Mudah cetak
E-mel
9 Ogos 2006
LUAR NEGARA
KRISIS TIMUR TENGAH
'Israel sedia kaji usul Lebanon'
BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, semalam berkata cadangan pemerintah Lebanon menghantar 15,000 askar ke selatan Lebanon di bawah satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah satu 'langkah menarik'.
'Kami akan mengkaji saranan itu. Kami tidak mahu menduduki atau berada di Lebanon. Kami hanya mahu matlamat operasi dicapai, yakni menghalang serangan roket dan mengusir Hezbollah dari wilayah itu,' kata Encik Olmert dalam satu sidang akhbar semalam.
Menurut beliau, sebarang penghantaran askar Lebanon ke selatan negara itu hendaklah disertai pengerahan satu pasukan antarabangsa terdiri daripada unit tempur tetapi senjata gerila Hezbollah mesti dilucutkan.
Para diplomat Barat kelmarin berkata, keputusan pemerintah Lebanon itu, yang termasuk dua menteri Hezbollah, boleh mempercepat pindaan resolusi PBB bagi menamatkan peperangan yang sudah masuk minggu keempat sekarang.
Bagaimanapun, seorang jurucakap pejabat Encik Olmert, Encik Avi Pazner, memberi amaran bahawa cadangan Lebanon itu 'mungkin satu muslihat yang membolehkan gerila Hezbollah terus beroperasi'.
'Ini mungkin satu muslihat menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan PBB,' kata beliau.
Duta Russia ke PBB, Encik Vitaly Churkin, semalam berkata, 'Satu draf resolusi yang tidak berfaedah bagi Lebanon tidak patut diluluskan kerana ia akan meneruskan konflik dan keganasan'.
Semalam, sumber tentera Israel berkata dalam pertempuran di kampung Dabel, selatan Lebanon, seorang askarnya terbunuh manakala lima lagi cedera tetapi di pihak Hezbollah 15 gerila terbunuh.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Amir Peretz, berkata Israel akan melancarkan serangan darat besar-besaran sekiranya masyarakat antarabangsa gagal menghentikan serangan roket Hezbollah, yang telah mengorbankan 62 askar dan 36 orang awam Israel.
Semalam, Tel Aviv mula memindahkan 15,000 penduduk di utara Israel yang terdedah kepada serangan roket Hezbollah.
Setiausaha Kabinet Israel, Encik Yisrael Maimon, berkata: 'Kami telah membenarkan penduduk di utara bercuti selama beberapa hari ke kawasan lain.' - AP, AFP, Reuters.