Mudah cetak
E-mel

24 Jan 2012

SUTRA JANUARI 2011
Korea Ria

Tapak bersejarah, keindahan alam semula jadi, sentuhan seni bina dan kesenian, telah memukau AZAHAR MOHD yang berpeluang melawat negara itu.

Mereka yang pernah ke Korea Selatan mungkin sudah biasa dengan ibu kota Seoul, pusat peranginan khusus untuk bermain ski di Yongpyong; terpukau dengan keindahan pulau pelancongan Jeju; atau kepulauan Nami, yang menjadi set penggambaran drama, Winter Sonata.

Lazimnya, bagi pengunjung kali pertama ke Seoul pula, mereka akan menuju ke Dongdaemun, Namdaemun dan Myeongdong untuk mencari cenderahati seperti kerongsang, sutera mahupun BB Cream untuk dibawa pulang.

Korea Selatan bukan sekadar menjadi destinasi membeli-belah dan memiliki pemandangan indah, bahkan ia juga menawarkan lebih daripada itu.

Kesan Sejarah
Bagi mereka yang meminati sejarah, kunjungan ke Korea Selatan tidak lengkap jika tidak melawati Istana Gyeongbokgung, yang dibina oleh pengasas Dinasti Joseon, Raja Taejo. Apa yang menarik, istana itu dibina seawal 1394.Namun, ia dibina semula pada 1897 selepas hampir musnah terbakar semasa penjajahan Jepun.

Jika anda berpeluang ke Korea Selatan, usah ketinggalan untuk singgah ke istana tertua dan tercantik semasa zaman Dinasti Joseon iaitu Istana Gyeongbokgung.

Pada 1989, kerajaan Korea Selatan memulakan inisiatif 40 tahun untuk membina semula struktur asal istana tersebut selaku simbol pemerintahan monarki pernah wujud di republik itu.

Nikmati Seni
Tidak cukup sekadar melihat hasil peninggalan sejarah, anda juga berpeluang menyaksikan persembahan muzikal Miso di Teater Chongdong sebagai pelengkap pengembaraan anda menyusuri Dinasti Joseon (1392-1910).

Muzikal itu memaparkan kisah cinta uda dan dara menerusi paduan koreografi tarian kipas, pedang dan gendang kecil diiringi 'phungmulnori' (kuartet alat muzik tradisional) dan 'pansori' (syair).

Sejak 1997, ia telah dipersembahkan ke serata dunia dari Amerika Selatan, Jepun, China, Perancis, Canada, Vietnam, Hungary sehingga ke Afrika Utara. Tanpa jemu, ia berusaha menonjolkan seni budaya tradisional Korea, bukan sahaja kepada warganya bahkan kepada penduduk dunia.

Selain muzikal Miso, orang ramai juga berpeluang menonton persembahan Nanta – iaitu pertunjukan menarik dari inspirasi tradisional samulnori dan tanpa suara.

Alam Semula Jadi
Bagi yang mahu melihat keindahan alam semula jadi, mereka perlu meninggalkan Seoul untuk ke Gyeongju, Andong dan Busan (ketiga-tiganya sejauh empat jam perjalanan menerusi bas dari Seoul).

Ia bakal menjadi lebih istimewa khusus bagi mereka yang belum pernah melihat keindahan perubahan empat musim.

Mereka dijangka bakal tertarik dengan keindahan pokok sakura yang berbunga sepenuhnya pada April, daun mapel yang bertukar menjadi warna merah pada Oktober dan November serta pemandangan alam semula jadi yang diselaputi salji.

Masuk Kampung
Perkampungan Yangdong di Gyeongju dan Perkampungan Hahoe di Andong terletak di tenggara Semenanjung Korea dan kawasan tengah Dinasti Joseon (1392-1910).

Ia pernah memerintah Semenanjung Korea lebih lima ratus tahun yang lalu. Kedua-duanya mempunyai jarak sejauh 90 kilometer.

Kedua-dua perkampungan itu yang diselubungi kawasan pergunungan, sungai dan ladang pertanian sebelum ini telah dinamakan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sementara itu di Busan, tenggara Korea Selatan, adalah bandar pelabuhan. Ramai orang berpeluang menikmati pemandangan pantai nan indah dan gunung-ganang yang memukau.

