MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

19 Nov 2008

LUAR NEGARA

Obama, McCain ikrar era baru reformasi

Bakal presiden Amerika, pesaing mahu kerjasama atasi perpecahan dan krisis ekon serta pelihara keselamatan

CHICAGO: Bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dan pesaing yang dikalahkannya, Encik John McCain, berikrar kelmarin akan mewujudkan satu 'era baru pembaharuan' untuk menghuraikan krisis ekonomi, merombak dasar tenaga dan memelihara keselamatan negara itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan dua minggu selepas pilihan raya pada 4 November, mereka berkata di sini bahawa rakyat Amerika daripada semua parti mahu pemimpin mereka bersatu padu dan 'mengubah tabiat buruk di Washington'.

Dalam satu pertemuan mereka selama sejam di ibu pejabat peralihan Encik Obama, bakal presiden daripada Parti Demokrat itu menegaskan lagi ikrar beliau hendak bekerjasama dengan Encik McCain apabila melakar agenda bagi empat tahun mendatang.

'Atas semangat inilah kami mengadakan perbincangan berguna hari ini mengenai perlunya melancarkan satu era reformasi baru, supaya kita dapat mengatasi perpecahan yang merugikan di Washington demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintah, dan memulih kemakmuran dan peluang bagi setiap keluarga rakyat Amerika yang bekerja keras,' kata Encik Obama dan McCain dalam kenyataan itu.

'Kami berharap dapat bekerja sama dalam beberapa hari dan bulan mendatang mengenai cabaran kritikal, seperti menghurai krisis kewangan, mewujudkan ekonomi tenaga baru, dan melindungi keselamatan negara kita,' tambah mereka.

Pada awal pertemuan itu, Encik McCain, daripada Parti Republikan, ditanya pemberita apakah beliau akan membantu pentadbiran Encik Obama.

Beliau menjawab: 'Sudah pasti.'

Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen CBS Ahad lalu, Encik Obama berkata beliau akan menyertakan setidak-tidaknya seorang anggota Parti Republikan dalam kabinet beliau. -- AFP.



 
   
 

LUAR NEGARA

 
 
Maharaja Akihito jalani pemeriksaan jantung
 
 
Pelajar cuba terjun dari tingkat tiga asrama
 
 
Bantahan sepanjang hari di Mesir
 
 
Sepanyol potong pampasan berhenti kerja
 
 
Keluarga nafi kepala milik mangsa
 
 
Lelaki pernah ancam Madonna diberkas
 
 
Hina Rasulullah: Malaysia digesa tidak usir wartawan