NEW YORK: Pasukan yang berkempen bagi calon presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan, Encik John McCain, telah meminta sumbangan kewangan daripada sumber yang tidak dijangkakan - utusan Russia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, seorang jurucakap Encik McCain semalam berkata ia satu kesilapan.
Dalam suratnya, Encik McCain dikatakan telah menggesa Duta Besar Russia ke PBB, Encik Vitaly Churkin, menyumbangkan wang sebanyak AS$35 ($52) hingga AS$5,000 bagi membantu memastikan Encik McCain mampu mengalahkan pesaingnya dari parti Demokrat, Encik Barack Obama, yang ketika ini mendahului beliau dalam beberapa tinjauan pengundi.
'Jika saya diberi penghormatan untuk berkhidmat kepada anda, saya akan membuat janji ini kepada anda: Kami akan selalu menempatkan Amerika - kekuatannya, nilai-nilai unggulnya, masa depannya - sebelum setiap pertimbangan lain,' kata Encik McCain dalam suratnya kepada Encik Churkin.
Kedutaan Moscow di Amerika mengeluarkan satu kenyataan ringkas berhubung surat calon Republikan itu sambil berkata bahawa pemerintah Russia dan para pegawainya 'tidak membiaya kegiatan politik di negara asing'.
Jurucakap Encik McCain, yang dikenali sekian lama sebagai pengkritik Russia, sebaliknya memberikan penjelasan mudah: 'Ia adalah satu kesilapan dalam senarai pengiriman.'
Surat itu telah dialamatkan kepada Encik Churkin dan mempunyai tandatangan Encik McCain di bahagian bawahnya.
Awal bulan ini, Encik McCain dan Encik Obama membidas keras langkah Russia menyerang Georgia sekitar dua bulan lalu, tetapi kedua-duanya enggan mengatakan 'ya' apabila ditanya jika Russia di bawah pimpinan Perdana Menterinya, Encik Vladimir Putin, adalah sebuah 'empayar jahat'. -- Reuters.