MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

18 Apr 2009

LUAR NEGARA

AP Belanda mahu buat kisah lanjutan bagi filem anti-Quran 'Fitna'

THE HAGUE: Anggota Parlimen Belanda, Encik Geert Wilders, kelmarin berkata beliau bercadang membuat filem lanjutan kepada filem anti-Quran, Fitna, yang mencetus kemarahan umat Islam tahun lalu.

Ia bertujuan memberi amaran mengenai ancaman Islam terhadap kebebasan bersuara dan kesan penghijrahan umat Islam ke Eropah dan besar kemungkinan diterbitkan tahun depan, katanya dalam satu wawancara yang disiarkan akhbar De Telegraaf kelmarin.

Menurutnya, filem itu tidak meniru Fitna, yang memapar gambar-gambar serangan pengganas yang berseling dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Ia disiar menerusi Internet.

Ia memberi tumpuan pada ancaman Islam dan kesan 'Islamisasi' terhadap Eropah dan Amerika Syarikat melalui penghijrahan Muslim ke negara-negara Barat, katanya.

Encik Wilders memberitahu De Telegraaf beliau menerima 'tawaran daripada penerbit di New York dan Hollywood' untuk menerbitkan filem itu, tetapi enggan memberi butir lanjut.

Datuk Dandar Rotterdam, Encik Ahmed Aboutaleb, yang berasal dari Maghribi, tidak membesar-besarkan rancangan terbaru Encik Wilders itu.

'Saya berharap beliau mendapat seorang pengarah yang baik kerana filem terdahulu (Fitna) tidak begitu berjaya,' kata beliau.

Encik Wilders pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang menguasai sembilan daripada 120 kerusi dalam parlimen Belanda.

Satu tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan jika pilihan raya diadakan sekarang, PVV akan menang besar dengan mendahului parti kerajaan, iaitu Parti Kristian Demokrat (CDA) dan Parti Buruh (PvdA).

'Kita harus lebih bersifat ofensif daripada defensif,' kata beliau dalam wawancara itu. -- AP, Reuters.