Palm Jumeirah
Mudah cetak
E-mel

24 Jan 2012

Santai di Dubai

Bayangkanlah anda berada di bangunan tertinggi dunia.Kemudian, apabila anda singgah ke hotel yang sebumbung dengannya pula, biliknya ibarat menjadikan anda seorang puteri dengan 'dayang-dayang' berteknologi canggih.Apa saja yang anda inginkan, tekan saja butang yang ada.Jika anda keletihan dan sekadar ingin duduk bersantai, tekanlah butang khas dan lampu di kamar hotel akan dihidup atau dimatikan menurut arahan.Jika anda menempah juadah yang perlu dihantar ke bilik hotel, pula, anda juga berupaya membuka pintu tanpa perlu meluru ke arahnya.Terdapat pula muzik iPod yang beroperasi melalui alat kawalan jauh. Enak dimanja sebegitu tetapi boleh jadi malas dibuatnya. Maklum anda tidak perlu bangun langsung dari katil!

HOTEL ARMANI & BURJ KHALIFA
Itulah antara daya tarikan yang terdapat di Hotel Armani yang terletak di bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa. Dengan ketinggian melebihi 828 meter. Bangunan 160 tingkat itu membolehkan pandangan saujana mata memandang ke seluruh Dubai.

Malah, jika hari cerah, anda juga berpeluang melihat bangunan Burj Al-Arab dan projek pembangunan 'The World' dari dek pemerhatian Burj Khalifa di tingkat 124.

Sementara itu Hotel Armani yang merupakan kerjasama antara pereka fesyen terkemuka dunia, Giorgio Armani, dengan pembangun hartanah, Elmaar Properties PJSC, pula berada di bahagian bawah menara Burj Khalifa dan ia dibuka April tahun lalu.

Antara perkara yang menarik perhatian saya tentang bilik hotel itu adalah hampir semua alat di kamar tersebut dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh. Selain itu, semua barangan di bilik hotel disimpan rapi. Contohnya, televisyen tidak terdedah di luar, sebaliknya tersimpan di balik panel. Malah, meja tulis juga tersembunyi dari pandangan dan perlu dilipat keluar sebelum anda boleh menggunakannya.

SERBA MEWAH BAK 1,001 MALAM
Mewah. Itulah yang dapat saya gambarkan tentang kunjungan saya bersama tiga rakan wartawan daripada penerbitan berbeza yang berpeluang ke Dubai Mei lalu.

Kami ke sana di atas undangan pihak Jabatan Pelancongan dan Pemasaran Perdagangan Dubai dengan penerbangan ditaja syarikat Singapore Airlines.

Penerbangan dari Singapura ke Dubai memakan masa sekitar 7 jam 15 minit, namun saya tidak berasa bosan. Filem No Strings Attached dan Season of the Witch yang ditayangkan di dalam pesawat mengisi masa sepanjang perjalanan.

Sejurus sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai untuk penginapan lima hari empat malam, kami disambut dengan dua kereta mewah, limousin. Masuk sahaja ke dalam limousin, pemandunya memberikan kami tuala basah kecil untuk menyegarkan diri setelah kulit mula digigit bahang di Dubai.

CUACA

Dalam kunjungan saya ke Dubai, musim panas baru sahaja bermula.Silau dan terik matahari begitu terasa sekali.Seperti yang biasa dialami di negara Timur Tengah, cuacanya panas dan kering. Secara purata, pada musim panas, suhu di Dubai boleh mencapai 40 darjah Celsius.

Musim sejuknya pula dari Disember hingga Mac. Suhu musim sejuk di Dubai ialah antara 20 dengan 23 darjah Celsius dan pada waktu malam, suhunya boleh turun sehingga 14 darjah Celsius.

PENGANGKUTAN

Teksi
Pengangkutan awam paling mudah digunakan untuk ke mana-mana.Bayaran minimum 10 AED.Meter bermula dengan harga 3 AED (6 pagi hingga 10 malam) dan 3.50 AED (10 malam hingga 6 pagi) jika anda menahan teksi di jalanan.

Meter bagi teksi wanita pula bermula dengan harga 6 AED (6 pagi hingga 10 malam) dan 7 AED (10 malam hingga 6 pagi) jika anda menahan teksi di jalanan.

Dubai Metro
Pelancong digalakkan membeli kad NOL merah untuk menaiki kereta api, Dubai Metro. Setiap perjalanan berharga antara 2 AED dengan 6.50 AED. Harga berbeza jika anda memilih untuk menaiki gerabak Gold Class.Terdapat kabin khas untuk wanita dan kanak-kanak.

