Mudah cetak
E-mel

22 Feb 2012

MAKAN ANGIN
Menuntut Ilmu Sampai Ke Beijing-Xian

Daripada sekadar melihat gambar di buku-buku teks sejarah, NORZULRIYAH HARON, akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke tempat yang penuh dengan kesan peninggalan sejarah.

Saya mulanya berminat ke Beijing kerana pakej pelancongan ke sana agak murah berbanding yang ditawarkan untuk beberapa destinasi lain. Namun ada saja aral melintang.

Pada 2006, misalnya, pada saat akhir, saya diberitahu ejen pelancongan tidak menempah tempat untuk saya. Alasannya? Saya tidak membayar wang cengkeram. Apabila ditanya mengapa beliau tidak menghubungi saya untuk mendapatkan bayaran, beliau berkata bahawa beliau terlalu sibuk.

Bak kata orang, pinggan tak retak, nasi tak dingin, awak tak hendak, saya pun tak ingin. Maka saya berpindah ke khidmat agensi pelancongan lain.Mujurlah saya dapat membeli pakej percutian ke Jepun. Tidak terbazir cuti yang saya ambil Disember lalu. Inilah yang dikatakan, manusia merancang, Tuhan menentukan.

Muzium Perajurit
Pada tahun lalu, ceritanya berbeza. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, sebuah agensi pelancongan menawarkan pakej ke Beijing dan Xian. Setelah sekian lama memendam hasrat ke dua bandar Chinaitu, akhirnya tercapai juga hajat saya.Beijing dan Xian tidak terasa terlalu asing bagi saya. Ini memandangkan saya belajar tentang sejarah China dari sekolah menengah hingga ke universiti.

Beijing dan Xian mempunyai beberapa restoran makanan halaldan masjid bagi memenuhi keperluan pengunjung Muslim.

Mentelah lagi, dua bandar itu mempunyai beberapa restoran makanan halal dan masjid bagi memenuhi keperluan pengunjung Muslim.Xian pada awal Jun tahun lalu terasa agak dingin, dengan suhu 12 hingga 29 darjah Celsius. Ibu wilayah Shaanxi di tengah China itu terkenal dengan patung-patung tanah liat dinamakan Tentera Terracotta yang ditemui di sana pada 1974.

Patung-patung perajurit dan kuda itu dipercayai dimakamkan bersama Qin Shi Huang, maharaja pertama China yang hidup dari 259 hingga 210 sebelum Masihi, untuk menemaninya di alam kubur.

Sejurus melangkah ke kawasan cari gali di Muzium Perajurit dan Kuda Terracotta, saya terpegun dan puas kerana dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri barisan Tentera Terracotta yang selama ini saya hanya lihat dalam buku teks sekolah.

Yang menarik
1. Kakitangan syarikat krim lecur yang membakar telapak tangannya dengan rantai besi panas empat kali sehari untuk membuktikan kepada pengunjung keberkesanan produknya.
2. Patung comel dipanggil 'pee-pee boy' yang 'buang air' serta cawan dengan gambar Tembok Besar China yang bertukar menjadi gambar naga bagi menandakan air sudah cukup panas untuk membuat teh.
3. Sesetengah jurujual yang melaungkan istilah Melayu ‘Murah... murah!’ Rasanya seperti membeli-belah di pasar malam di Singapura sahaja.

Solat di masjid tertua
Di Muzium Sejarah Shaanxi yang menyimpan lebih 300,000 khazanah silam pula, saya kagum melihat perkakas dan perhiasan yang digunakan oleh masyarakat China seawal abad ke-17 sebelum Masihi.

Sukar mempercayai sesetengah artifak dihasilkan masyarakat purba kerana buatannya kelihatan begitu teliti.

Saya juga bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat di Masjid Besar Xian. Dibina pada 742, masjid yang kelihatan agak usang itu dipercayai masjid tertua di China.

Berbanding Xian, Beijing agak panas sedikit dengan suhu 15 hingga 33 darjah Celsius. Ibu negara China itu mempunyai beberapa masjid. Masjid tertuanya ialah Nujie, yang dibina pada 996. Dua lagi masjid di sana yang sempat saya kunjungi ialah Nan Dou Ya dan Madian.

Selain di masjid, pelancong Muslim juga boleh bersolat di beberapa restoran yang menyediakan musalah.Baik di Beijing mahupun Xian, saya dapati makanannya agak masin dan berminyak. Kadar kolesterol dalam badan boleh melambung, apatahlagi telur dadar menjadi semacam sajian wajib. Saya difahamkan ini untuk memenuhi selera sesetengah pelancong Melayu yang tidak tertelan makanan tempatan.

