BATU PAHAT: Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu bagi membincangkan tentang pendidikan mengenai kesan makanan segera di kalangan masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan pihaknya benar-benar serius dan khuatir tentang gaya hidup masyarakat yang lebih cenderung terhadap makanan berkenaan.
'Kementerian amat menyambut baik sokongan NGO terutamanya Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengenai cadangan kami yang mahu menghentikan iklan makanan segera di media.
'Jadi, satu perjumpaan akan diadakan bagi bersama-sama meneliti kaedah pendidikan yang terbaik untuk mendidik masyarakat mengelakkan pemakanan makanan segera di peringkat awal,' kata beliau kepada wartawan pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Batu Pahat di sini malam kelmarin.
Kerajaan Malaysia merancang untuk mengharamkan iklan makanan segera dalam usahanya menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat di negara itu.
Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin, kelmarin berkata kementeriannya menyokong saranan tersebut dan bersedia menghentikan iklan makanan segera di stesen-stesen Radio dan Television Malaysia (RTM). - Bernama, Xinhua.