MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

5 Jan 2009

LUAR NEGARA

PERGOLAKAN DI JALURAN GAZA
Bush terus salahkan Hamas

AS dakwa sedang cuba wujudkan gencatan senjata

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik George W. Bush, semalam terus menyalahkan kumpulan militan Hamas atas serangan hebat yang berlaku di Jaluran Gaza.

Ia, bagaimanapun, tidak menyebut langsung tentang serangan tentera darat Israel di wilayah itu dan mengelak daripada membuat sebarang kritikan terhadap Israel walaupun di tengah-tengah kemarahan dunia berikutan kenaikan angka korban di sana.

Israel melancarkan serangan darat di Gaza kelmarin, dalam langkah terbarunya sejak 27 Disember lalu untuk menghentikan serangan roket Hamas.

Lebih 460 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya empat rakyat Israel terbunuh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jumaat lalu menganggarkan bahawa suku daripada rakyat Palestin yang terbunuh itu adalah orang awam.

Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika semalam berkata Washington sedang berusaha ke arah satu gencatan senjata tetapi tidak memberikan sebarang butir mengenai bagaimana ia boleh dicapai kerana Amerika tidak mahu berunding dengan Hamas.

Jurucakapnya, Encik Sean McCormack, berkata satu gencatan senjata diperlukan supaya ia tidak membenarkan Hamas untuk terus melancarkan roket-roketnya ke arah Israel.

Ulasan itu dibuat selepas Israel melancarkan serangan daratnya di Gaza.

Encik McCormack berkata 'adalah jelas gencatan senjata itu harus dilaksanakan secepat mungkin' tetapi ia harus boleh dikekalkan dan tidak boleh membenarkan Hamas terus melancarkan roketroketnya dari Gaza.

Semalam, askar-askar Israel dan kumpulan militan Palestin itu terus bertempur di kawasan pinggiran Bandar Gaza selepas tentera Israel yang dilengkapi kereta kebal menyerang kawasan pantai Semenanjung Gaza, dalam apa yang disifatkan sebagai pertempuran paling teruk di antara kedua-dua pihak sejak berdekad-dekad.

Bagaimanapun, satu mesyuarat menteri luar negara majoriti Muslim di Jeddah, Arab Saudi, menggesa masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera bagi menamatkan kekejaman Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam pernyataan yang dikeluarkan akhir mesyuarat itu, para menteri itu juga melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang diperlukan bagi menamatkan serangan Israel itu.

Ia juga menggesa majlis tersebut menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Pernyataan mesyuarat menterimenteri luar Islam itu juga menggesa semua negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar bersatu jika Majlis Keselamatan PBB masih gagal mengambil tindakan segera dalam menyokong gesaan bagi Perhimpunan Agung PBB mengadakan mesyuarat.

Mesyuarat jawatankuasa eksekutif peringkat menteri luar OIC di ibu pejabat pertubuhan itu telah menumpukan perbincangannya mengenai serangan Israel di Gaza. -- AP, Bernama.

 
   
 

LUAR NEGARA

 
 
Maharaja Akihito jalani pemeriksaan jantung
 
 
Pelajar cuba terjun dari tingkat tiga asrama
 
 
Bantahan sepanjang hari di Mesir
 
 
Sepanyol potong pampasan berhenti kerja
 
 
Keluarga nafi kepala milik mangsa
 
 
Lelaki pernah ancam Madonna diberkas
 
 
Hina Rasulullah: Malaysia digesa tidak usir wartawan