Mesti cuba!
1. Nikmati sajian Itik Peking
2. Apabila membeli-belah di pasar-pasar Ya Show, Hong Qiao dan Sunny Gold Street, pastikan anda tawar-menawar sehingga kurangdaripada separuh harga.Ia pasti akan membuat jurujual mengeluh: "You kill me, you kill me!" (Awak bunuh saya, awak bunuh saya!)
3. Memanjat Tembok Besar China. Pemimpin China Mao Zedong pernah berkata bahawa seseorang yang belum sampai ke Tembok Besar China bukan wira sebenar.

Kegiatan lasak
Mujurlah pakej percutian menawarkan kegiatan lasak yang dapat mengurangkan lemak di badan seperti mendaki Tembok Besar China. Tembok sepanjang 8,852 kilometer itu dibina dari abad kelima sebelum Masihi hingga abad ke-16 untuk melindungi China daripada puak-puak nomad.

Tinggi anak-anak tangganya hingga ke paras lutut. Boleh lemah lutut dibuatnya, apatah lagi melihatkan pemandangan di bawah.

Sudahlah setinggi lima hingga sembilan meter atau dua hingga empat tingkat flat HDB, tembok itu dibina di kawasan bergunung-ganang pula. Gerun dibuatnya!

Perlu senaman lagi? Bersiar-siarlah di Kota Larangan yang kawasannya 72 kali lebih luas daripada yang menempatkan Kampung Melayu Geylang Serai.

Seluas 72 hektar, Kota Larangan merupakan istana diraja kerajaan Ming dan Qing dari 1420 hingga 1912. Namun tidak banyak khazanah yang tinggal. Kebanyakan khazanah telah diangkut oleh pemerintah Nasionalis yang lari ke Taiwan setelah kalah di tangan golongan Komunis pada 1949.

Selain itu, cubalah minum pelbagai jenis teh Cina yangdikatakan dapat mengurangkan kadar kolesterol dan gula dalam darah, melangsingkan badan serta menghilangkan rasa mengantuk.

Sejak pulang dari China, saya seakan kecanduan teh Cina.

Tidak tahulah sama ada ia disebabkan saya meminum teh Cina tanpa gula, yang mengurangkan kadar gula dalam darah saya yang agak tinggi, atau teh Cina benar-benar mempunyai khasiat kesihatan. Saya kini berasa lebih segar.

Agaknya beginilah kegilaan terhadap teh Cina yang dirasakan orang-orang Barat pada abad ke-19. Mereka malah tergamak melambakkan candu dalam pasaran China hingga mencetuskan masalah ketagihan yang berleluasa. Ini semata-kerana mereka mahu memaksa China membuka luas pintunya kepada perdagangan.

Kebangkitan China
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah diancam kuasa luar, kerajaan China di bawah Dinasti Qing pula agak lemah. Sedang China diancam kuasa-kuasa Barat dan Jepun, Permaisuri Cixi yang memerintah di belakang tabir dikatakan membelanjakan dana peruntukan bagi angkatan laut untuk mengubah elok Istana Musim Panasnya.

Namun setelah diaibkan dalam dua Perang Candu yang menyebabkan Hongkong terlepas ke tangan Britain dan Macau ke tangan Portugis pada abad ke-19, China pada abad ke-21 memintas Jepun untuk menjadi ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat.

Kebangkitan China terserlah dalam acara gah Sukan Olimpik 2008. Stadium Sarang Burung yang dibina sempena acara sukan itu merupakan antara bangunan unik di Beijing, yang kelihatan berkembang pesat.

Bagi saya, kunjungan ke Beijing dan Xian ibarat kelas Sejarah di luar bilik darjah. Kisah jatuh bangun China, yang merupakan antara tamadun tertua dunia, merupakan iktibar untuk kita semua.

Butiran pakej
• Lawatan Muslim ke Beijing dan Xian
• Selama 8 hari 7 malam
• Berharga $2,253 termasuk tiket penerbangan, cukai, penginapan, makan minum dan khidmat pemandu pelancong; tidak termasuk insuransperjalanan dan tip.

 
   
 

CITRA

 
 
Korea di musim luruh
 
 
Chalo cari sari jejaki sejarah
 
 
Klik... Klik... & Jimat