Mudah cetak
E-mel
21 Nov 2008
LUAR NEGARA
Al-Qaeda bidas bakal
presiden Amerika
Sifatkan Obama sebagai 'budak Negro' dan musuh umat Islam
WASHINGTON: Pemimpin kedua paling kanan Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, kelmarin menuduh bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, mengkhianati bangsa dan ayahnya yang berketurunan Islam.
'Ayah anda seorang Muslim tetapi anda memilih untuk menyebelahi musuh umat Islam,' kata Zawahiri.
Beliau menyifatkan Encik Obama sebagai 'musuh Islam dan umat Islam' dan menggelarnya 'budak Negro' (house Negro), istilah yang pernah digunakan Malcolm X, pemimpin Islam kulit hitam pada 1960-an, untuk hamba abdi kulit hitam yang taat setia kepada tuannya yang berkulit putih.
'Anda berbeza langsung daripada orang kulit hitam yang terhormat seperti Malcolm X,' kata Zawahiri dalam satu pita video selama 11 minit yang disiar menerusi Internet kelmarin.
Zawahiri juga memberi amaran kepada Encik Obama bahawa Amerika akan mengalami kegagalan di Afghanistan, sama seperti di Soviet Union jika beliau mengotakan ikrarnya hendak menghantar lebih banyak askar ke negara itu.
Beliau menggesa pejuang Islam agar meneruskan serangan ke atas 'penjenayah' Amerika sehingga ia berundur dari semua negara Islam.
Pakar-pakar berkata kenyataan Zawahiri itu mencerminkan kebimbangan Al-Qaeda mengenai populariti Encik Obama, pemimpin yang dapat mengembalikan imej Amerika di mata dunia, sekali gus menghambat keupayaan kumpulan pengganas itu mengumpul dana dan merekrut anggota baru untuk agenda pengganasan.
'Pesanan terbaru dari Ayman Zawahiri membuktikan Al-Qaeda bimbang dengan pemulihan imej Amerika di arena antarabangsa,' kata Encik R.P. Eddy, mantan pengarah antipengganasan di Majlis Keselamatan Kebangsaaan (NSC).
'Sanjungan antarabangsa terhadap Amerika, seperti yang disaksikan pada tajuk berita di seluruh dunia pada 5 November lalu, menunjukkan realiti baru yang merupakan satu kejutan bagi rangkaian pengganas,' kata Encik Eddy lagi.
Para pegawai Amerika bagaimanapun berkata tidak terdapat tanda Al-Qaeda sedang membuat persiapan untuk menyerang Amerika.
'Kami tidak mempunyai maklumat yang boleh dipercayai yang menunjukkan terdapat ancaman terhadap keselamatan dalam negeri ketika ini,' kata jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Cik Laura Keehner.
Ancaman Zawahiri tidak mengandungi sesuatu yang baru, kata Encik Adam Raisman, seorang penganalisis bagi kumpulan pemantau pengganasan, SITE Intelligence Group.
'Ia merupakan pesanan mirip pesanan yang serupa sejak beberapa tahun dulu - iaitu undurkan askar dari negara Islam atau anda menerima padahnya,' kata beliau. -- AFP, Reuters.