Mudah cetak
E-mel
22 Nov 2008
LUAR NEGARA
Obama mungkin lantik Hillary jadi setiausaha negara
WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, bercadang menamakan Senator Hillary Rodham Clinton sebagai setiausaha negara Amerika seawal minggu depan selepas cuti Thanksgiving 27 November ini, menurut seorang pegawai Parti Demokrat.
Cik Clinton semakin hampir mengisi jawatan tersebut selepas suaminya, mantan presiden Bill Clinton, bersedia membenarkan kedudukan kewangan usaha niaga dan kegiatan amal beliau diperiksa pada masa depan.
Pasukan peralihan Encik Obama bimbang sesetengah kegiatan Encik Clinton seperti kegiatan amal dan ceramah berbayar beliau mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan sekiranya isteri beliau, Cik Clinton, menjadi setiausaha negara Amerika.
Namun isu pendedahan kedudukan kewangan mereka sudah diatasi, kata pegawai berkenaan.
Jika Cik Clinton mengisi jawatan setiausaha negara, hal itu merupakan satu lagi kejayaan bagi mantan Wanita Pertama Amerika itu, yang menjadi isteri presiden yang pertama berkhidmat sebagai Senator, kemudian bertanding sebagai calon presiden.
Sesetengah anggota Demokrat mempersoalkan sama ada Cik Clinton terlalu berdikari dan bercita-cita menjadi setiausaha negara yang berkesan.
Namun seorang penasihat kanan Encik Obama berkata bakal presiden Amerika itu begitu ghairah hendak menamakan Cik Clinton sebagai setiausaha negara sejak dari awal.
Ini kerana beliau yakin Cik Clinton dapat memulihkan kewibawaan dalam hubungan diplomatik Amerika dan kelebihan khidmat beliau akan mengatasi kelemahan beliau.
Cik Clinton dilaporkan sedang menimbang tawaran jawatan itu.
Jurucakap Cik Clinton, Cik Philippe Reines, enggan mengulas selain berkata sebarang perlantikan Kabinet terserah kepada pasukan peralihan Encik Obama menanganinya.
Bagaimanapun, ulasan daripada para penasihat Encik Obama membayangkan bahawa pasukan perlaihan Encik Obama tidak menjangka Cik Clinton akan menolak tawaran itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Cik Clinton dilaporkan telah mengurangkan hutang kempen beliau kepada tidak sampai AS$7.5 juta ($11.5 juta) sehingga 1 November lalu, menurut laporan kewangan yang difailkan Khamis lalu.
Cik Clinton berhutang sebanyak AS$12 juta pada akhir Jun lalu apabila beliau memutuskan untuk menamatkan kempen sebagai calon presiden dan mengaku kalah kepada Encik Obama. -- AP, Reuters.