Mudah cetak
E-mel
5 Jan 2009
LUAR NEGARA
Spekulasi ringgit di luar negara perlu dipantau
KUALA LUMPUR: Spekulasi ringgit di Malaysia wajar dipantau supaya ia tidak menjadi mangsa sesebuah rantau mengambil kesempatan ke atas kejatuhan mata wang negara itu ketika ini, kata mantan Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Muhammad Salleh Majid.
'Ekonomi kita belum meleset lagi jadi nilai mata wang tidak sepatutnya lebih rendah daripada negara-negara yang sudah mencapai taraf meleset,' kata beliau kepada agensi berita Bernama semalam.
'Nilai mata wang kita pernah mencapai suatu tahap yang tinggi berbanding dolar Amerika iaitu sehingga RM3.10 ($1.29) dalam bulan April tahun lalu tetapi kini dengan keadaan ekonomi Amerika yang meleset, mata wang kita jatuh sekitar (paras) RM3.51,' tegasnya.
Begitu juga, katanya kedudukan ringgit berbanding euro yang pernah mencecah RM4.80 untuk satu euro tetapi sekarang ringgit berada di paras RM5.06.
Ringgit juga lemah berbanding dolar Singapura iaitu di paras RM2.44 walaupun negara jiran itu sedang menghadapi kemelesetan teknikal, katanya lagi.
'Mungkin ada pihak yang menyangkakan kejatuhan mata wang kita baik untuk eksport barangan kita tetapi dalam suasana eksport yang berkurangan, ia tidak akan dapat membantu.
'Sebaliknya kita akan berdepan dengan angka import yang tinggi kerana nilai mata wang kita sudah jatuh,' jelas Datuk Muhammad Salleh, yang juga Zamil Utama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berbanding sebelum krisis kewangan Asia 1997/1998, mata wang Malaysia itu berada pada paras RM2.50 bagi sedolar Amerika, dan 'tiada masalah kita menjual barang-barang kita pada masa itu'.
Menyentuh tentang daya penghasilan pula, Datuk Muhammad Salleh berkata 'sebenarnya agak mudah bagi mengatasi masalah kekurangan produktiviti' itu.
Beliau mencadangkan supaya setiap tenaga pekerja di Malaysia, sama ada dalam sektor awam atau swasta, menambahkan masa bekerja mereka sebanyak 10 minit seorang.
'Ini bermakna dengan andaian dua juta tenaga pekerja, 20 juta minit ditambah setiap hari di mana 20 juta minit ialah 333,333 jam manusia.
Kalau kita letakkan RM10 bagi satu jam manusia, kita telah meningkatkan produktiviti RM3.3 juta sehari dan ini bererti bagi 20 hari bekerja dalam sebulan sebanyak RM60 juta dan RM720 juta bagi setahun,' jelasnya. -- Bernama.