Mudah cetak
E-mel

22 Feb 2012

SUTRA OKTOBER 2011
Chalo cari sari jejaki sejarah

Kolkata, India menawarkan persekitaran yang berbeza berbanding Singapura, NURMAYA ALIAS yang berkunjung ke sana baru-baru ini menyingkap daya tarikannya.

Chalo! Saya suka mendengar perkataan ini sepanjang kunjungan saya ke India. Apa tidaknya? Chalo bererti 'mari pergi' dalam bahasa Hindi atau cakap sembangnya, 'jom jalan'.

Ia adalah isyarat saya perlu segera membuka mata, memasang telinga dan menyiapkan kamera kerana saya akan menerokai destinasi baru!Pon! Pon! Pon!

Seawal 6.30 pagi, bunyi hon kereta sudah mula memecah ruang udara di Kolkata. Aduh! Jalan rayanya sudah mula penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan di kiri dan kanan. Bunyinya hingar-bingar.

Bunyi hon kereta ibarat 'lagu' yang menemani saya dan empat orang wartawan ke mana-mana sejurus sahaja kami menaiki van atau bas menuju setiap destinasi.

Kota Kolkata
Kami ke sana atas undangan syarikat penerbangan, SilkAir yang baru melancarkan penerbangan langsung ke Kolkata, ibu kota West Bengal dengan tajaan Kementerian Pelancongan India.

Tatkala saya dan teman-teman serombongan masih dalam keadaan mengantuk, kami dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang terus bertali arus sepanjang perjalanan ke kawasan pusat bandar.Tetapi, apa yang menarik di kawasan pusat bandar?

Inilah tempat yang harus menjadi destinasi persinggahan bagi mereka yang meminati kesan sejarah dan ingin menjejaki bahagian 'Eropah' di kawasan bandar Kolkata yang pernah menjadi ibu kota Empayar Britain.

Di sini jugalah anda berpeluang melihat pelbagai gelagat penduduk di sana pada waktu pagi dan melihat gerai jalanan yang menjual sarapan.Sebaik-baiknya, anda datang sejam lebih awal sebelum para pekerja di sana memasuki pejabat sekitar 8.30 pagi.

Dalhousie Square
Salah satu tarikan di kawasan pusat bandar adalah bangunan-bangunan warisan penjajahan British yang membentuk sejarah Kolkata.

Bangunan yang dianggap monumen dunia adalah Dalhousie Square, kini dikenali sebagai Benoy-Badal-Dinish-Bagh. Ia berdiri di sebuah kawasan empat segi yang dikelilingi tasik air.Di sinilah ketua-ketua Empayar British pernah berbincang perihal politik, sosial dan kewangan.

Pelbagai bangunan bersejarah seperti Writers' Building dan General Post Office, pejabat-pejabat, pusat perniagaan dan bank mengelilingi Dalhousie Square.

Sambil saya menikmati keindahan seni bina bangunan itu,tercuit hati melihat penduduk-penduduk Kolkata yang begitusantai di tepi tasik.

Ada yang menggunakan air tasik itu untuk mandi, mencuci pakaian dan menggosok gigi. Beberapa helai kain dan baju basah kelihatan berjuntaian dari tali kabel.

Sejurus sahaja melihat kedatangan kami, ada yang mengukir senyuman sambil tersipu-sipu. Sempat juga seorang aci bergaya untuk petikan kamera saya.

Menaiki trem
Tatkala asyik berjalan, kami ternampak laluan trem di darat.Tahukah anda bahawa Kolkata adalah satu-satunya kota India yang mempunyai sistem trem?

"Chalo! Kita naik trem," kata salah seorang pemandu pelancong kami, Neelamjana Chatterjee, atau ringkasnya, Neelam.

Oooh! Satu peluang keemasan di India. Trem kendalian Calcutta Tramways Company (1978) Limited ini adalah trem elektrik yang tertua di Asia sejak 109 tahun.

Menurut Neelam, kami menaiki trem kelas pertama. Yang membezakan kelas pertama dengan kedua hanyalah sebuah kipas angin dan perbezaan tambangnya iaitu pertambahan satu rupee.

Ruang trem luas dan selesa walaupun kerusi besinya sudah berkarat. Satu peringatan! Jangan keluarkan kepala atau tangan di luar tingkap demi keselamatan. Jika tidak, anggota tubuh anda itu mungkin tergesel dengan trem yang mendatang. Bahaya!

