Mudah cetak
E-mel
1 Dis 2008
LUAR NEGARA
THAILAND SEMAKIN TEGANG
Letupan bom cederakan 51 penunjuk perasaan
BANGKOK: Beberapa serangan bom ke atas penunjuk perasaan antikerajaan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 51 orang cedera di sini, semalam.
Letupan pertama berlaku di pekarangan pejabat Perdana Menteri, Encik Somchai Wongsawat, yang diduduki para penunjuk perasaan sejak Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, sebutir bom tangan telah dilemparkan ke atas sebuah khemah yang kemudiannya meletup apabila ia jatuh ke tanah.
Sekurang-kurangnya 49 penunjuk perasaan di situ cedera, kata seorang pegawai perubatan di Pusat Perubatan Narenthorn, Encik Surachet Sathitniramai.
Sembilan daripada mereka telah dimasukkan ke hospital termasuk empat orang yang mengalami kecederaan serius.
Selang 20 minit kemudian, dua lagi letupan menggegarkan sebuah stesen televisyen antikerajaan.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Dalam satu lagi serangan berasingan, sebutir bom meletup di jalan raya berdekatan pintu masuk utama lapangan terbang domestik Don Muang di Bangkok.
Dua orang dilaporkan cedera dalam letupan itu.
Sejauh ini, tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan-serangan itu.
Namun, ia ternyata menyebabkan keadaan bertambah tegang di antara para penyokong kerajaan dan kumpulan antikerajaan.
Semalam, beribu-ribu penyokong kerajaan mengadakan rapat di Bangkok sebagai memberi sokongan kepada Perdana Menteri Somchai Wongsawat.
Sementara itu, polis Thailand semalam sekali lagi mengarahkan para penunjuk perasaan yang menduduki dua lapangan terbang di Bangkok agar bersurai di samping mengharamkan perhimpunan melebihi lima orang.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi telah ditutup sejak lewat Selasa apabila penunjuk perasaan yang cuba menggulingkan kerajaan mengepung terminal utama.
Mereka juga menduduki hab domestik di Don Muang sejak Rabu lalu dan menyekat semua penerbangan udara ke ibu kota ini.
Beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan, menyebabkan sehingga 100,000 penumpang terkandas dan menjejas sektor pelancongan.
Para pelancong yang terkandas telah dibawa ke U-Tapao, sebuah pangkalan udara lama yang terletak 150 kilometer ke timur Bangkok, yang dijadikan landasan alternatif untuk syarikat penerbangan.
Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya malam tadi melahirkan keprihatinan terhadap krisis politik Thailand.
'Kami memantau secara dekat keadaan di Thailand dan keselamatan rakyat Singapura menjadi keutamaan kami.'
Menurut MFA lagi, ia bekerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan bagi menawarkan penerbangan tambahan dari U-Tapao setiap hari bagi membawa pulang rakyat Singapura.
Sejauh ini seramai 400 warga Singapura telah pulang dan pihak kedutaan sedang membantu lagi 100 yang lain untuk diterbang keluar dari Bangkok. -- AFP, AP, Reuters.