UNIK: Kamar Hotel Link dihias dengan sentuhan tema budaya Melayu, Cina dan India.
Mudah cetak
E-mel

1 Apr 2011

Dulu flat lama kini hotel butik serba moden

Oleh
Adli Yashir Kuchit

Asalnya hotel ini merupakan sebuah flat perumahan yang dibina pada tahun 1930an. Kini bangunan empat tingkat itu dijadikan sebuah hotel butik berkonsep moden, yang menawarkan kemudahan yang selesa serta keunikannya yang tersendiri.

Hotel Link yang terletak di Tiong Bahru merupakan salah satu usaha negara ini untuk memelihara warisan seni bina serta budaya berbilang bangsanya. Bangunan asal hotel ini telah dibina pada tahun 1930 oleh Singapore Improvement Trust (SIT) - penguasa perumahan sebelum adanya HDB. Deretan kawasan perumahan awam ini telah direka dengan gaya Art Deco dan telah dibina untuk menampung keperluan perumahan bagi para penduduk.

Kini setelah menjalani projek ubah suai, dua blok di kawasan itu telah bertukar menjadi sebuah hotel moden.

Bagi pengunjung kali pertama, ramai mungkin tidak perasan bangunan tersebut kini telah menjadi sebuah hotel.

"Ini kerana sebagai sebuah bangunan berwarisan, pihak hotel tidak dibenar mengubah muka depan dan reka bentuk asal bangunan ini," kata Pengarah Pembangunan Perniagaan Hotel Link Encik Glenn Matthew.

Namun segalanya berubah sebaik kami melangkah masuk ke ruang utama hotel tersebut. Biarpun ruang lobinya agak kecil, keindahan hotel serta kemesraan kakitangan hotel itu jelas terpancar.

Hotel ini mempunyai 288 kamar dibahagikan kepada dua bangunan tetapi dipisahkan oleh sebuah jalan raya. Namun kedua-dua bangunan dihubungkan dengan jejatas berhawa dingin yang merentangi Tiong Bahru Road.

Seperti kamar-kamar hotel yang terletak di bandar-bandar utama lain seperti Hong Kong dan Tokyo, ruang kamar diberikan kepada kami juga agak kecil - cukup untuk meletakkan katil, meja tulis, almari kecil dan beberapa perabot kecil lain. Dari segi kelengkapan, kami dapati ia mencukupi Hotel Link menyediakan peralatan yang sering diperlukan para tamu seperti televisyen LCD, keperluan kamar mandi dan alat pengering rambut. Pendek kata kamarnya amat selesa dan menyenangkan.

Namun ada beberapa perkara kecil yang boleh diperbaiki. Salah satu dinding di dalam kamar, kami dapati ada kesan-kesan yang comot, salah satu butang lampunya pula sudah tertanggal.

Antara keunikan Hotel Link adalah kamar-kamar bertema untuk para tamu. Ia menawarkan kamar yang dihias dengan tema Melayu, India dan Cina - mewakili masyarakat berbilang bangsa Singapura. Kamar bertemakan Melayu misalnya dihias dengan sentuhan budaya melayu seperti kain songket dan gambar batik.

Untuk tetamu korporat pula boleh memilih kamar SOHO yang lengkap dengan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin faks dan ketuhar microwave - memudahkan bagi mereka yang ingin berurusan di dalam kamar.

Tiong Bahru juga terkenal sebagai sebuah gelanggang burung - tempat para pecinta burung berkumpul untuk mempersembahkan kemerduan nyanyian burung-burung kesayangan mereka.

Hotel Link turut memelihara warisan tersebut, ia mempunyai sudut khas bagi para pecinta burung untuk mempamerkan burung-burung mereka.

Bagi para tamu yang ingin membeli belah, hotel itu menawarkan khidmat bas ulang alik percuma ke kawasan membeli belah di Orchard Road, Suntec City dan Chinatown.

NOTA: Anda yang pernah mengunjungi resort atau hotel menarik sila kirimkan pengalaman anda ke cyBerita. Bagi anda yang ingin mengiklankan resort atau hotel yang unik hubungi kru cyBerita di talian 9430-8505.


 
   
 

CITRA

 
 
Menuntut Ilmu Sampai Ke Beijing-Xian
 
 
Chalo cari sari jejaki sejarah
 
 
Klik... Klik... & Jimat
 
 
Kembara Karavan Bidan Terjun