Mudah cetak
E-mel
24 Apr 2009
LUAR NEGARA
Menlu Russia ke Korea U, dijangka bincang kepentingan sejagat
SEOUL: Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, tiba di Korea Utara semalam - lawatan peringkat tinggi pertama ke negara komunis itu sejak ia mengumumkan tidak meneruskan rundingan bagi pelucutan senjata nuklearnya.
Agensi berita rasmi pemerintah Pyongyang mengumumkan ketibaan menteri Russia itu tetapi tidak memberi butiran lawatannya.
Sebelum ini, Moscow berkata Encik Lavrov akan melawat Korea Utara dan Korea Selatan bagi membincangkan mengenai hubungan dua hala, 'suasana di Semenanjung Korea dan di timur laut Asia dan persoalan kepentingan bersama antarabangsa lain yang relevan'.
Russia anggota rundingan nuklear enam pihak yang turut merangkumi dua negara Korea itu, China, Jepun dan Amerika Syarikat.
Ketegangan serantau kian meningkat selepas Korea Utara melancarkan satelitnya pada 5 April lalu, yang dilihat ramai sebagai helah bagi menguji peluru berpandunya.
Korea Utara, yang marah terhadap kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelancaran itu, telah mengumumkan ia tidak mahu meneruskan rundingan itu dan akan memulakan program senjata atomnya.
Ia turut mengusir para inspektor nuklear Amerika dan PBB.
Agensi berita Yonhap dari Korea Selatan semalam memetik sumber diplomatik sebagai berkata Encik Lavrov akan membincangkan akibat pelancaran roket itu dan dijangka menggesa Korea Utara kembali ke meja rundingan.
Beliau berharap untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-Il, tetapi tidak jelas adakah ia dapat dilakukan, tambah sumber itu.
Korea Selatan sedang berunding dengan Russia mengenai isu nuklear Korea Utara, kata Menteri Luar, Encik Yu MyungHwan, sambil menambah Encik Lavrov akan memberi taklimat kepadanya hari ini mengenai hasil lawatannya ke Pyongyang.
'Korea Utara tidak seharusnya terus memburukkan suasana tetapi harus mematuhi ketetapan Majlis Keselamatan PBB dan kembali ke proses pelucutan nuklear seawal mungkin,' kata Encik Yu kepada pemberita. -- AFP.