Pasar 'baru'
Sebelum saya berangkat ke India, emak saya berulang kali mengingatkan saya untuk membeli kain sari untuknya. Maklumlah, emak saya hantu kain. Maka, tidak hairanlah, jika terdapat ramai golongan kakak dan mak cik yang seperti emak saya.

Ternyata bukan golongan ini sahaja yang 'mabuk kain'.Semasa di Kolkata, saya mendapat tahu bahawa pemandu pelancong saya juga dua kali lima.

"Kebanyakan corak kain sari adalah hasil karya seni artis-artis tempatan India. Ini adalah salah satu cara kami memelihara seni warisan," kata Neelam.

Menurutnya, terdapat pelbagai jenis kain sari di daerah West Bengal. Salah satu kain paling popular adalah sari Benggali iaitu sari kapas yang mempunyai tenunan bercorak dengan pinggiran kainnya yang padat.

Apalagi? Chalo ke tempat membeli-belah yang tertua dan terkenal bernama New Market di Lindsay Street.Penjajah British telah menubuhkan kawasan membeli-belah itu dengan nama Sir Stuart Hogg Market pada tahun 1874. Jika dahulu, pasar ini menjual barangan mahal untuk penjajah British, ia kini menjadi pasar popular untuk penduduk India.

Tetapi, anda mesti bersiap sedia untuk berjalan merentasi ratusan manusia. Bayangkan, keadaan di Little India di Singapura pada hujung minggu di Singapura.

Kemudian, bayangkan pula kawasan New Market mungkin 10 kali ganda lebih sesak dan riuh-rendah dengan ramainya orang yang berkunjung ke sana.

Di samping perlu berasak dengan pengunjung, anda juga perlu berhati-hati dengan kenderaan yang bergerak.Pasar New Market menawarkan lebih 2,000 kedai dan gerai yang menjual pelbagai barangan seperti kain sari, selendang, skarf, sandal, beg, pakaian sehingga ke permainan kanak-kanak.

Kaya sejarah
Terus terang saya katakan, Kolkata adalah tempat untuk mereka yang meminati unsur peninggalan sejarah.

Terkenal sebagai tapak permulaan syarikat East India Company pada abad ke-16, ia mempunyai pelbagai muzium yang memperingati ketua-ketua terkemuka dunia seperti Ratu Permaisuri Victoria, biarawati dan aktivis sosial Mother Teresa dan pelukis serta penyair agung India, Rabindranath Tagore.

Pengalaman menjejaki tempat-tempat bersejarah ini adalah satu pembuka mata dan subjek untuk kamera saya.

Saya terpegun dengan keindahan seni bina Victoria Memorial Hall yang padat dengan sejarah East India, penjajahan Empayar British dan artifak-artifak menarik dan keindahan batu marmar yang membentuk setiap sudut Marble Palace, dan rumah milik pedagang Benggali, Raja Rajendra Mullick, yang melambangkan kemewahannya.

Tagore House kelihatan tersergam indah di mana rona oren terang menjadi tempat tinggal Rabindranath sehingga beliau meninggal dunia.

Jika selama ini saya kerap membaca dan mendengar tentang bakti Mother Teresa kepada masyarakat, semasa di sana, saya dapat melihat di mana Mother Teresa bekerja dan tidur dari 1953 hingga 1997 apabila kami mengunjungi The Motherhouse.Di situ jugalah terletaknya makam Mother Teresa.

Jika anda membuka mata, anda juga boleh melihat beberapa masjid dalam perjalanan. terletak berdekatan dengan The Motherhouse.Sesungguhnya, penduduk di bahagian ini tinggal dalamkeharmonian agama.

Kuil gah
Selain muzium, Kolkata juga membolehkan anda meninjau tempat-tempat ibadat, yang sebahagian besarnya adalah tempat ibadat orang Hindu. Penduduk Kolkata juga tergolong daripada mereka yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Sikh dan Jain.

Salah satu kuil yang anda boleh kunjungi adalah kuil Kali Temple di daerah Dakshineshwar. Ia adalah kuil berusia 160 tahun yang memaparkan budaya, tradisi dan kerohanian penduduk Kolkata.

