Mudah cetak
E-mel
25 Ogos 2009
EKONIAGA
Kempen belajar menabung dapat sokongan menggalakkan
Oleh
Atiyyah Mohd Said
KEMPEN belajar menabung selama sebulan, Simpan Challenge, telah menarik hampir 600 peserta dan berharap lebih ramai masyarakat Melayu akan menyertainya.
Kempen anjuran Kelab Ekoniaga Berita Harian (BH) dan firma pendidikan kewangan NowAsia itu sudah pun mendapat penaja daripada tiga firma swasta serta sokongan daripada badan-badan Melayu/Islam.
Di bawah kempen yang bermula pada 1 September nanti, para peserta akan diberi sasaran menabung jumlah maksimum $1,000 dalam masa sebulan.
Sepanjang bulan itu mereka akan menerima panduan dan nasihat menerusi e-mel daripada pemilik NowAsia, Encik AbuAyubul Ansari atau lebih dikenali dengan Abang Abu, dan usahawan terkenal, Encik Sujimy Mohd. Panduan berunsur agama juga akan diselitkan yang disumbangkan Ustaz Abdul Rahman Mohd Sahib daripada Masjid Darul Aman.
Di akhir kempen itu, 10 keluarga atau individu yang berjaya menyimpan wang paling banyak akan diundang berkongsi pengalaman.
Menurut Encik Abu, beliau berpuas hati kerana mendapat sokongan kukuh daripada badan-badan Melayu/Islam iaitu Masjid An-Nur yang menyediakan ruang untuk pendaftaran, Rangkaian Usahawan Muda di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (Yen@SMCCI), Persatuan Ain dan Angkatan Karyawan Islam (AMP) yang menggalak para peserta skim-skim mereka menyertainya.
'Kempen ini adalah program susulan kepada program Bijak Belanja yang saya kendalikan bersama AMP. Menerusi kempen ini, ia menyediakan saluran untuk mereka mengaplikasikan apa yang dipelajari menerusi program Bijak Belanja dan mencabar diri mereka untuk menabung,' ujar beliau.
Mengenai tajaan yang sudah diterima, Encik Abu berkata tiga firma swasta - syarikat hartanah City Homes, Xango MIG Singapore Pte Ltd dan IslamicEvents.sg - telah menaja risalah yang bakal diberikan kepada para peserta.
'Kami gembira kerana turut menerima tajaan daripada firma swasta khususnya dalam penajaan 3,000 keping risalah yang akan diberikan pada acara finale kempen ini, Secara keseluruhan, risalah bertajuk 10 Petua Rahsia Jutawan menelan belanja kira-kira $2,000,' ujarnya.
Firma-firma itu juga akan memainkan peranan menarik lebih banyak penyertaan. Contohnya, firma pengedar produk kesihatan, Xango MIG, yang mempunyai 1,000 anggota telah menarik seramai 50 orang.
Salah seorang pengedarnya, Encik Abdul Sani, berkata projek kemasyarakatan ini selaras dengan matlamat firma untuk membantu masyarakat mencapai kesihatan baik agar mengelak daripada dibebani kos-kos rawatan.
Mereka yang berminat boleh mendaftar secara talian di laman web www.abangabu.com atau dengan menghubungi talian 6220-0701. Para peserta dikenakan $5 sebagai bayaran pentadbiran. Anggota Kelab Ekoniaga yang berminat boleh e-mel ke simpan@nowasia.sg