkan bantuan dewan-dewan perniagaan kami bagi nasihat yang betul sebelum anda ke UAE,' tambahnya.
Namun, Encik Mohamed memberi amaran bahawa para peniaga dan pelabur Singapura harus berhubungan dengan para pegawai Dewan dan pemerintah sahaja supaya tidak tersilap langkah.
'Jangan mendengar sesiapa jua yang menawarkan perkhidmatan atau perniagaan tetapi tidak tahu apa yang dilakukan pemerintah negara-negara itu.
'Jika anda sudah pun menjalankan perniagaan di sana secara sendiri, berniagalah di zon-zon dagangan bebas yang disediakan kerajaan kami tetapi saya sarankan anda menjalankan perniagaan menerusi dewan-dewan perniagaan setempat di sana kerana mereka mempunyai senarai nama orang yang dapat membantu anda,' katanya.
Menurutnya lagi, antara bidang-bidang perniagaan dan pelaburan yang diutamakan di UAE yang boleh dimanfaatkan para peniaga di Singapura adalah bidang perkhidmatan dan pendidikan, logistik, kesihatan, perubatan dan penjagaan kesihatan, hartanah serta projek-projek prasarana.
Beliau berkata UAE merupakan sebuah negara antarabangsa. Daripada 7.6 juta penduduk di UAE, hanya satu juta penduduk setempat negara itu.
'Penduduk asing daripada pelbagai pelosok dunia berada di UAE dan setiap orang mempunyai hak yang sama dan dilayan sama rata. Kerajaan UAE menyediakan zon-zon perdagangan bebas bagi memudahkan penduduk asing memulakan perniagaan mereka sendiri,' tambah beliau.
Menurut beliau, terdapat 21 zon perdagangan bebas yang disediakan UAE bagi para peniaga asing yang ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan di UAE.
Juga, terdapat 10 lapangan terbang antarabangsa di UAE.
'Selain sebagai negara pengeluar minyak utama, kami juga menjalankan perniagaan dengan negara-negara di serata dunia kerana lokasi kami sebagai pintu gerbang ke negara-negara Teluk yang lain.'
Singapura dan UAE, katanya, mempunyai hubungan dua hala ekonomi dn politik yang kukuh.
Kedua-dua negara juga mempunyai kedudukan yang unik dan mempunyai peranan yang sama - UAE sebagai pintu gerbang bagi mereka yang ingin meluaskan perniagaan dan pelaburan ke negara-negara Teluk dan ke Eropah manakala Singapura menjadi hab dan pintu gerbang bagi para peniaga yang ingin meluaskan perniagaan ke benua Asia.
Kedua-dua negara yakin adalah penting bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kerana peranan penting yang diterajui mereka.
Ini menyebabkan banyak perjanjian dimeterai antara kededua negara bagi mengukuhkan lagi jalinan tersebut.
Pemerintah UAE juga banyak berusaha mengenalkan penduduknya tentang Singapura menerusi pelancongan sosial dan juga pelancongan perubatan.
Hubungan yang semakin akrab itu menurut beliau juga mencerminkan peningkatan dagangan dua hala antara kedua-dua negara daripada AS$3.4 bilion ($4.3 bilion) beberapa tahun lalu kepada AS$13 bilion tahun lalu.
Singapura, katanya, merupakan rakan dagangan nombor lima bagi UAE sementara UAE pula merupakan antara 10 rakan dagangan terbesar Singapura.
Hubungan antara kedua-dua negara itu dikukuhkan lagi dengan Forum Singapura yang diadakan pada Februari setiap tahun - di Singapura dan di Abu Dhabi - bagi para peniaga kedua-dua negara mengenali peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di negara masing-masing.
'Kami juga menggalakkan lain-lain negeri Amiriah menandatangani perjanjian-perjanjian yang berbeza dengan Singapura.
'Singapura terkenal dengan bidang perkhidmatan dan perkilangan yang ditawarkannya. Disebabkan saiznya yang kecil, kami menggalakkan mereka membuat proses pemasangan barangan atau produk mereka di zon-zon dagangan bebas UAE dan mengeksportkannya semula ke Timur Tengah dan Eropah.
'Dengan melakukan demikian, mereka dapat menjimatkan kos antara 40 dengan 50 peratus berbanding jika mereka berurusan langsung ke Eropah.
'Malah, UAE adalah tempat permulaan dasar yang baik bagi memulakan perniagaan di negara-negara Teluk yang lain,' tambahnya.
Menurut beliau lagi, di Dubai sahaja terdapat sekitar 300 syarikat Singapura menjalankan perniagaan di sana - kebanyakan dalam bidang perkhidmatan, perunding cara, hartanah dan logistik.