Kami kemudian terus dibawa ke kawasan Palm Jumeirah, tanah tambak berbentuk pokok palma yang cukup dikenali.Hotel Jumeirah Zabeel Saray, yang menjadi tempat penginapan saya selama dua malam, berada di bahagian West Crescent, Palm Jumeirah.

Masuk sahaja ke lobi hotel yang baru dibuka awal tahun ini, mata saya terpegun melihat hiasan dalamannya yang berkonsep Empayar Ottoman.

Perkara pertama yang terdetik di hati ini ketika berada di lobi hotel itu ialah, 'Banyaknya lampu!' Lampu hiasan pelbagai warna itu begitu cantik, menghiasi dan menyinari hampir setiap sudut hotel.

Terasa macam berada dalam kisah seribu satu malam... Masuk sahaja ke dalam bilik yang disediakan, saya terpegun dengan dekorasi mewah bilik itu. Tapi, saya lebih terpegun tatkala melihat kamar mandinya.

Selain tempat mandi menggunakan paip hujan yang berasingan dengan tandas, tetamu juga berpeluang bermandi-manda di dalam tab mandi yang lebih menyerupai kolah air kecil.Mmmm... seronoknya!

MANDIAN TRADISI TURKEY ATAU HAMMAM
Baru saya berangan-angan nak berendam, pihak hotel telah meminta saya dan teman-teman media berkumpul untuk dibawa ke Talise Ottoman Spa, yang terletak di kawasan hotel.

Pelbagai jenis rawatan spa disediakan di Talise Ottoman Spa seperti khidmat mengurut, penggunaan bilik sauna dan wap, bilik salju serta khidmat mandian tradisi Turkey yang dipanggil hammam.

Selalunya, dalam rawatan spa yang saya jalani, saya akan berbaring di katil khas. Tetapi untuk rawatan hammam, kami berbaring di atas batu marmar yang telah dihangatkan.

Menurut pegawai terapi saya, Kaulah, dari Tunisia, jika kita terasa sakit di belakang badan atau pinggang, berbaring di batu marmar hangat dipercayai mampu melegakannya.

Sebaik sahaja berbaring, Kaulah menyimbah saya dengan air hangat. Selepas itu bermulalah proses menyental. Aduhai, macam nak tertanggal kulit rasanya! Tetapi sememangnya, selepas proses menyental itu, kulit saya benar-benar halus dan rasanya tiada seinci pun sel kulit mati yang tertinggal di badan.

Setelah disental, saya ditimbuni buih-buih sabun dan diurut. Ternyata, sesi hammam sekitar sejam benar-benar menyegarkan. Bila sudah segar, barulah bersemangat nak membeli-belah!

FESYEN MESRA MUSLIMAH
Jika Giorgio Armani memilih Dubai sebagai lokasi pertama untuk pembinaan hotelnya, maka tidak hairanlah jika pelbagai jenama fesyen antarabangsa turut tertarik menjadikan Dubai antara nadi perniagaan mereka di pusat-pusat membeli-belah di sana.

Sebenarnya, fesyen yang ditawarkan di Dubai tidak jauh berbeza dengan fesyen yang boleh anda dapati di Singapura.Ini kerana, pelbagai jenama antarabangsa yang ada di Singapura turut terdapat di Dubai.

Bezanya, dari segi pilihan untuk wanita Muslimah, saya dapati ia lebih rencam di Dubai. Sebagai contoh, jenama antarabangsa seperti Mango dan Zara turut menawarkan lebih banyak pilihan pakaian lengan panjang, skirt labuh dan gaun maksi, sesuatu yang tidak terdapat di sini. Pendek kata, terdapat kepelbagaian yang tersedia bagi fesyen mesra Muslimah.

MABUK MEMBELI-BELAH
Dubai sememangnya cukup ideal bagi mereka yang kaki shopping. Mengapa anda wajar ke Dubai untuk membeli-belah?• Terdapat pilihan pelbagai jenama antarabangsa.• Harganya lebih murah berbanding Singapura kerana Dubai bebas cukai & tukaran mata wangnya juga menarik.• Banyak kedai yang menjual barangan perhiasan rumah dengan harga berpatutan sehingga anda berasa seakan ingin mengirimkan saja barangan yang dibeli ke Singapura.• Selain pusat membeli-belah moden, terdapat juga souk atau pasar. Antaranya termasuk:– Gold Souk atau Pasar Emas;– Naif Souk yang menjual pelbagai jenis fabrik dan menerima tempahan abaya; dan– Souk Al Bahar kawasan souk moden dekat Dubai Mall.• Dubai Mall menawarkan lebih 1,200 kedai. Sehari suntuk pun belum tentu cukup untuk mengunjungi setiap kedai.