Kuil itu berhadapan Sungai Hooghly, salah satu cabang sungai yang mengalir dari Sungai Ganges, yang dianggap air suci oleh penduduk India.

Sebuah lagi kuil yang singgah adalah Jain Temple, kuil penganut Jain, yang kelihatan gah dengan seni bina pengaruh Kolkata, Rajasthan dan Yunani (Greek).

Saya terpegun dengan ukiran rumit yang begitu kreatif danindah di kuil berwarna-warni itu.Setiap corak di lantai, dinding, pintu dan bumbung membuat saya berasa ghairah bak melihat lukisan kanvas yang menyerlah.

Satu nasihat buat anda.Bawalah sepasang stoking bersama jika anda tidak mahu kaki memijak tanah atau habuk. Ini kerana anda perlu menanggalkan kasut untuk memasuki kuil dan Marble Palace.

Makanan halal
Menurut Neelam, semua daging lembu, kambing dan ayam dibekalkan oleh orang Islam di Kolkata kerana mereka yang membela lembu, kambing dan ayam.

Untuk mengenal pasti restoran halal, tanya pengurus hotel atau pemandu teksi. Ikan hilsa adalah ikan kegemaran penduduk Kolkata. Anda boleh mendapati pelbagai jenis hidangan ikan hilsa ini.

Penginapan

Taj Bengal
Ia adalah hotel mewah lima bintang yang terletak berdekatan pusat bandar Kolkata. Harganya mulai $100 bergantung pada tempoh penginapan anda.

Alamat: 34B, Belvedere Road
Alipore – 700 027
Kolkata (Calcutta), India
Tel: +91-33-6612-3939/2223-3939
E-mel: bengal.calcutta@tajhotels.com
Laman web: www.tajhotels.com

The Floatel
Ia satu-satunya hotel mesra alam yang terapung di atasair dan dikelilingi Sungai Hooghly. Hotel empat bintang ini mempunyai bilik yang kelihatan bersih dan selesa.

Alamat: 9/10 Kolkata Jetty
Strand Road, Kolkata 70001
Tel: +91-33-2213-7777
E-mel : info@floatelhotel.com
Laman web: www.floatelhotel.comWarna-warni Kolkata
Mengapa anda harus ke Kolkata?

Kolkata adalah kota India ketiga dengan penduduk paling ramai iaitu sekitar 16 juta orang. Ia kota yang menawarkan begitu banyak sejarah di samping memberi anda peluang untuk memborong kain sari asli yang cantik-cantik belaka.

Anda juga berpeluang melihat gelagat penduduknya yang hampir sama seperti yang anda saksikan di kaca televisyen – riuh-rendah dan sesak.

Basnya penuh sesak dengan penumpang untuk bernafas. Kita juga boleh melihat penduduknya mandi dan mencuci pinggan di tepi jalan raya kerana pam air telah dipasang di tepi jalan raya. Ia merupakan gambaran biasa di sana.

Namun, kehadiran ramai pegawai polis membuat saya berasaselamat di India walaupun saya tahu saya tetap perlu sentiasaberhati-hati.

Yang paling menarik hati saya adalah seni bina tempat-tempat bersejarah, iklan berwarna-warni di sepanjang jalan dan pertunjukan fesyen percuma yang mengetengahkan wanita-wanita India dalam pelbagai corak dan warna pakaian tradisional mereka.

Chalo, Kolkata!

Syarikat Pelancongan di India
The Great India Tour Company

Tel: +91-471-3011-500
E-mel: anil.gitc@ategroup.org
Laman web: http://gitc.travel/

Penerbangan SilkAir ke Kolkata
SilkAir menawarkan empat penerbangan ke Kolkata setiap minggu. Ini adalah tambahan penerbangan Singapore Airlines yang ke Kolkata seminggu tiga kali. Penerbangan ulang-alik SilkAir jatuh pada Isnin, Selasa, Khamis dan Ahad. Layari laman web SilkAir untuk maklumat lanjut.

Alamat pejabat
SilkAir
Keypoint
371 Beach Road, #17-08
Singapura 199597
Tel: 6223-8888 (24 jam)
Laman web: www.silkair.com

 
   
 

CITRA

 
 
Menuntut Ilmu Sampai Ke Beijing-Xian
 
 
Korea di musim luruh
 
 
Klik... Klik... & Jimat