MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

8 Ogos 2009

EKONIAGA

Kelab Ekoniaga, NowAsia anjur kempen menabung

Peserta 'Simpan Challenge' terima petua kewangan menerusi Internet dan e-mel

Oleh
Atiyyah Mohd Said

SERING menyimpan hasrat menabung tetapi selalu tidak kesampaian?

Kini anda boleh belajar cara-cara menabung serta menggandakan wang dengan berkesan menerusi kempen 'Simpan Challenge' anjuran bersama Kelab Ekoniaga Berita Harian dan firma pendidikan kewangan, NowAsia.

Menerusi kempen selama sebulan itu, peserta tidak perlu menghadiri kelas atau bengkel kerana mereka akan menerima petua ilmu kewangan menerusi Internet dan e-mel.

Editor Ekoniaga, Cik Fadilah A. Majid, berkata kempen ini bermatlamat menjadikan masyarakat Melayu lebih bersikap berhati-hati dalam berbelanja dan mengamalkan sikap menabung untuk masa depan dan hari tua.

'Idea mengadakan kempen itu diilhamkan NowAsia sendiri.

'Kami menyokongnya kerana ia sejajar dengan matlamat Kelab Ekoniaga bagi meningkatkan kesedaran pentingnya menabung dan meneroka pelbagai peluang baru menjana pendapatan.'

'Lebih-lebih lagi bulan puasa ini, selalunya terdapat kecenderungan berbelanja lebih. Menerusi kempen ini, diharap peserta dapat dibantu agar mengekang amalan boros,' ujarnya.

Kelab Ekoniaga kini mempunyai 300 anggota.

Menjelaskan lebih lanjut inti kempen Simpan Challenge itu, pemilik NowAsia, Encik Abuayubul Ansari, yang juga pengelola Kelab Ekoniaga, berkata dengan menyertai Simpan Challenge, peserta akan dapat membuktikan kepada diri mereka bahawa mereka boleh menyimpan di samping membantu menanam sifat menabung dalam kalangan seluruh ahli keluarga.

Encik Abu, yang lebih dikenali sebagai AbangAbu menerusi ruangan Belia dan Bisnes di halaman Ekoniaga, dan pelbagai program keusahawana untuk pelajar dan orang dewasa menjelaskan, secara am terdapat dua cara sahaja untuk menambahkan pendapatan iaitu menjana pendapatan tambahan atau mengurangkan perbelanjaan dengan menabung.

'Saya lebih suka memfokus kepada melebihkan pendapatan melalui pelaburan dan keusahawanan. Mengurangkan perbelanjaan yang perlu amat sukar dilakukan.

'Ramai tidak begitu menghiraukan tentang pelaburan saham, hartanah atau simpanan masa depan atau persaraan. Sebaliknya mereka ingin tahu bagaimana menyimpan atau mendapat wang sekarang juga,' kata Encik Abu.

Menurutnya, jumlah peserta yang disasarkan ialah 1,000 orang dan sejauh ini, lebih 100 peserta sudah berdaftar.

Jumlah sasaran simpanan maksimum yang boleh dicapai ialah $1,000 dalam masa empat minggu.

Pada akhir kempen itu, 10 keluarga atau individu yang berjaya menyimpan wang paling banyak akan diundang mengongsi pengalaman.

Ini bertujuan memberi semangat kepada keluarga lain agar terus menabung.

Turut memberikan petua dan nasihat ialah Encik Sujimy Mohamad, Pengarah Screenbox Pte Ltd, seorang usahawan Melayu berjaya.

'Para peserta juga akan diberikan pedoman setiap hari bagi menanamkan ilmu agama pada diri mereka dalam bab kewangan,' ujar Encik Abu lagi.

Menurut Cik Fadilah, usaha sedang dibuat bagi menarik sokongan beberapa persatuan Melayu/Islam supaya menyertai kempen ini .

'Dengan sokongan pertubuhan seperti Mendaki dan Angkatan Karyawan Islam (AMP), kempen ini dapat diluaskan bagi menarik seramai mungkin peserta,' ujarnya.

Pendaftaran bagi kempen Simpan Challenge bermula 1 Ogos lalu dan berakhir 30 Ogos ini.

Kempen akan bermula secara rasmi pada 1 September dan berakhir 30 September ini.

Sesiapa yang berminat boleh mendaftar menerusi dalam talian di laman web www.abangabu.com atau dengan menghubungi talian 6220-0701.

Para peserta akan dikenakan $5 sebagai bayaran pentadbiran.


KEMPEN SIMPAN CHALLENGE

  • Pendaftaran bermula dari 1 Ogos lalu dan ditutup pada 30 Ogos.

  • Pelancaran rasmi pada 29 Ogos. Setiap peserta akan menerima buku bertajuk '10 petua rahsia jutawan'.

  • Petua pertama 'Simpan Challenge' akan bermula pada 1 September.

  • Semua peserta akan dapat petua cara mengurangkan belanja atau menjana wang melalui e-mel setiap hari selama 30 hari dari 1 hingga 30 September.

  • Peserta akan menetapkan matlamat menjana $1,000 menggunakan petua sepanjang tempoh kempen.

  • Peserta harus melaporkan berapa yang disimpan setiap minggu melalui e-mel dan usaha mereka mengurangkan belanja atau menjana pendapatan.


  •  
       
     

    EKONIAGA

     
     
    350 usahawan wanita dijangka hadiri sesi dialog dengan menteri
     
     
    Sambutan baik bagi tawaran sukuk pertama dijamin kerajaan Saudi
     
     
    Peniaga rancang luaskan pusat tuisyen matematik
     
     
    Beberapa firma Melayu/Islam diiktiraf antara terulung
     
     
    Firma digesa lengkapkan diri rebut peluang pasaran luar negara
     
     
    Laba kumpulan DBS capai rekod $3.04b
     
     
    Syarikat saiz sederhana harap Belanjawan beri pelepasan cukai
     
     
    Mitos dalam Internet