Terdapat juga tarikan lain di situ seperti akuarium dan zoo di bawah air seperti, Dubai Aquarium dan Underwater Zoo.• Mall of the Emirates pula turut menempatkan Ski Dubai.• Laungan azan pasti berkumandang setiap waktu solat (kecuali subuh). Tempat solat turut disediakan bagi kemudahan pengunjung.

RIADAH BUAT WANITA
Bukan sahaja dari segi fesyen, malah, keperluan beriadah kaum Muslimah turut mendapat perhatian di Dubai.Teman saya yang sudah hampir setahun menetap di sana, Ruby Mohamed, sempat mengajak saya untuk ke acara Ladies Night, yang dikhususkan untuk kaum wanita.

Terbeliak mata saya kerana sangka saya, beliau ingin mengajak saya ke kelab malam. Rupa-rupanya, acara Ladies Night yang beliau maksudkan adalah masa di mana taman tema air, Wild Wadi, dibuka hanya untuk kaum wanita.Malah, petugas-petugasnya juga terdiri daripada wanita.

Menurut Ruby, selain Wild Wadi, pantai Jumeirah Park Beach juga mengkhususkan hari Isnin untuk kaum wanita.Bagi kaum wanita, yang ingin menikmati pengalaman terbang bak Supergirl, iFly Dubai juga dibuka khusus untuk kita kaum wanita setiap Rabu. Ini bermakna, petugas yang mengajar dan membantu anda terbang juga terdiri daripada kaum Hawa.

Malah, Dubai turut menyediakan khidmat teksi khusus untuk wanita. Berbanding teksi biasa, teksi untuk wanita berbumbung merah jambu!

TRADISIONAL & MODEN
Meskipun wanita mendapat tempat istimewa di sana, namun, tradisi yang dipegang teguh dan keinginan Dubai untuk seiring dengan kota kosmopolitan di dunia dapat dilihat di mana-mana.

Contohnya, jika anda bersiar-siar di Dubai, agak lumrah untuk melihat lelaki berjubah putih panjang – yang dipanggil kandura, thobe atau dish dash di Timur Tengah – berjalan seiringan dengan wanita yang berpakaian serba moden.

Malah, wujudnya restoran berjenama antarabangsa yang halal seperti Nando's, TGIF dan Chili's di tengah-tengah makanan tradisional Arab yang lain seperti beriani, hummus dan roti Arab, adalah petanda jelas kepelbagaian itu.

GOLONGAN EKSPATRIAT
Dengan pelbagai keunikannya, tidak hairanlah jika Dubai menjadi 'tempat permainan' bagi para penduduk Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Lumrah untuk melihat penduduk Sharjah dan Abu Dhabi yang memandu ke Dubai hanya untuk berlibur.Malah, menurut pemandu pelancong kami, Ahmed, Dubai kini kembali pesat membangun setelah terhenti seketika dek kemelesetan ekonomi 2008.

Ini dapat dilihat dengan begitu banyak bangunan yang sedang dalam pelbagai tahap pembinaan di sepanjang Sheikh Zayed Road, lebuh raya utama yang menghubungkan Dubai dengan negara UAE yang lain.

Namun, untuk memenuhi tahap pembangunan yang pesat itu, Dubai banyak menggunakan tenaga luar. Lebih 80 peratus penduduk di Dubai merupakan warga asing atau golongan ekspatriat.

Oleh itu, tidak hairanlah jika anda akan melihat begitu banyak hotel dan apartmen untuk disewa di Dubai.Untuk dua malam terakhir di Dubai, saya berpeluang menginap di sebuah servis apartmen, Ascott Park Place.Terdapat beberapa jenis apartmen yang boleh dipilih di sana seperti yang mempunyai satu, dua atau tiga bilik tidur.

Dengan dua wajah berbeza di Dubai, tradisional dan moden serta begitu banyak tarikan yang ditawarkan, jika ada peluang, Dubai pasti menjadi salah satu destinasi pilihan pelancongan yang akan saya kunjungi sekali lagi!

Nota: Penulis adalah wartawan kanan akhbar Berita Harian/Berita Minggu & kunjungan ke Dubai ini ditaja Jabatan Pelancongan dan Pemasaran Perdagangan Dubai dan Singapore Airlines Limited.

SUTRA JULAI 2011

 
   
 

CITRA

 
 
Menuntut Ilmu Sampai Ke Beijing-Xian
 
 
Korea di musim luruh
 
 
Chalo cari sari jejaki sejarah
 
 
Klik... Klik... & Jimat