Makanan laut
Mereka yang meminati makanan laut sudah pasti meminati bandar Busan kerana ia menawarkan pelbagai makanan laut dengan harga yangberpatutan.

Pasar Ikan Jagalchi, pasar ikan terbesar di Korea Selatan, mempunyai banyak restoran makanan laut yang menawarkan pelbagai jenis makanan laut seperti sotong katak, udang, ketam dan ikan.

Para pengunjung boleh membeli makanan laut itu dan meminta ia dimasak di situ juga.

Selain menaiki bas, orang ramai yang ingin ke Gyeongju atau ke Busan boleh juga menaiki kereta api laju KTX dengan kelajuan 25 kilometer sejam dari Seoul.

Perjalanannya ialah sekitar 2 1/2 jam.

Tarikan Korea

• Pulau Nami
Ia adalah sebuah pulau kecil yang popular dalam drama bersiri Winter Sonata. Untuk ke pulau itu anda perlu menaiki feri selama 15 minit.

Beberapa tempat nostalgia penggambaran drama Winter Sonata diabadikan di situ. Antaranya lorong yang dikelilingi pokok pine tempat pelakon Bae Yong-Joon dan Choi ji-Woo bercinta dan meja kayu tempat mereka membuat patung ais.

• Pulau Jeju dan Taman Tema Jeju Soingook
Di sini terpapar pelbagai model kecil karya seni bina dari seluruh dunia, termasuk Mount Rushmore (Amerika Syarikat); Kuil Bulguksa(Korea Selatan); London’s Tower Bridge; the Basilique du Sacre-Coeur di Paris; dan Leaning Tower of Pisa.

• Tempat-tempat menarik lain termasuk Everland yang merupakan taman tema tercantik di Korea Selatan dan pasar terkenal Namdaemun yang popular dengan kerongsang untuk wanita. Tempat-tempat membeli-belah lain yang menjadi tumpuan termasuk Dongdaemun dan Myeongdong.

• Membeli-belah
Korea Selatan terkenal dengan pelbagai produk ginseng seperti tea ginseng, tonik dan juga produk kecantikan. Produk kecantikan seperti dari Faceshop jauh lebih murah berbanding harga yang dijual di Singapura.

• Di luar Seoul anda boleh melawat Gyeongju, yang terletak sejauh tiga jam perjalanan dari Seoul di tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Gyeongju merupakan ibu kota kerajaan Silla. Makam pemimpin Silla masih boleh ditemui di tengah bandar. Kawasan di sekitar Gyeongju, terutama di pergunungan Namsan pula mempunyai banyak kesan sejarah.

• Di luar Seoul, anda juga boleh melawat Busan, yang terletak di tenggara Korea iaitu bandar pelabuhan utama di negara itu. Ia juga merupakan tempat temasya bola sepak Piala Dunia 2002 diadakan. Ia mempunyai banyak muzium, tapak bersejarah dan pusat membeli-belah.

LATAR BELAKANG KOREA
Lokasi: Semenanjung Korea bersebelahan China dan Jepun.
Penduduk: 49.7 juta (sehingga Oktober 2009).
Bahasa: Korea
Agama: Buddha (22.8 peratus), Kristian (18.3 peratus), Katolik (10.9 peratus) dan Confucious (0.2 peratus).

MUSIM

Cuaca: Korea Selatan mempunyai empat musim
• Mac hingga Mei
Sewaktu musim bunga, orang ramai berpeluang melihat keindahan beberapa pohon yang mula mengeluarkan bunga antaranya magnolia (warna putih), lady bird (warna kuning) dan sakura (warna merah jambu) yang akan memukau pandangan mata.
• Jun hingga Ogos
Keadaan cuaca agak lembap dengan hujan renyai-renyai.
• September
Musim luruh.
• November hingga Mac
Musim sejuk dan musim ski yang amat popular di kalangan pelancong. Ia bermula lewat November hingga awal Mac.

 
   
 

CITRA

 
 
Menuntut Ilmu Sampai Ke Beijing-Xian
 
 
Korea di musim luruh
 
 
Chalo cari sari jejaki sejarah
 
 
Klik... Klik... & Jimat